Walaupun pernah menjadi Menteri Penerangan, Zainuddin lebih dikenali sebagai wartawan hebat sepanjang zaman yang tidak ada tolok bandingnya. Sumbangan arwah kepada dunia kewartawanan dan persuratkhabaran sangat besar.

 

Awang adalah salah seorang anak didik Allahyarham sewaktu beliau memegang jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. Mengenali Zainuddin, beliau adalah seorang wartawan yang tegas, kritis, bijak membaca senario politik semasa dan sangat berprinsip. Allahyarham tidak mudah tunduk kepada desakan apatah lagi melulu mengikut rentak politik 
semasa.

Awang akan terus mengingati catatan allahyarham dalam buku Di Depan Api, Di Belakang Duri mengenai Utusan Melayu: “Utusan Melayu telah dibina di atas susunan dan lapisan tapak-tapak sejarah kecekalan, keberanian, kegigihan, iltizam yang membakar para pejuangnya untuk menegakkan pergunungan maruah sebagai bangsa beragama dan bernegara.’’

Semoga Allah mengampuni segala dosa allahyarham dan menempatkan arwah dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.


UMNO PERLU PEJUANG SEJATI

AHMAD ZAHID HAMIDI
AHMAD ZAHID HAMIDI 

Awang tidak terkejut dengan tindakan enam ahli Parlimen UMNO isytihar keluar parti kelmarin.

Khabar angin tentang perkara ini sudah bertiup kencang sejak sekumpulan wakil rakyat UMNO dari Sabah berbuat demikian beberapa hari lalu. Hari ini khabar angin itu bertukar menjadi berita nyata.

Awang percaya lebih banyak cakap-cakap tentang isu keluar parti bakal tersebar selepas ini. Malah lebih dahsyat cerita kononnya UMNO akan diharamkan sehari dua lagi sudah pun berlegar-legar. 

Ramai pemerhati politik melihat apa yang berlaku ini satu lagi ujian besar kepada parti keramat yang besar jasanya kepada negara. Bagaimanapun pada Awang, itu bukan sesuatu yang asing kepada UMNO. Sejarah membuktikan UMNO sudah banyak kali berhadapan dengan ujian dan cabaran sedemikian. Malah ada yang lebih besar sehingga sampai ke tahap diharamkan. Namun parti tersebut tetap gagah menongkah cabaran selepas itu hasil doa ahli.

Mei lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal membentuk Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. Awang percaya apa yang berlaku ini bukan sekadar menjadi pengajaran berguna malah menjadikan UMNO terus beristiqamah dan kuat demi agama bangsa dan tanah air. 

Dalam hal ini Awang tabik kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau tenang berhadapan dengan apa yang sedang berlaku ini. Sebagai pemimpin yang lasak dan sudah banyak kali diuji, beliau tidak cemas. Sebagai pemimpin yang naik dari peringkat bawah, Ahmad Zahid turut menitipkan pesanan kepada seluruh ahli parti agar tidak panik. Tegasnya, apa yang berlaku ini bersifat sementara. Beliau yakin ahli akar umbi yang menjadi tonggak kekuatan dan perjuangan parti tidak akan terikut-ikut dengan tindakan segelintir ketua mereka.

 Awang tidak pasti apa sebab sebenar mereka berbuat demikian. Macam-macam cerita muncul. Ada yang mendakwa mereka ditekan, diugut dan berhadapan dengan masalah kewangan. Sebagai jalan penyelesaian mereka bertindak keluar atau melompat parti dengan berat hati. Khabarnya ada juga yang berbuat demikian kerana `tidak tahan’ duduk di luar kerajaan. Mereka ini masih `rindukan’ jawatan dalam kerajaan. Ada juga memberi alasan tidak berpuas hati dengan beberapa pemimpin tertinggi parti, satu alasan lemah dan sengaja dibuat-buat.  

 Walaupun tidak jelas punca sebenar kumpulan ini meninggalkan parti, pada Awang biarkan sahaja. UMNO tidak perlu merintih atau menangisi apatah lagi berdukacita dengan pemergian mereka itu. Ada yang merasakan tidak payah tangisi pembelot dan pengkhianat parti. Pemimpin datang dan pergi adalah resam dalam politik. Atas apa alasan sekalipun Awang masih berlapang dada dalam hal ini malah ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala jasa yang telah dicurahkan sepanjang bersama UMNO.  

 UMNO tidak memerlukan pemimpin yang mudah patah semangat dan tergamak lari daripada perjuangan lebih-lebih lagi ketika sedang berhadapan dengan waktu-waktu sukar sebagaimana sekarang. Parti ini memerlukan mereka yang kental, ada jati diri, kuat semangat dan sanggup mengibarkan obor perjuangan sehingga sampai kepada titisan keringat perjuangan terakhir. Hanya pemimpin yang ikhlas, sejati dan tidak patah semangat sahaja sanggup kekal berjuang.

Awang sebenarnya merasa amat terharu dengan sikap ahli-ahli akar umbi yang tidak terpengaruh dengan tindakan keluar parti. Juga kepada sebahagian besar baki wakil rakyat UMNO yang berazam untuk terus bersama parti keramat ini.

Awang percaya semangat yang ditunjukkan Presiden parti harus menjadi contoh dan kekuatan kepada mereka untuk sama-sama meneruskan agenda perjuangan ini. UMNO yang ditubuhkan di Istana pasti kembali berkuasa jika setiap ahli bermuafakat, dinamik, progresif dan terus membela rakyat.

APA DOSA MEREKA?

MUJAHID YUSOF
MUJAHID YUSOF 

AWANG tertanya-tanya betulkah 10 orang pendakwah terkenal tanah air disekat daripada menyampaikan ceramah mereka  dalam televisyen dan radio bermula 1 Januari tahun depan? Jika benar seperti yang ditular, ini adalah satu kerugian kepada umat Islam negara ini.

Kumpulan 10 pendakwah itu adalah dalam kalangan mereka yang dihormati kerana mempunyai ilmu pengetahuan agama cukup tinggi.  

Siapa tidak kenal Datuk Mohd. Kazim Elias atau dikenali dengan Ustaz Kazim, Datuk Dr. Norhafizah Musa (Ustazah Norhafizah), Syamsul Debat, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, Ustaz Azhar Idrus.

Begitu juga Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd. Bakri Syed Ishak (PU Syed) dan PU Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin). Mereka memang popular dan mempunyai pengikut yang begitu ramai.

Awang sendiri sentiasa mengikuti ceramah-ceramah mereka sama ada dalam televisyen, radio mahupun media sosial. Terlalu banyak ilmu yang mereka kongsikan. Daripada ilmu tauhid, ilmu fiqah, kekeluargaan, sirah Rasulullah SAW, isu-isu semasa sehinggalah kisah kehidupan selepas kematian. Kesemua ilmu ini menjurus kepada usaha mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Awang tidak pasti apa kesalahan mereka sehingga disenarai hitamkan daripada muncul dalam rancangan televisyen. Mereka bukanlah penceramah kontroversi sehingga boleh membawa kepada perpecahan atau mengancam keselamatan negara. 

Apapun Awang sedikit lega apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof awal-awal lagi menafikan pihak beliau telah mengeluarkan senarai 10 pendakwah terbabit.

Diharap penafian itu segera menamatkan spekulasi yang berlaku sekali gus menjadi satu bentuk jaminan daripada pihak kerajaan bahawa setiap pendakwah terlibat akan terus dibenarkan menyampaikan dakwah mereka sama ada dalam televisyen mahupun radio.