JCorp melalui WAN Corp memperkenalkan Waqaf Saham Larkin Sentral bagi membolehkan individu, syarikat atau orang ramai termasuk bukan Islam mewakafkan saham mereka yang digunakan untuk menaik taraf dan membangunkan terminal pengangkutan Larkin Sentral. Ikuti temu bual siri satu dengan wartawan Mingguan Malaysia, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH, NURUL HUDA HASSAN dan jurufoto, RAJA JAAFAR ALI dengan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp DATUK KAMARUZZAMAN ABU KASSIM tentang saham wakaf berkenaan, baru-baru ini.
Siri kedua wawancara ini akan memfokus kepada bagaimana cara untuk mewakafkan saham berkenaan dan manfaat yang diperoleh pewakaf hasil langganan

 

 

MINGGUAN: Bagaimana tercetusnya idea untuk mewujudkan wakaf saham di JCorp?

KAMARUZZAMAN: Sejak penubuhannya pada tahun 1968, Johor Corporation (JCorp) telah melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial. Salah satu usaha JCorp ialah menerusi pembinaan masjid-masjid yang kemudiannya diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menerusi kerjasama dengan MAINJ, JCorp telah dilantik untuk mengurus masjid-masjid tersebut. Pada tahun 2000, JCorp telah mewakafkan masjid pertamanya, iaitu Masjid An-Nur Kotaraya yang terletak di kompleks beli-belah di Johor Bahru dan diikuti dengan pewakafan Klinik Waqaf An-Nur Kotaraya.

JCorp sebagai syarikat milik kerajaan negeri turut memilih prinsip dan nilai-nilai Islam sebagai elemen utama bagi melaksanakan tanggungjawab korporat. Daripada nilai-nilai murni Islam ini, maka JCorp telah mengambil langkah untuk berwakaf supaya manfaatnya dan menyeluruh untuk setiap golongan dan masyarakat.

Pada 11 Julai 2005, WANCorp sebagai Nazir Khas yang dilantik oleh MAINJ iaitu untuk menguruskan saham-saham syarikat dalam kumpulan JCorp.

Ia merupakan satu langkah besar berinovatif JCorp melalui konsep wakaf saham. JCorp menceburkan diri di dalam sektor korporat dan bisnes , oleh itu JCorp perlu memfokuskan kepada saham sebagai instrumen pewakafan.

Pada 2009, saham JLand diistibdal kepada Al-Aqar REIT hasil daripada penswastaan JLand. Seterusnya, pelaksanaan skim Selective Capital Reduction (SCR) oleh Kulim (M) Berhad menyaksikan pelbagai inisiatif baharu yang dilakukan WANCorp dalam melakukan istibdal dengan harta gantian yang lebih baik dan seterusnya pembelian hartanah dalam mengembangkan aset WANCorp. Nilai aset keseluruhan sehingga akhir 2016 adalah sebanyak RM814 juta.

Sejak tahun 2005 hingga 2016, WANCorp menerima manfaat menerusi pembayaran dividen bersih daripada syarikat-syarikat tersebut sebanyak RM179 juta dan antara sumbangan adalah memberi peruntukan kepada program amal seperti membantu pesakit menerusi rangkaian hospital dan klinik Waqaf An-Nur, mengimarahkan masjid, menyumbang kepada persatuan kebajikan, anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, bantuan kemanusiaan dan lain-lain program serta pelaksanaan program tanggungjawab korporat.

Selain itu, sumbangan diberikan kepada Program Pendidikan dan Keusahawanan menerusi Program Bistari (Siswa untuk pelajar universiti, Tunas untuk pelajar sekolah menengah dan Didik untuk pelajar sekolah rendah).

Program Bistari merupakan program pembudayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah dan universiti. Projek khas pula ialah program usahawan meliputi projek membudayakan bisnes melalui pembangunan usahawan termasuk usaha yang dijalankan oleh WANCorp melabur dalam sektor hartanah bagi membantu usahawan bumiputera.

Boleh Datuk berkongsi kelebihan dan kepentingan saham wakaf ini kepada masyarakat dan kerajaan?

KAMARUZZAMAN: Wakaf saham merupakan satu pendekatan inovatif yang diadaptasi daripada institusi wakaf Islam yang dapat dijadikan strategi organisasi utama dalam menentukan kejayaan bisnes dan ekonomi dan apa yang kita lancar ini (wakaf saham) sesuatu yang baharu kerana ia mempunyai satu inovasi menarik, iaitu sebelum ini konsep wakaf hanya eksklusif kepada syarikat dan kini ditawarkan kepada orang awam.

Institusi wakaf semakin diberi perhatian kini lantaran kesedaran tentang kepentingannya dalam membangunkan agama, masyarakat dan negara.

Dalam rangka pembangunan ekonomi ummah, Islam mengemukakan pendekatan yang bersepadu dan proaktif dalam menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat umat Islam.

Ini dapat dilihat menerusi instrumen wakaf yang divariasikan pengurusannya sehingga berupaya menjana hasil yang besar hingga mampu menaik taraf hidup masyarakat sesebuah negara dan meringankan beban kewangan kerajaan atau pemerintah.

Merujuk ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 September 2013 mengenai Agenda Perkasa Ekonomi Bumiputera ada menyatakan tentang pembangunan wakaf akan dijadikan sebagai instrumen modal teroka dan pelaburan baharu bagi memperkasakan ekonomi bumiputera.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 pula menyatakan wakaf adalah penyelesaian yang ditawarkan oleh Islam dan sejak sekian lama menjadi jalan Islam membangunkan ummah dalam bidang ekonomi, pendidikan, prasarana dan kesejahteraan sosial.

WANCorp menerusi MAINJ dan JCorp mengorak langkah untuk bersama-sama kerajaan dalam meningkatkan pembangunan sosial dan ekonomi negara, antaranya membina dan menguruskan enam buah masjid, 22 Klinik Waqaf An-Nur (termasuk sebuah Hospital Waqaf di Pasir Gudang) dan mempunyai pusat dialisis serta program komuniti iaitu pusat jahitan untuk ibu tunggal dan Dana Niaga bagi program mikro kepada usahawan kecil.

WANCorp terus berdaya saing dengan pelbagai inisiatif yang diwujudkan bagi memastikan hasil manfaat wakaf ini terus berkembang dan bertambah demi kelangsungan ummah. Hasil manfaat ini diagihkan secara terus kepada golongan yang memerlukan.

Bagaimana wakaf ini berbeza berbanding dengan wakaf yang lain seperti wakaf tunai dan aset?

KAMARUZZAMAN: Pada masa sekarang, kesemua bentuk pewakafan yang ada di negara kita dan dunia adalah berbentuk tunai dan aset. Sebagai contoh, pewakaf secara bersendirian atau kolektif mewakaf tunai untuk pembangunan masjid, kampus universiti, pembangunan rumah anak yatim dan tanah perkuburan untuk kepentingan ummah.

MAINJ telah mengambil langkah ke depan dengan memperkenalkan konsep Saham Wakaf pada tahun 1992 dengan pewakaf mewakaf tunai minimum RM10 seunit untuk membiayai pembinaan bangunan pejabat di Johor Bahru dan bangunan asrama para pelajar di Timur Tengah.

Menyedari kepentingan wakaf sebagai sebuah institusi yang mengukuhkan ekonomi ummah, pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menerbitkan buku "Waqf Assets: Development, Governance & the role of Islamic Capital Market" pada 2014.

Konsep wakaf saham yang telah diperkenal dan dilaksanakan oleh JCorp sebelum ini adalah bersifat eksklusif dengan hanya JCorp sebagai institusi korporat pertama milik kerajaan negeri yang mewakafkan saham-saham miliknya kepada WANCorp.

Sebagai perintis kepada konsep wakaf saham dan dalam usaha melestarikan sumber dan manfaat wakaf, kini JCorp memberikan peluang kepada pihak institusi, syarikat dan orang awam untuk mewakafkan saham-saham syarikat di bawah WANCorp. Cadangannya adalah melalui penerbitan Waqaf Saham Larkin Sentral bagi membiayai pembangunan naik taraf bangunan dan sistem terminal pengangkutan.

Oleh kerana terdapatnya penawaran saham-saham baharu oleh Larkin Sentral yang perlu mendaftarkan prospektus di SC.

Prospektus merupakan satu dokumen yang mengandungi maklumat-maklumat penting tentang syarikat, butiran berkenaan penawaran saham, memberi gambaran tentang pembangunan Larkin Sentral dan bagaimana dana tersebut digunakan untuk pembiayaan pembangunan Larkin Sentral yang dikumpulkan akan diagihkan.

Ini adalah sangat penting kerana dengan adanya penerbitan prospektus tersebut, maka segala proses penawaran, pengurusan serta pelaporan dana wakaf ini akan dibuat dengan lebih tersusun, profesional dan telus.

Perkara ini membolehkan para pewakaf mengetahui mengenai perkembangan pembangunan di Larkin Sentral seperti dijanjikan. Secara tidak langsung, ia menjadi satu contoh inovasi baharu dalam usaha memastikan sistem wakaf dapat terus diperkasakan dan diyakini lagi dengan tadbir urus yang baik.

Boleh kongsi lebih lanjut tentang Waqaf Saham Larkin Sentral?

KAMARUZZAMAN: Larkin Sentral menggabungkan terminal pengangkutan awam darat yang menjadi tumpuan hampir 26,000 pengunjung sehari atau sembilan juta pengunjung setahun.

Larkin Sentral Property Berhad melalui WANCorp telah melancarkan projek Waqaf Saham Larkin Sentral di mana Larkin Sentral Property Berhad menawarkan 850 juta unit saham baharu bernilai RM0.10 setiap saham kepada institusi-institusi dan orang awam yang kemudiannya akan mewakafkan saham tersebut kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad melalui Hujjah Wakaf.

Jumlah RM85 juta tersebut akan digunakan untuk membiayai projek naik taraf terminal dan bangunan pasar awam serta pembelian tanah bagi pembinaan tempat letak kereta bertingkat.

Waqaf Saham Larkin Sentral ini juga telah diiktiraf sebagai saham patuh syariah oleh Ahli Majlis Penasihat Syariah SC pada 20 April 2017.