Jika diizinkan Tuhan umur panjang, kita akan bangun pagi dan menjalankan rutin harian seperti yang dilakukan sepanjang usia kita sebelum ini. Kehidupan kita macam itu juga melainkan jika kita mahu melakukan perubahan.

Hakikatnya untuk terus hidup ini kita perlu solat, makan, minum, rehat, bersenam, puaskan hati dengan menonton atau menikmati persembahan hiburan, membeli-belah, rehat, dan tidur. Namun semua perbuatan yang di luar rumah ada harga yang perlu dibayar.

Sebab itu sekarang orang sibuk merungut tentang kos sara hidup. Apa saja barangan atau perkhidmatan yang kita beli dan gunakan itu semakin meningkat harganya.

Tak payah cerita tentang harga barangan dan perkhidmatan yang pelbagai disediakan di luar rumah, lihat pada harga makanan di restoran atau gerai pun kita terasa harganya kian mahal. Memang ada yang menjual pada harga patut tapi tak banyak yang kita temukan.

Makan nasi campur dengan lauk ikan goreng, sayur gulai, ulam-ulaman dan segelas minuman ringan sudah melebihi RM9. Itu baharu seorang. Kalau makan bersama isteri dan dua orang anak yang sedang membesar, dengan menu yang lain, paling kurang kosnya dekat RM50. Itu harga makanan di restoran biasa.

Jika bawa keluarga makan di restoran berjenama dan letaknya pula di dalam gedung beli-belah, mi kari laksa, nasi goreng, nasi lemak dan makanan ala-Barat berserta minuman, mahu keluar belanja lebih RM100.

Memang orang sekarang tidak ambil kisah tentang harga mahal sebab mereka sedar bahawa hidangan dalam pinggan atau mangkuk yang besar, kerusi meja yang cantik, selesa dan tempatnya eksklusif serta hiasan dekorasi yang cantik, maka begitulah harganya.

Pelanggan bagaikan 'kena tolong' pengusaha restoran untuk bayarkan kos pembelian set pinggan mangkuk, kerusi meja, peralatan dapur, dekorasi, bahan mentah makanan dan minuman yang mahal. Itu belum termasuk sewa dan gaji pekerja yang setiap tahun naik.

Memang makan di luar semuanya mahal. Contoh mudah, lima tahun lalu harga sate ayam secucuk baru RM0.60, sekarang sudah naik pada harga RM1 hingga RM1.90 (ikut saiz). Kalau seorang makan lima cu­cuk saiz biasa, sudah RM5 be­lanjanya.

Hakikatnya tiada makanan yang murah. Air kosong pun harganya 50 sen segelas.

Sebab itu bila tiba tahun baharu ini, risau juga jika ada peniaga yang menaikkan harga barangan jualan tanpa kita sedar. Maklumlah kaki-tangan kerajaan atau swasta biasanya menerima kenaikan gaji tahunan tak termasuk bonus pada awal tahun.

Imbuhan

Tahun 2017 dan tahun se­belumnya, banyak rungutan rakyat tentang kos sara hidup yang membabitkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Walaupun ada reaksi pihak berwajib, tapi pada pengamatan saya, tak nampak kesannya kerana banyak harga barangan keperluan tidak turun juga. Sekali harga naik, payah nak turun semula.

Para peniaga sudah lali dengan perangai kita sebagai pengguna. Kita bising bagaikan anjing menyalak bukit tapi ke­sannya kita yang kalah. Akhirnya mahu tidak mahu kita terpaksa membeli juga pada harga mahal. Semua pihak mahu untung.

Perolehan dalam pendapatan penting untuk menjana ekonomi. Begitu juga pihak kerajaan yang terpaksa mencari pendapatan melalui cukai dan perkhidmatan. Biasanya suku tahun pertama ini pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mula mengutip cukai pendapatan daripada individu dan majikan yang terbabit.

Pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pun sama sibuk menguatkuasakan akta syarikat demi kebajikan pekerja. Majikan yang ada syarikat dan pekerja akan dicari sampai dapat bagi mengutip caruman untuk pekerja biarpun syarikat belum mendapat apa-apa projek atau perniagaan.

Banyak syarikat baharu yang kena kejar dengan pegawai KWSP sebab kutipan caruman itu termaktub dalam akta. Lambat bayar boleh disaman.

Begitu juga agaknya yang dilakukan oleh peniaga untuk meningkatkan pendapatan. Kalau kakitangan awam saban tahun mendapat kenaikan gaji, pekerja swasta pun mahu menikmati imbuhan yang sama. Untuk tujuan itu, biasanya pengguna yang membayarnya dalam bentuk harga barangan yang lebih tinggi sedikit daripada biasa.

Kenaikan harga barangan atau perkhidmatan ini ada pihak yang sedar, tapi ramai yang tidak sedar. Ia boleh berlaku setahun sekali, suku tahun sekali atau setiap bulan dengan kenaikan yang tanpa kita sedar. Cuba periksa semula senarai harga barangan pada resit pembelian di pasar raya anda pada bulan lalu. Bandingkan dengan haraga barangan yang sama pada resit semasa.

Peniaga dan pengusaha perniagaan 'kena naikkan' harga barang dan perkhidmatan bagi menampung kos untuk membayar gaji dan kenaikan gaji tahunan para pekerjanya. Sebab itu tahun demi tahun harga barangan tidak akan sama dengan tahun sebelumnya kecuali barangan kawalan.

Oleh demikian, janganlah kita mengharapkan harga barangan keperluan seperti ikan kembong, selar dan sardin boleh dapat selonggok RM2, sayur sawi, kangkung dan bayam tiga ikat RM2 dan buah durian tiga biji atau penuh satu beg plastik cuma RM10.

Bahan mentah untuk masakan di restoran pun kini sudah mahal. Mahu tak mahu terpaksalah dijual mahal. Kita terimalah hakikat zaman sekarang semua orang mahu pendapatan tinggi. Jadi kena bayar harga barangan dan perkhidmatan pada harga yang tinggi juga.