Kompleks yang ditubuhkan pada 1988 itu kini menjadi rujukan kebudayaan dan kesenian masyarakat negeri ini dalam bentuk rekod, dokumen, manuskrip, buku dan peninggalan bertulis serta tesis akademik.

Pengarahnya, Mohd. Shahrin Rahmat, berkata, matlamat penubuhan YWJ adalah untuk memartabatkan warisan sejarah, persuratan, seni dan budaya negeri itu menerusi wawasan pemantapan jati diri Johor melalui usaha-usaha pemuliharaan.

“Antara objektifnya ialah menjalankan penyelidikan dan usaha-usaha pemeliharaan sejarah, persuratan, seni dan budaya serta memelihara secara sistematik dan saintifik warisan sejarah, persuratan, seni dan budaya.

“Ini termasuk tanah, tapak tanah dan monumen sejarah. YWJ juga mendokumentasi dan menyebarkan hasilan usaha pemeliharaan semua yang dilakukan itu melalui tugas-tugas pengelasan, pengkatalogan dan penyimpanan data secara sistematik,” katanya kepada S2.

Selain itu, yayasan itu turut membina muzium yang berfungsi untuk mengenengahkan ciri-ciri sejarah, persuratan, seni dan budaya Johor, selain mengolahnya sebagai sumber ekonomi.

Mohd. Shahrin berkata, antara lain YWJ menempatkan Mini Galeri Seni Johor, Galeri Menteri Besar, Laman Seni Warisan, Dewan Utama, Pusat Dokumentasi, Bengkel Tenun dan Galeri Tenun.

Mini Galeri Seni Johor ujarnya, mempamerkan lukisan serta arca karya seni lukis pelukis Johor dan negeri lain, selain diadakan pameran lukisan secara berkala setiap tiga bulan.

“Galeri Menteri Besar mengumpulkan ucapan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bermula sebagai ahli politik hingga dilantik sebagai Menteri Besar termasuk biografinya. Ini juga termasuk semua inspirasi dan cetusan idea beliau dengan dasar dan strateginya untuk Johor,” katanya.

Laman Seni Warisan pula katanya, menjadi platform kumpulan kebudayaan dan kesenian, penggiat serta pencinta seni dan budaya untuk mempersembahkan tari dan muzik pada setiap minggu.

Mengenai Pusat Dokumentasi, beliau menjelaskan, antara bahan rujukan adalah berkaitan sejarah, persuratan, kesenian dan budaya Johor, selain berfungsi menyelidik, mengumpul bahan-bahan seperti foto, dokumen dan perolehan buku sejarah.

Sementara itu, Bengkel Tenun katanya, mempamerkan sejarah dan hasil tenunan Johor yang pernah wujud sekitar tahun 1960-an.

Tambahnya, bengkel dan pameran tenun itu dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

“Galeri Tenun pula menyingkap sejarah warisan tenun negeri ini. Terdapat 10 reka corak dan motif songket dan tenun dicipta dan dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Beberapa segmen juga diwujudkan dalam pengisian galeri ini,” ujarnya.