Kedua-duanya saya menyaksikan sendiri, merasai sendiri dan terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Ia tiada kaitan langsung dengan apa yang anda fikirkan. Tiada kaitan langsung dengan politik, politik kebencian, politik perkauman, politik sempit dan politik celaru.

*****

Syabas MySilat MyFest 2015!

APA signifikannya majlis itu? Ia sungguh hebat. Ia mempunyai makna yang amat besar kepada seni silat Melayu yang cukup beradat itu.

Saya menyaksikan di depan mata saya bagaimana ribuan anak muda berhimpun-penuh di Stadium Merdeka untuk membuat persembahan gerak Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi.

Mereka mahu memecah rekod Guinness World Records, yang jarang-jarang dilakukan di Malaysia. Signifikannya, mereka berjaya mencatat nama dalam rekod dunia itu.

Saya hampir menitis air mata, terharu dengan kesungguhan me­reka dan sorak gembira mereka atas kejayaan itu.

Ia turut disertai oleh ribuan anak kecil sekolah, ribuan mahasiswa dari seluruh pelosok institusi pengajian tinggi yang menjadikan seni silat itu sebagai aktiviti kokurikulum mereka.

Saya dapat menyaksikan YB Khairy Jamaluddin yang merasmikan acara itu turut teruja. Mungkin beliau tidak sangka itu magnitud­nya.

Syabas kepada mahagurunya atau grand master Pewaris Mutlak Silat Cekak, Sheikh Radzi Hanafi yang mengetuai acara silat di hadapan ribuan anak muridnya.

Kata beliau: “Kejayaan penganjuran program MySilat MyFest 2015 di ambang kemerdekaan, berdiri pula di tapak kemerdekaan ini menjadi saksi semangat Satu Suara Satu Hati seluruh warga Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi yang datang dari setiap pelosok dunia.”

Ironinya semasa warga silat itu sedang memecah Guinness World Records, puak-puak penentang keharmonian berbaju kuning sedang terpekik terlolong di luar stadium bertuah itu.

Syabas anak-anak silat sekalian. Sepatutnya media memberi liputan live terhadap acara silat itu, bukan sebaliknya!

*****

Cabaran kereta solar merentas 3,000km benua Australia

SEKUMPULAN anak-anak muda Malaysia pelajar kejuruteraan UiTM kini bersiap-sedia untuk ke Australia bagi merentas benua itu.

Anak-anak muda ini hebat-hebat belaka. Semangat mereka cukup kental.

Mereka membina sebuah kereta berkuasa solar untuk menyertai Bridgestone World Solar Challenge 2015. Kumpulan mereka diberi nama Eco Photon Solar Team UiTM.

Ia merupakan perlumbaan kereta solar sejauh 3,000km bermula dari Darwin hingga ke Adelaide.

Perlumbaan akan bermula dari 18 Oktober hingga 25 Oktober ini.

Kereta solar itu diberi nama Stingray atau pari kerana rupanya seperti ikan itu.

Stingray adalah kereta solar pertama yang dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan Eco Photon yang terdiri daripada gabungan tiga fakulti kejuruteraan iaitu kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal dan kejuteraan elektrik. Seramai 25 pelajar terlibat dalam projek itu.

Sebelum ini, pasukan ini me­nyertai pertandingan Eco Shell Marathon dan menjadi johan dua tahun berturut-turut untuk dua kategori iaitu Hydrogen Fuel Cell Urban dan rototaip.

Pasukan Eco Photon telah ditubuhkan pada awal tahun 2014 dan diketuai oleh Azwan Abdullah yang merupakan tokoh siswa Kementerian Pendidikan Tinggi 2015.

Azwan tunjang utama yang menggerakkan pasukan ini daripada bahagian teknikal dan non-teknikal. Pasukan ini mendapat sokongan penuh daripada pihak UiTM dan penasihat rasmi ialah Datuk Prof. Ir. Dr. Ow Chee Sheng dan dibantu oleh Khairul Imran Sainan, Dr. Azli dan Nurul Hafeez.

Ternyata mereka ini hebat. Mereka membina sendiri kereta itu. Mereka pergi merata mencari penaja. Antara penajanya ialah Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), yang menaja membeli enjin kereta itu dari Jepun.

Persatuan juga membantu mendapatkan penaja penerbangan bagi membawa mereka ke Australia. Terima kasih AirAsia X!

Majlis pelancarannya berlangsung pada malam Ahad lalu, juga semasa puak-puak kuning pemikiran mereka sedang melaungkan slogan kebencian.

Ternyata semangat anak-anak muda kita seperti inilah yang perlu dipupuk oleh negara. Potensi anak-anak muda kita cukup kental. Ia perlu diperkembangkan dan disokong.

Kita doakan mereka berjaya dalam cabaran itu.

Utusan Malaysia akan menyiarkan liputan cabaran 3,000km itu setiap hari sebaik sahaja perlumbaan bermula.

Ya, Malaysia Boleh!!!