Pak Ibrahim membawa orang itu meniti tangga di sebelah kanan. Cikgu Latiff Dili mengarahkan kami supaya berhenti bermain dan naik, duduk di tempat murid-murid. Di hadapan kami sudah siap sedia pentas dengan kerusi dan meja yang dihias dengan safrah berwarna hijau muda. Tokoh yang dipapah tadi sudah duduk di tengah-tengah, di sebelahnya kiri dan kanan Guru Besar Cikgu Nordin Sulong dan Pak Ibrahim. Guru-guru dan ibu bapa sudah siap sedia duduk dengan tenang di tempat masing-masing. Selepas Guru Besar berucap menerangkan kemajuan sekolah dan perlunya meraikan kelahiran Rasulullah sebagai pemimpin agung Islam. “Kita semua patut mencontohi Nabi kita, akhlaknya dan kepimpinannya!” kata Cikgu Nordin. Dia berharap ada antara murid-murid yang di hadapannya apabila sudah dewasa akan menjadi pemimpin yang berbakti untuk agama, bangsa dan tanah air. Saya asyik menatap wajah tokoh kami itu, namanya terpampang besar di hadapan Ustaz Zulkifli Muhammad dari Kolej Islam Malaya. Walaupun cacat anggota tetapi beliau diundang khas untuk majlis itu. Sungguh luar biasa.

ZULKIFLI MUHAMMAD
ZULKIFLI MUHAMMAD

“Rasulullah sejak kecil lagi terkenal dengan gelaran Al-Amin!” kata Ustaz Zulkifli. “Yang benar, itulah maknanya, baginda mendamaikan kabilah yang berpecah kerana hajarulaswad!” Ustaz Zul memandang dan menatap kami semua, pandangannya melekat kepada murid-murid yang bersimpuh di atas lantai sekolah. Dengan bijaksananya, Muhammad yang masih remaja itu meminta ketua kabilah memegang hujung serban, dan baginda sendiri mengambil hajarulaswad meletakkan ke tengah-tengah serban itu. Mereka bersama-sama memindah dan meletakkan ke tempatnya. Semua tersenyum berpuas hati. Gelaran Al-Amin kekal sampai bila-bila. Akhlak Rasulullah kata Ustaz Zul adalah Al-Quran. “Al-Quran menjadi panduan, dibaca dan difahami!” Panjang lebar huraian Ustaz Zul sampailah baginda menerima wahyu daripada Allah dan diseru malaikat agar membaca (Iqra’). Budaya Iqra’ amat penting bagi memajukan diri bangsa kita, dari situlah sumber ilmu pengetahuan. Amatlah petah dan fasih bicara Ustaz Zulkifli. Tidak jemu saya mendengarnya. Pertemuan yang pertama itu tidak dapat saya lupakan.

Ketika itu (1954) Zulkifli menjadi Setiausaha Kolej Islam Malaya. Beliau turut memberikan kuliah kepada para pelajarnya. Pada 1953 Zulkifli dan beberapa tokoh lain mencetuskan idea bagi menubuhkan Kolej Islam Malaya. Di sisi yang lain, beliau juga dikenali sebagai penyair Islam dengan puisinya yang tersiar di majalah Qalam, Hiburan, Majlis dan Mastika. Puisinya yang memikat hati kerana kedalaman rasa tauhid ialah “Aku Hamba Tuhanku”:

Fantasi kerlip kunang di perkuburan iman

Diterpa Kelana meraba rahasia kejadian

Siapaku dapat mencakar bintang-bintang di langit

Mungkin patah gugur kotor di bawah bukit

Aku datang, aku mengerang, aku pulang

Kerana-Nya, dan Untuk-Nya.

(Gema Suci, 25)

Keyakinannya kepada al-Qur’an dan Hadis Nabi diperikannya dalam puisi berikut:

Aduh, aku merintih padamu, Nabi

Bila Qur’an digunakan dihayat kami?

Bila Qur’an menjadi pemanah hidup semua?

(Gema Suci, 18-19)

Hanya iman -pada kuasa Rabbani

Pencipta insan- di maya bergelora ini.

(Gema Suci)

Beliau juga meniupkan semangat yang patriotik kepada anak bangsanya, agar mencintai tanah air:

Bangunlah putera puteri serentak memalu tambur

Menyedarkan bangsa menyempurnakan cinta suci luhur.

(Gema Suci, 24).

Zulkifli dilahirkan di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar Perak pada 22 Mac 1927. Bersekolah di Sekolah Melayu Parit sampai darjah lima, kemudian belajar di Sekolah Agama Rakyat Aziziah sehingga 1937. Zulkifli menyambung pengajiannya di Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan, Perak. Pada 1947 dia belajar di Universiti Al-Azahar dan seterusnya ke American University Mesir. Di Kaherah, dia menjadi pemimpin pelajar. Sekembalinya ke tanah air, beliau pernah menjadi Penasihat Lembaga Pembangunan Sastera (Lepas) pada 1951. Minatnya kepada politik kian bercambah apabila dipilih sebagai Ketua Bahagian Politik Kongres Pemuda Melayu. Pada 1956 selepas menjadi ahli Persatuan Islam Setanah Melayu, dia dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung Pas. Yang Dipertua Agung ialah Dr. Burhanuddin El-Hilmy. Dalam pilihan raya 1959 Zulkifli memenangi kerusi Parlimen Bachok (1959-1964).

Bermulalah babak kegemilangannya sebagai politikus Islam yang berwibawa. Beliau mencatatkan rekod berucap selama empat jam terus menerus menyentuh hal ehwal politik tanah air, isu kerakyatan, percukaian, koperasi, pengetahuan teknikal orang Melayu, pusat latihan guru, saranan memberhentikan pusat latihan guru di Brinsford dan Kirkby. Pengaruhnya mulai menjalar ke dalam hati budi orang Melayu. Bekas Menteri Besar Kelantan Tan Sri Asri Muda menanggapi tokoh yang luar biasa ini:

“Saya kenal dia sebagai pujangga dengan membaca syairnya dan sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap karangannya dalam majalah dan risalah karangan yang ditulisnya. Saya kenal dia sebagai pendidik dengan perkhidmatannya di Kolej Islam sebagai setiausaha dan pensyarah. Saya kenal dia sebagai ahli ilmu yang diberikan di kolej dan universiti ditambah dengan karya yang membahas pelbagai bidang ilmu pengetahuan”

Sumbangan bakti Zulkifli termasuk menentang pengganas komunis di Kuala Kangsar, Beliau ikut sama bangkit menentang Malayan Union. Sebagai sasterawan menulis karya puisi dan makalah, Zulkifli antara salah seorang penggerak penubuhan Kolej Islam Malaya (1953), pencetus penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (KIAS-1965), perhatiannya yang tinggi kepada mendaulatkan bahasa Melayu dan bersama Pendeta Za’ba berjuang untuk penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buku karangan beliau adalah Falsafah Akhlak Dalam Islam, Umat Islam Sekarang Makin Mundur, Peranan Filem Dalam Masyarakat, Economic Justice dan Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam. Perhatian jitu tokoh yang luar biasa ini terhadap bangsa Melayu, pendidikan, persuratan dan politik tanah air dan pandangannya yang bernas di Parlimen sebagai wakil rakyat mendapat perhatian bukan sahaja di tanah air tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dari Allah kita datang kepada Allah kita pulang. Beliau dan isteri Ustazah Asiah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Batu 4.5 Jalan Kuantan pada 6 Mei 1964 ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Perak. Ketentuan takdir: jodoh, pertemuan, rezeki, maut dalam tangan Allah. Insan luar biasa ini meninggalkan kita semua seperti dalam ungkapan puisinya: “Aku datang, aku mengerang, aku pulang.”