Konsep dan institusi Raja Berperlembagaan diwujudkan melalui syor Suruhanjaya Reid sebelum merdeka 1957 dan seterusnya melalui Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Konsep Raja Berperlembagaan membawa pengertian bahawa setiap orang Raja yang dipilih dan dimahkotakan sebagai Yang di-Pertuan Agong itu hendaklah menjalankan tugas di-Rajanya mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan Negeri yang berkenaan.

Terpenting dalam konsep itu ialah Raja menjalankan pemerintahan negara mengikut nasihat Kabinet atau Perdana Menteri (Perkara 40) kecuali beberapa perkara yang dikhaskan seperti budi bicara melantik Perdana Menteri, berkenan atau tidak berkenan membubarkan Parlimen, pengadaan mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) berkaitan kedudukan, keistimewaan dan kedaulatan di-Raja atau berkaitan hal ehwal adat istiadat Melayu dan agama Islam.

Yang di-Pertuan Agong merupakan mercu pihak berkuasa negara, piagam utama Perlembagaan dan simbol kenegaraan tertinggi bagi Malaysia. Hal ehwal perundangannya meliputi 35 perkara utama pentadbiran negara di sisi Perlembagaan Persekutuan. Kuasa, fungsi dan budi bicara di-Raja Yang di-Pertuan Agong meliputi Perkara 32 hingga Perkara 44 Perlembagaan.

Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ialah eksekutif utama negara dan semua urusan Kerajaan Persekutuan dijalankan atas nama ‘Seri Paduka Baginda’, satu-satunya ungkapan bahasa di-Raja klasik.

Baginda melantik Perdana Menteri (PM), para Menteri dan Timbalan Menteri (walaupun tidak berkuasa memecat mereka kecuali atas nasihat PM); baginda sebahagian daripada entiti legislatif Parlimen Malaysia dan menandatangani semua Akta Parlimen yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Baginda juga boleh menangguhkan kuat kuasa sesuatu Rang Undang-Undang selama 30 hari.

Tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong begitu banyak di sisi Perlembagaan Persekutuan: Baginda bertanggungjawab di atas jaminan hak-hak istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak di samping hak-hak sisian warganegara Malaysia yang lain di bawah Perkara 153 Perlembagaan.

Sebagai Pemerintah Angkatan Tertinggi Tentera Persekutuan (Perkara 41) Baginda juga melantik Ketua Angkatan Tentera. Di bawah Perkara 150 Perlembagaan, Perisytiharan darurat tidak sah jika tanpa persetujuan bertulis Baginda sekalipun atas nasihat Jemaah Menteri atau PM.

Baginda merupakan kuasa pengampun, kuasa menunda hukum dan melegakan hukum kesalahan jenayah dan penganugerah bintang-bintang kebesaran negara. Baginda adalah pihak berkuasa melantik para hakim, Ketua Polis Negara, Ketua Audit Negara dan berbagai kuasa lantikan lain.

Yang di-Pertuan Agong ialah simbol perpaduan, kehormatan dan kedaulatan negara justeru mempersenda, mengeluarkan kata-kata hasutan terhadap Baginda merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Malaysia juga menjadi instisari patriotisme. Ini ternyata khasnya melalui lagu kebangsaan Negaraku apatah lagi dalam kata-kata prinsip Rukunegara.

Menghormati Yang di-Pertuan Agong bermakna menghormati Kerajaan Baginda dan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Raja-Raja dalam persidangan rasmi Majlis Raja-raja setiap lima tahun sekali di bawah kuat kuasa Perkara 32(3) Perlembagaan. Tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh disambung tetapi seseorang Yang di-Pertuan Agong boleh meletakkan jawatan sedemikian dengan menulis surat kepada Majlis Raja-Raja jika itu merupakan kehendak peribadi Baginda.

Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang bersemayam sekarang, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah akan habis tempoh persemayamannya pada 13 Disember 2016. Baginda merupakan Raja pertama berpeluang bersemayam dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong di samping yang paling berusia tinggi ke jawatan itu, yakni pada harakat usia 88 tahun.

Pertama kali Baginda bersemayam ialah bagi tempoh 1970–1975 sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5, semasa Allahyarham Tun Abdul Razak berkhidmat sebagai Perdana Menteri (1970-1974).

Mengikut tradisi, sekitar 2 bulan sebelum habis tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengelolakan mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dijalankan mengikut lunas Perlembagaan dan undian pemilihan secara undi sulit.

Semua Raja dari sembilan negeri Tanah Melayu berhak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali seseorang Raja itu menolak pencalonannya. Para Yang Dipertua atau Gubenur negeri-negeri tidak terlibat dalam proses ini. Banyak perkara dan prosedur kena dipatuhi dalam urusan memilih seseorang Raja untuk menduduki takhta Yang di-Pertuan Agong. Yang paling utama ialah peruntukan Bahagian I dan III Jadual Ketiga Perlembagaan.

Tuanku Sultan Muhammad V yang dipilih Majlis Raja-Raja baru-baru ini telah melepasi syarat-syarat pemilihan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 2 Bahagian 1 Jadual Ketiga Perlembagaan. Seksyen 3 dari Bahagian sama memperuntukkan:

Apabila Raja yang telah ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut seksyen 2 menerima jawatan itu, Majlis Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan Raja itu sebagai dipilih dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Majlis Parlimen.

Menurut undang-undang yang terkandung di dalam Bahagian 1 Jadual Ketiga Perlembagaan, seseorang Raja yang ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong berhak menolak atau menerima tawaran sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sultan Kelantan telah ditakrif sebagai menerima tawaran Majlis Raja-Raja. Sekiranya Baginda, sebagai hipotisis, menolak tawaran itu maka Raja negeri selepas Kelantan, yakni Pahang berhak menerima tawaran itu. Selepas Pahang, Johor dan seterusnya Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Perlis. Namun demikian, sebilangan pengkaji Perlembagaan Persekutuan berasa terkeliru dengan susunan bahasa Perlembagaan yang digunakan pada seksyen 4, Bahagian 1 Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai rumusan mudah, setakat ini telah selesai senarai pertama giliran jawatan Yang di-Pertuan Agong yang melibatkan semua sembilan negeri ber-Raja. Senarai pertama ini sepatutnya melibatkan 45 tahun (lima tahun setiap seorang Yang di-Pertuan Agong). Tetapi tiga Tuanku Yang di-Pertuan Agong bersemayam kurang daripada lima tahun tiap-tiap seorang lantaran mangkat dalam persemayaman – Yang di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan: 31 Ogos 1957–1 April 1960), Tuanku Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah (Selangor: 14 April 1960 – 1 Sept. 1960) dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj (Selangor di bawah Giliran Senarai Kedua 26 April 1999 - 21 November 2001).

Pemilihan Sultan Kelantan Tuanku Muhammad V pada 14 Oktober kelmarin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan sekali gus sebagai Ketua Utama Negara merupakan giliran kedua bagi negeri itu setelah memenuhi giliran dalam senarai pertama (Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim; 21 September 1975 - 30 Mac 1979). Mungkin yang akan ditunggu-tunggu ialah Raja Permaisuri Agong bagi melengkapkan kehendak Perkara 32(2) Perlembagaan.

Kedaulatan Raja-Raja dikurangkan melalui pindaan Perlembagaan 1993-1994 semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi PM. Selepas 1994 Raja boleh dihadapkan di mahkamah atas apa-apa kesalahan yang didakwa Pendakwa Raya. Baginda juga boleh disaman sivil jika Peguam Negara membenarkan proses itu.

Ramai berpendapat dalam tempoh pentadbiran itulah Raja berada dalam persekitaran yang boleh dikatakan aib kerana diasak dengan pelbagai sindiran dan cabaran.

Semoga zaman sedemikian tidak berulang. Sekali air bah, sekali tepian berubah.

DIRGAHAYU TUANKU

 

JUMAAT lalu Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-242 di Istana Negara yang dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan melantik Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda Tuanku Abdul Halim yang memegang tampuk itu sejak 13 Disember 2011 dan akan berakhir pada 12 Disember ini. Baginda yang juga merupakan Sultan Kedah sebelum ini pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5 iaitu dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pula telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember untuk tempoh lima tahun.

Berdasarkan sistem penggiliran yang telah ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Muhamad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. Beberapa faktor diambil kira oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong termasuk tidak mengalami ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik juga mesti berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain dan bukan menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaan baginda untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Proses yang sama diulangi bagi memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan memangku Yang di-Pertuan Agong sewaktu ketiadaan baginda di dalam negara atau uzur.

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang telah ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.

Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat kepada Kerajaan Dalam 
Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan