Taiwan Lantern Festival bukan sekadar acara tahunan biasa yang disambut pada bulan pertama dalam kalendar Lunar, bahkan dianjurkan secara besar-besaran setiap tahun di
peringkat nasional malah turut diadakan hampir di setiap wilayah, mengikut identiti masing-masing.

Jika di Malaysia, sambutannya sekadar menyaksikan tanglung yang lazimnya berwarna merah digantung oleh masyarakat Tionghoa sebagai hiasan rumah, malah menjadi dekorasi pusat-pusat beli-belah.

Namun istimewanya di Taiwan, sebahagian besar penduduk negara itu masih meneruskan tradisi yang diwarisi sejak kurun ke-19 dengan menyalakan tanglung bahkan bukan suatu pemandangan yang luar biasa apabila di sesetengah tempat terutama di wilayah Pingxi, untuk menyaksikan ribuan tanglung tradisional dilepaskan ke langit. 

Masyarakat Tionghoa percaya impian atau apa jua keinginan mereka yang ditulis dan dilepaskan ke langit bersama-sama tanglung, umpama doa yang akan didengar dan dikabulkan. 

Dahulu-kala ritual itu dilakukan oleh para petani setiap kali bermulanya musim bercucuk-tanam dengan doa agar mendapat hasil tuaian yang lumayan. Namun ada juga yang berdoa untuk mendapat pasangan dan cahayamata.

Baru-baru ini penulis berpeluang ke Taiwan atas jemputan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Kuala Lumpur untuk menyertai kumpulan media dari Asia, Eropah dan Amerika mengikuti program lawatan pelancongan dan budaya di negara itu.

Tidak silap sangkaan penulis, perkara pertama yang turut menarik perhatian rakan media dari negara lain adalah pesta tanglung Taiwan yang sudah pun gah seantero dunia.

Pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Penerangan Antarabangsa, Kementerian Luar Taiwan, Duta Henry M.J.Chen ketika beliau meraikan kumpulan media dari pelbagai negara dan benua ini semasa jamuan tengah hari, menambah rasa teruja untuk menyaksikan pesta yang dikhabarkan cukup gilang-gemilang itu.

"Tahun ini wilayah Chiayi menjadi tuan rumah untuk pesta tanglung peringkat kebangsaan iaitu Taiwan Lantern Festival 2018.

"Kali ini cukup istimewa kerana buat pertama kalinya tanglung akan dinyalakan dari darat, air dan udara iaitu tiga dimensi yang diharap dapat dinikmati pengunjung dan menambah kemeriahan sambutan," katanya.

Penulis dapat saksikan hampir kesemua anak mata rakan media bersinar-sinar mendengar penerangan Duta Chen sambil mungkin sahaja membayangkan betapa indahnya
dapat menyaksikan sendiri ribuan tanglung memenuhi langit, selain yang dilepaskan di laut barang kali.

Menuju tapak pesta Chiayi

Petang itu juga, sejurus selesai jamuan tengah hari, kami bergegas menaiki kereta api laju dari Taipei City ke Chiayi.

Perjalanan lebih dua jam tidak terasa oleh penulis dan kenalan baharu dari Australia dan Peru kerana asyik bertukar-tukar cerita, biarpun ada yang terlena mungkin kerana lelah penerbangan. 

Sementara menunggu festival bermula, kami dibawa ke National Palace Museum cawangan wilayah selatan, sekadar melihat-lihat di sekitaran, sebelum bergegas ke tapak pesta yang jelas sekali menjadi acara utama program media ini. 

Walaupun upacara perasmian oleh Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen hanya akan bermula pukul 8 malam, tapak pesta sudah mula dibanjiri pengunjung sejak pukul 5 petang lagi. 

Memandangkan penganjurannya tahun ini berlangsung dalam tempoh paling lama iaitu 24 hari dan melibatkan kawasan paling besar iaitu 50 hektar, pihak penganjur
menyasarkan jumlah pengunjung yang lebih besar iaitu mencecah 20 juta orang dengan pendapatan pelancongan 266 bilion dolar Taiwan.

Ekoran sasaran kunjungan dan keuntungan yang cukup besar itu, buat pertama kalinya penganjur turut memperkenalkan pembayaran tanpa tunai untuk kemudahan para pengunjung.

Ketua Pegawai Pentadbiran Asia Silicon Valley Development Agency (ASVDA) - agensi penyedia sistem pembayaran elektronik itu, Vivian Huang berkata, bukan sahaja tiket masuk, para pengunjung ke tapak pesta boleh menggunakan sebarang kaedah pembayaran digital untuk membeli makanan, minuman dan cenderamata.

"Mesin vending yang berbeza daripada konvensional turut diperkenalkan buat pertama kali, dengan menggabungkan teknologi baharu, peruncitan tradisional dan pelaksanaan pelbagai kaedah pembayaran elektronik termasuk mobile pay. Pengguna tidak perlu lagi memasukkan duit syiling untuk membuat bayaran sebaliknya hanya perlu mengimbas kad atau telefon pintar masing-masing,"  katanya.

Impak visual tiga dimensi kelas tinggi

Di ambang detik pelancaran Taiwan Lantern Festival 2018, penulis dan rakan media lain dari tiga benua yang terlebih dahulu dibawa meninjau tapak pesta sudah dapat mengagak yang kami tidak akan melihat tanglung-tanglung tradisional dilepaskan ke udara seperti yang kami saksikan dalam video promosi sebelumnya.

Namun itu tidak lagi menjadi persoalan apabila kami menghampiri pentas utama dan menyaksikan di hadapan mata betapa besar dan meriahnya sambutan pesta tanglung yang dihoskan oleh wilayah Chiayi pada tahun ini.

Taiwan Lantern Festival 2018 mencipta namanya yang tersendiri apabila menampilkan identiti moden untuk perayaan yang selama ini bersifat tradisi dengan menyajikan persembahan cahaya lampu dan sinaran bagi menghidupkan tanglung yang siap sedia dipasang di darat, udara dan air, seterusnya menyinari seluruh tapak pesta yang berkeluasan 50 hektar itu. 

Sesuai dengan status negara itu yang terkenal dengan pembuatan teknologi terkehadapan, Chiayi sebagai tuan rumah Taiwan Lantern Festival 2018 berjaya menyatukan aspek kemodenan dan tradisi seni budaya sebagai tarikan pelancongan yang berkelas tinggi. - UTUSAN ONLINE