ABDULLAH ABU BAKAR
ABDULLAH ABU BAKAR

Kita sudah tentu mengenali pemimpin yang pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) seperti Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (1982-1986), Datuk Seri Hasan Malek (1986-1988) dan Tan Sri Mohd. Ali Rustam (1988-1990).

Mereka dikenali kerana telah berkecimpung dalam bidang politik di peringkat nasional dan terus memberi sumbangan dalam pelbagai bidang walaupun tidak lagi termasuk dalam kategori belia.

Had umur belia kini adalah antara 15 hingga 40 tahun tetapi kerajaan dijangka menurunkan kepada 15 hingga 30 tahun bermula tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat ramai lagi bekas aktivis belia sejak penubuhan MBM pada 1950 yang turut memberikan sumbangan tetapi jasa mereka seolah-olah dilupakan.

Cukup menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka hidup serba kesusahan. Ada antaranya kurang sihat dan terlantar kerana pelbagai jenis penyakit tetapi kebajikan mereka tidak dihiraukan walaupun banyak berjasa kepada pembangunan belia negara ini.

Misalnya, pada 2013 pernah didedahkan kisah sedih bekas aktivis belia, Mohd. Hadzri Dollah, 52, yang hidup serba kekurangan dan dihimpit kemiskinan apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.

Dia hilang kudrat bagi mencari nafkah untuk menyara isteri dan enam anaknya yang masih bersekolah serta terpaksa bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan untuk menampung perbelanjaan seharian.

Kisah sedih seperti itu sudah pasti tidak akan berterusan apabila Alumni MBM mengadakan majlis makan malam bagi menghimpunkan semula kira-kira 1,500 bekas aktivis belia untuk me­ngerat­kan silaturahim sesama me­reka dan memastikan golo­ngan itu tidak terus dilupakan.

Majlis itu akan diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula pukul 7 malam ini.

Ketika majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu, akan dilancarkan Yayasan Alumni MBM bagi menjaga kebajikan bekas aktivis belia.

Menurut Naib Presiden Alumni MBM, Datuk Abdullah Abu Bakar, majlis itu bukan sahaja akan dihadiri oleh bekas presiden-pre­siden MBM, malah semua pihak yang terlibat sama memberi sumbangan kepada pembangunan belia pada peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung.

“Takrif bekas aktivis belia ini bukan sahaja kepemimpinan ka­nan dan ahli Dewan Tertinggi MBM serta badan-badan gabu­ngan daripada pelbagai kaum, ma­lah termasuk penerima anugerah belia di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

“Ini termasuk bekas menteri dan pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai di pejabat belia daerah.

“Pada kesempatan ini, saya me­­ngalu-alukan kehadiran semua bekas aktivis belia walaupun mungkin undangan kita tidak sampai atas sebab tertentu, mereka dipersilakan hadir,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai pelancaran Yayasan Alumni MBM dalam majlis makan malam yang julung kali diadakan pada peringkat kebangsaan, beliau berkata, langkah itu adalah bagi mengumpul dana untuk membantu bekas aktivis belia di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sekarang ini sudah tentulah bekas aktivis belia ini ada yang uzur kerana sudah berumur. Mereka memerlukan bermacam-macam bantuan.

“Penubuhan yayasan ini di­buat kerana kita sedar badan se­perti itu belum ada seperti yang telah dimiliki oleh bekas atlet, polis dan tentera,” ujarnya.

Tambah beliau, majlis makan malam itu hanyalah permulaan untuk bekas aktivis belia bergabung kembali sama seperti ketika muda apabila masing-masing sehati sejiwa dalam satu kumpulan bagi memperjuangkan pelbagai isu membabitkan golongan belia.

Bekas aktivis belia adalah aset kepada negara kerana mereka kaya dengan pelbagai pengalaman yang tidak diajar secara formal di universiti.

Apa salahnya mereka terus mem­beri sumbangan bagi ‘menye­la­matkan’ generasi muda yang sedang dilanda pelbagai cabaran zaman moden ini selaras dengan nasihat bekas Perdana Menteri yang juga Penaung MBM pertama, Tun­ku Abdul Rahman Putra Al-Haj:

“Bahawa dalam perjalanan se­­jarah Malaysia, tidak ada satu ba­ngsa pun yang boleh menye­lamatkan dirinya jika bangsa itu ber­diam diri memeluk tubuh selamanya.”