NIK MOHAMMAD AZLI NIK ARIFFIN

Program yang dilaksanakan sejak 2009 itu melibatkan pemberian bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk rawatan perubatan kepada penduduk di kawasan Parlimen tersebut tanpa mengira kaum. Ahmad Zahid berpesan kepada beliau untuk memastikan melalui program berkenaan kebajikan mereka sentiasa terbela tidak kira sama ada penduduk itu tinggal di bandar atau kampung, desa atau ladang.

Ternyata kesibukan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri sama sekali tidak menghalang Ahmad Zahid untuk melaksanakan khidmat beliau sebagai wakil rakyat dengan mewakilkan individu seperti Dr. Nik Mohammad Azli sementara menanti beliau kembali ke kawasan untuk menjenguk mereka.

Berpandukan kepada arahan Ahmad Zahid dan bagi memastikan program itu berjaya serta berkesan penglibatan semua pihak digembleng. Atas sebab itulah, seperti mana diberitahu oleh Dr. Nik Mohammad Azli kepada penulis, setiap program yang beliau laksanakan dimaklumkan kepada ketua kampung, ketua cawangan dan ketua-ketua sayap parti.

Langkah itu bertujuan bagi memastikan mereka bergerak seiring dengan kepemimpinan bahagian. Melalui tindakan tersebut juga ia membolehkan program itu dilihat lebih menyeluruh dengan kerjasama UMNO bahagian dan Pejabat Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Hakikatnya bukan sahaja di Bagan Datuk malah di kawasan lain juga, Ahmad Zahid mahu program seumpama itu disemarakkan dengan penglibatan sayap-sayap parti membantu pemimpin-pemimpin bahagian yang mempunyai jawatan dalam Kabinet.

Sememangnya apa yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri adalah langkah tepat dalam memastikan seluruh tenaga parti digerakkan untuk melaksanakan program demi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Melalui pendekatan itu ia bukan sahaja mewujudkan kerjasama erat antara kepemimpinan bahagian dengan sayap-sayap parti malah akan memberi isyarat kepada rakyat bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO sentiasa mengambil berat kebajikan mereka sepanjang masa.

Atas sebab itu, adalah wajar dalam keadaan gendang pilihan raya umum mula sayup-sayup kedengaran, semua bahagian-bahagian UMNO perlu mematuhi arahan Ahmad Zahid yang mahu mereka memperbanyak program seperti Ziarah Kasih tersebut. Kerjasama erat antara kepemimpinan bahagian termasuk sayap-sayap sudah pasti akan mampu mewujudkan persefahaman dan mengukuhkan hubungan sesama mereka dalam usaha melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Dalam soal ini keikhlasan amat penting ditonjolkan oleh kepemimpinan bahagian. Mereka tidak perlu takut dengan ba­yang-bayang sendiri apabila melihat kerja-kerja yang dilakukan oleh sayap-sayap. Sebaliknya, mereka perlu ber­syukur dan berterima kasih kerana kepemimpinan sayap-sayap sanggup bersama-sama untuk melaksanakan program yang pastinya akan memberikan keuntungan kepada parti secara keseluruhannya.

Apapun seperti mana kata Dr. Nik Mohammad Azli pujian harus diberikan kepada kepemimpinan bahagian yang memberi peluang dan ruang untuk sayap UMNO sama-sama membantu rakyat di peringkat umbi.

Sememangnya itulah yang seharusnya dilakukan kerana dalam berhadapan pilihan raya umum kali ini, semua peringkat parti perlu mengelakkan politiking sesama sendiri kerana apa yang penting adalah kemenangan parti dalam pilihan raya. Semoga program Ziarah Kasih yang dicetuskan oleh Ahmad Zahid akan terus bertebaran di seluruh negara, sekali gus membuktikan BN dan UMNO pembela sebenar nasib rakyat.