Seorang penduduk Taman Wangi, Mat Hussin Daud, 60, berkata, pencemaran yang dila­kukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu boleh membahayakan kesihatan masyarakat sekitar.

Menurutnya, sungai tersebut dijadikan sumber utama syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. untuk diproses sebelum dibekalkan kepada penduduk di bandar ini.

“Kami menyedari sumber air tercemar apabila ia mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Kami dapat tahu sebuah kilang yang ber­ope­rasi di kawasan perindustrian di sini dipercayai telah me­lepaskan bahan buangan pada setiap malam Khamis atau Jumaat.

“Isu ini berlarutan sejak awal tahun ini dan saya sendiri telah membuat empat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan susulan diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohamed Hamzah, 62, memberitahu, mereka yang menjadikan sungai berkenaan sebagai lokasi rekreasi turut bimbang kerana sering menjumpai ikan yang mati dipercayai akibat kesan pencemaran.

Katanya, selain itu, terdapat juga penduduk yang mengalami penyakit gatal kulit selepas mandi di sungai dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Kami berharap kilang terlibat dapat menjalankan tanggungjawab menjaga sungai se­perti kempen yang dilakukan oleh kerajaan.

“Penduduk juga mahu pihak berkuasa menjalankan pemantauan dan buat sesuatu langkah supaya dapat menyelamatkan orang ramai daripada terus menggunakan sumber air yang telah tercemar,” ujarnya.