MD. NASIR MD. NOH
MD. NASIR MD. NOH

Banyak faktor penyebab perkara tersebut berlaku antaranya pembangunan tidak terkawal serta sikap manusia yang kian tamak memusnahkan sistem tadahan hujan terutamanya di kawasan berbukit manakala hampir 70 peratus sistem perparitan masih bergantung kepada sistem ketika zaman British dahulu.

Walaupun garis panduan telah dilaksanakan, namun masih banyak pemaju yang ingkar dengan arahan tersebut dan terus menjalankan projek tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar.

Ikuti Laporan Khas oleh wartawan NAZRIN NAZRI dan AMIRUL AFIQ MASTOR serta jurugambar MD . SHAHJEHAN MAAMIN untuk mengetahui sebab dan kesan sistem perparitan di negara ini serta cara mengatasi
permasalahannya.

 

KUALA LUMPUR 23 Dis.  -  Kesukaran mengubah sistem perparitan yang telah wujud sejak zaman penjajahan British bakal menjejaskan kira-kira 4.8 juta penduduk Malaysia berikutan hampir 30,000 kilometer persegi tanah di negara ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

Malahan bencana alam itu akan mengakibatkan kemusnahan besar di beberapa negeri di­sebabkan sistem perparitan yang di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak diselenggara dengan baik.

Lebih membimbangkan apabila, terdapat kabel utiliti berselirat di dalam parit yang dibina di beberapa lokasi seluruh negara menghalang laluan air selain longgokan sampah yang menyebabkan saliran itu tersumbat seperti yang berlaku di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Angkasapuri di sini baru-baru ini.

Jabatan Parit dan Saliran (JPS) berkata, kejadian banjir kilat itu berlaku dipercayai akibat air hujan tidak dapat mengalir ke sungai disebabkan kalbot (laluan saluran air) tersumbat walaupun paras air sungai masih rendah.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh, sistem perparitan negara terbahagi kepada dua iaitu sebelum tahun 2000 (zaman British) dan selepas 2001 yang mana sistem baharu tersebut menggunakan kaedah Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).

Beliau berkata, kaedah MSMA antaranya ialah mewujudkan rumah pam manakala bagi kawasan penempatan baharu pula dibina kolam takungan air hujan supaya dapat menampung kapasiti pembangunan serta tidak membebankan perumahan di bahagian bawah.

“Banyak tempat yang sudah terlibat seperti di SP Setia, Kota Kemuning dan Shah Alam di Selangor. Di sini (Kuala Lumpur) tidak dapat dibuat kerana masalah ruang oleh itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mensyaratkan sistem penuaian air hujan untuk pembinaan rumah jenis banglo,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Md. Nasir memberitahu, pelaksanaan sistem itu juga sudah diwajibkan bagi pembangunan dan pembinaan penempatan baharu.

Ujar beliau, kolam takungan yang dibuat itu juga bukan sahaja sebagai tebatan banjir malah dapat mencantikkan landskap se­suatu kawasan selain dijadikan tempat riadah atau rekreasi penduduk setempat.

Mengulas tentang penyelenggaraan sistem takungan, jelas beliau, perkara itu perlu dilakukan secara berkala dan mudah dilaksanakan kerana PBT hanya perlu memotong rumput manakala pengorekan dilakukan setiap lima tahun.

Dalam pada itu, Md. Nasir mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan pemilik tanah lot persendirian di kawasan desa mendapatkan kelulusan JPS sebelum membina penempatan bagi membolehkan sistem perparitan dan saliran dibuat de­ngan betul sekali gus mengekang masalah banjir kepada penduduk asal.

“Pembangunan individu ini lebih-lebih lagi di lereng bukit akan menimbulkan banyak masalah antaranya banjir, tanah runtuh dan hakisan. Oleh itu, dengan mewajibkan pelaksanaan berkenaan, keselamatan penduduk lebih terjamin.

“Seperti di Sungai Pusu, Gombak, banyak masalah timbul di­sebabkan pembinaan persendirian sehingga menyusahkan pentadbir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malah universiti itu terpaksa menggali kolam takungannya setiap tahun selain menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi,” jelasnya.