Pengaruh nafsu nafsi sering menjadikan manusia lupa akan sifat menyantuni yang lain. Ego diri dan kelompok menjadi ketara dan sifat tawaduk atau merendah diri semakin menghilang. Sifat berbangga-bangga dengan status diri dan gelaran semakin jelas, sifat menghormati berasaskan pangkat dan jawatan seseorang menjadi kelaziman dan tradisi menjadikan orang berilmu sebagai sumber rujukan semakin kurang menjadi amalan.

Sifat mahabbah kini menjadi terlalu penting disuburkan dalam masyarakat supaya rasa kekitaan dan kebersamaan lahir. Kekayaan yang dimiliki adalah rezeki dari Allah SWT. Ia harus digunakan untuk menyantuni manusia kerana pada hakikatnya ia bukan milik kita semata-mata.

Allah mencipta ikan di laut bukan semuanya menjadi rezeki kita apabila dimasak, Sebelum dimasak kita asingkan perut, sisik, duri dan ekornya dan ia menjadi rezeki semut, lalat, lipas dan kucing. Bila dimasak dan disajikan tulang diasingkan dan ia menjadi rezeki makhluk yang lain. Allah memberi jaminan setiap makhluk yang dijadikan dijamin rezeki baginya. Kita mungkin menjadi asbab kepada tersebarnya rezeki yang Allah kurniakan itu kepada yang lain.

Ziarah sewaktu menyambut Aidilfitri memberi makna yang cukup tersendiri. Tradisi balik kampung yang berlaku dalam budaya kita membawa maksud ziarah. Ibu bapa yang mungkin berada di kampung perlu diziarahi kerana kembalinya kita di hari yang mulia ini amat besar maknanya bagi mereka.

Bayangkan kembalinya kita ke kampung bertemu dengan ibu bapa, sanak saudara dan jiran yang masih ada, lakukan ziarah kepada kelompok fakir dan miskin bersama buah tangan dan sedekah dan mohon maaf kepada mereka atas kesilapan lalu menjernihkan kembali hubungan yang sekian lama renggang.

Ini mengingatkan kita tentang sejarah silam di kampung, belajar di bandar dan di luar negara, tinggal di pinggir bandar dan di bandar bekerja meninggalkan kampung halaman dalam suasana yang tidak sama dan akhirnya terasa rindu kepada kampung halaman dan merasakan kembali ke kampung menjadi sesuatu yang amat bermakna.

Di kampung terdapat kawan-kawan lama yang sudah meningkat umur, tua dan uzur. Menziarahi mereka menghidupkan kenangan lama dan menambahkan keceriaan hari raya. Bertanya khabar, berkongsi pengalaman masing-masing sesuatu yang terbaik antara memahami realiti hidup, resam perubahan yang terjadi dan takdir kehidupan yang berlaku.

Banyak perkara yang dapat dipelajari apabila balik kampung. Sahabat dan rakan lama ada yang sudah pergi dan terdapat yang sakit dan uzur. Ini memperingatkan bahawa kita juga akan pergi menghadap Allah, keuzuran terutama mereka yang sudah bersara.

Lazim di bandar atau pinggir bandar sering diadakan rumah terbuka mengundang rakan taulan bersama. Ini juga suatu tradisi ziarah lantaran hari-hari biasa sibuk bekerja dan ada urusan yang perlu disempurnakan. Ini menambah rasa mahabbah dan mengeratkan silaturahim.

Tradisi ziarah ini tidak hanya patut berlaku di musim raya saja. Ia seharusnya berlaku di hujung minggu atau waktu percutian dan bila ada kelapangan atau mende­ngar perkhabaran rakan sekampung uzur dan berada di hospital. Terdapat dalam kalangan kita mengamalkan tabiat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Kemajuan dan keselesaan menyebabkan kita lupa tidak mempedulikan perihal orang lain.

Walaupun teknologi komunikasi hari ini semakin canggih tetapi ia tidak sama dengan ziarah yang sebenar. Ziarah dengan mendatangi rakan taulan lebih memberi kesan kerana senyum dan tawa, tangis dan sedih boleh memberikan kesan yang mendalam kepada diri.

Aidilfitri sebagai hari kemenangan mengikis sifat sombong dan angkuh dan sedia untuk bersalaman dan bermaafan supaya timbul kejernihan pada hati untuk terus mengukuhkan mahabbah dan silaturahim yang amat dituntut di zaman nafsu nafsi dan mementingkan kebendaan yang semakin subur kini.