MESKIPUN amalan menamakan ribut yang kuat telah dilakukan sejak ratusan tahun lalu, kebanyakan ribut pada mulanya disebut berdasarkan sistem nombor latitud - longitud yang berguna kepada ahli meteorologi.
Tetapi kaedah tersebut mengelirukan penduduk yang tinggal di pesisiran pantai untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu ribut.
Pada 1950, amalan menamakan ribut pertama kali dibangunkan untuk Lautan Atlantik oleh Pusat Taufan Kebangsaan AS. Pada masa itu, ribut dinamakan mengikut sebutan ejaan seperti Able, Baker, Charlie dan nama sama digunakan pada setiap musim taufan.
Pada 1953, bagi mengelakkan pengulangan nama, sistem itu diubah agar ribut dinamakan sempena nama wanita. Kaedah itu meniru cara ahli meteorologi laut yang menamakan ribut dengan nama wanita.
Pada 1979, sistem itu diubah sekali lagi dengan menamakan ribut sempena nama wanita dan lelaki secara bergilir-gilir. Bagi musim ribut Atlantik, sudah terdapat satu set nama untuk setiap enam tahun.
Perubahan pada senarai nama itu hanya akan dibuat apabila sesuatu taufan itu menyebabkan kematian atau kemusnahan yang dahsyat. Namun, tidak semua ribut diberikan nama. Ribut tropika hanya diberikan nama apabila ia menunjukkan putaran dan kelajuan angin mencecah 62.7 kilometer sejam. Ribut tropika membentuk taufan apabila kelajuan angin mencapai 119 kilometer sejam.

 

1. Taufan Agung 1780

MENGIKUT rekod, Taufan Agung 1780 adalah taufan yang paling banyak mengorbankan mangsa dalam sejarah.

Taufan tersebut juga dikenali sebagai Huracan San Calixto, Great Hurricane of the Antilles dan Bencana 1780. Dikatakan sekitar 22,000 orang terbunuh apabila taufan tersebut melalui Antilles Kecil dari 10 hingga 16 Oktober 1780.

Meskipun tidak ada banyak data direkodkan, apa yang diketahui adalah taufan tersebut melanda beberapa kepulauan Caribbean termasuk Barbados, Martinique dan St. Lucia dalam tempoh enam hari.

Mengikut catatan seorang saksi kejadian, betapa dashyatnya taufan itu sehingga kulit pokok tercabut. Berdasarkan penerangan itu, sesetengah pihak mengandaikan kelajuan angin melebihi 321.8 kilometer sejam.

 

2. Mitch

WALAUPUN Taufan Mitch kurang mendapat liputan di AS berbanding Sandy dan Katrina, angka korban dan kemusnahan akibat taufan itu mengatasi taufan-taufan popular lain.

Taufan itu mengorbankan 19,325 orang dan menyebabkan kemusnahan prasarana dan tanaman bernilai AS$6.2 bilion.

Mitch yang merupakan taufan kategori lima, melanda dari 22 Oktober hingga 9 November 1998.

Kawasan yang terjejas termasuk Florida, Honduras, Nicaragua, Amerika Tengah dan Semenanjung Yucatan di Mexico.

 

3. Taufan Galveston Agung 1900

LEBIH dikenali sebagai The Great Storm of 1900, Taufan Galveston adalah taufan kategori empat yang melanda dari 27 Ogos hingga 17 September 1900.

Taufan itu menyebabkan tanah runtuh di Galveston, Texas, AS pada 8 September 1900.

Antara 6,000 dan 12,000 orang terkorban akibat taufan itu dengan nilai kerosakan pada masa itu adalah sebanyak AS$21 juta atau bersamaan AS$605 juta dalam kadar tukaran sekarang.

 

4. Katrina

TAUFAN Katrina terbentuk pada 23 Ogos dan menyurai pada 31 Ogos 2015. Pada 26 Ogos 2015, Katrina seakan-akan melemah tetapi kembali menguat sehingga mencapai kategori lima di Pantai Teluk AS.

Apabila Katrina sampai ke New Orleans, paras air meningkat menyebabkan sistem tebatan banjir pecah lalu berlaku banjir sehingga 80 peratus kawasan bandar itu dinaiki air.

Secara keseluruhannya, Katrina mengorbankan 1,833 nyawa dan menyebabkan 400,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Dengan nilai kemusnahan AS$108 bilion, Katrina dianggap sebagai taufan yang menyebabkan nilai kerosakan paling tinggi dalam sejarah AS dan paling ganas dalam abad ke-21.

 

5. Taufan Hari Buruh Florida 1935

TAUFAN kategori lima itu merupakan yang paling kuat pernah melanda AS pada abad ke-20 dengan membawa angin selaju 320 kilometer sejam sehingga membunuh 400 orang.

Nilai kerosakan di AS dianggarkan AS$6 juta.

Taufan ini dikenali sebagai “Taufan Hari Buruh” kerana amalan menamakan ribut hanya bermula pada 1953.

 

6. Gilbert

DENGAN diameter 926 kilometer, Taufan Gilbert merupakan antara taufan terbesar pernah dilihat di Atlantik.

Selepas mencapai kategori lima pada September 1988, Gilbert menyelubungi hampir keseluruhan Jamaica dan merosakkan hampir 80 peratus kediaman.

Ribut itu kemudian bergerak Kepulauan Cayman dan Mexico sebelum melemah dan menyeberang ke Texas. Taufan itu menyebabkan 318 kematian.

 

7. Camille

SELEPAS terbentuk berhampiran Kepulauan Cayman pada Ogos 1969, ribut pada kategori tiga melalui Cuba dan menguat ketika menuju ke Mississippi, AS.

Ia melemah kepada ribut tropika sebelum sampai di Virginia tetapi Camille terus menghamburkan hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.

Camille mengorbankan 256 penduduk dan nilai kemusnahan AS$1.4 bilion.

Taufan itu memainkan peranan penting dalam penciptaan Skala Angin Taufan Saffir-Simpson yang mengkelaskan ribut dari kategori satu hingga kategori lima.

 

8. Sandy

TAUFAN Sandy terbentuk pada 22 Oktober 2012 dan menyurai pada 2 November 2012.

Walaupun hanya kategori tiga, Sandy merupakan taufan paling ganas dalam musim taufan Atlantik 2012.

Sandy memusnah dan merosakkan kira-kira 650,000 buah rumah di kawasan Timur Laut AS dan membunuh 233 orang termasuk 117 orang di AS dan 69 orang di Kanada dan Caribbean. Nilai kemusnahan keseluruhan adalah AS$75 bilion.

 

9. Hugo

TAUFAN Hugo terbentuk di timur Lautan Atlantik berhampiran Kepulauan Cape Verde pada 9 September 1989.

Taufan itu menyebabkan 107 kematian termasuk 34 orang di Caribbean dan 27 orang di Carolina Selatan manakala hampir 100,000 penduduk kehilangan tempat berteduh.

Sebahagian besar mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik dan lemas.

Dengan nilai kemusnahan AS$10 bilion, Hugo merupakan taufan yang menyebabkan kerugian paling besar pada masa itu.

 

10. Andrew

PADA awalnya, Taufan Andrew dianggap sebagai lemah ketika ia terbentuk di Lautan Atlantik pada 16 Ogos 1992.

Namun Andrew kemudian mencapai kategori lima dan menyebabkan kemusnahan yang besar di Bahamas dan beberapa kawasan di selatan AS terutamanya Florida Selatan dan Louisiana.

Di seluruh kawasan terlibat, hampir 177,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan nilai kerugian keseluruhan antara AS$26.5 bilion dan AS$34 bilion.

Amaran awal yang dikeluarkan bagi mengarahkan penduduk berpindah berjaya meminimumkan angka korban kepada 65 orang.