Penegasan Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bahawa penganjuran perhimpunan itu hanya akan melukakan hati umat Islam jika dibenarkan adalah suatu sikap yang rasional dan bertepatan dengan tugas peme­rintah untuk melindungi akidah umat Islam atas hakikat kedudukan Islam sebagai agama negara berdasarkan Perkara 3(1), serta tanggungjawab memelihara keharmonian beragama di negara ini yang dijamin Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Gerakan dakyah evangelicalisme ini pada awalnya muncul pada 1942 dengan penubuhan National Association of Evangelicals (NAE). Kehadiran pertubuhan ini pada awalnya adalah untuk mengimbangi kelompok fundamentalis yang terlebih dahulu membentuk American Council of Christian Churches (ACC). Gerakan tersebut 20 tahun kemudian telah memunculkan sikap beragama baharu yang cenderung terhadap positivisme, kebebasan yang tanpa batas dan kecen­derungan terhadap keterbukaan tanpa kawalan. Pada hakikatnya, ramai sarjana Kristian sendiri yang mengakui bahawa kecen­derungan-kecenderungan ini te­lah­ membawa kesan buruk kepada pertumbuhan gereja.

Di Malaysia, gerakan berbahaya evangelicalisme ini perlu dibendung kerana menggugat keharmonian beragama di Malaysia. Justeru, kerajaan perlu menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang anti-evangelicalisme demi memastikan percubaan gerakan evangelical Kristian ini untuk mendominasi dakyah Kristian tidak berlaku. Pada hakikatnya, kelompok yang masih cuba untuk menyebarluaskan dakyah agama Kristian kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam akan terus berusaha kerana percaya tiada undang-undang berkesan yang boleh menghalang mereka.

Undang-undang anti-evange­licalisme ini bukanlah sesuatu yang baharu. Hampir setahun lalu, Rusia telah membuat beberapa pindaan undang-undang pencegahan terrorisme yang termasuk di dalamnya halangan-halangan terhadap evangelisme dan kerja-kerja dakyah Kristian atau dikenali sebagai ‘Yarovaya Act’, bersempena nama salah seorang pemimpin politik Irina Yarovaya yang mencetuskan projek perundangan untuk memperkukuh undang-undang menangani esktremisme dan terorisme pada April 2016. Pindaan tersebut ditandatangani Presiden Vladmir Putin pada 7 Julai tahun yang sama.

Pindaan itu memperuntukkan antaranya mengenai sekatan-sekatan baharu ke atas evangelicalisme dan kerja-kerja dakyah Kristian. Pindaan menambah peruntukan baharu untuk perundangan berkaitan keagamaan di Rusia, menyatakan bahawa ‘aktiviti dakyah’ hanya boleh dilakukan tanpa halangan di gereja-gereja dan tapak agama lain yang ditetapkan oleh undang-undang tersebut, dan bahawa ia dilarang sama sekali untuk melakukan aktiviti-aktiviti dakyah di kediaman persendirian.

‘Aktiviti Missionari’ ditakrifkan sebagai aktiviti persatuan agama, bertujuan menyebarkan maklumat tentang kepercayaan dalam kalangan orang yang bukan peserta dalam persatuan agama, dengan tujuan untuk melibatkan orang ini sebagai peserta. Ia dijalankan secara langsung dengan persatuan agama atau oleh rakyat atau entiti undang-undang yang diberi kuasa oleh mereka, secara terbuka, dengan bantuan media, internet atau cara lain yang sah.

Aktiviti Missionari tidak boleh digunakan untuk meneruskan pelanggaran keselamatan awam, selain menetapkan aktiviti-akti­viti dakyah hanya boleh dilakukan oleh ahli-ahli kumpulan agama berdaftar dan organisasi. Sesebuah kumpulan agama menjadi tidak layak untuk melaksanakan aktiviti dakyah jika mereka diharamkan di bawah perintah mahkamah untuk mengamalkan ekstremisme atau keganasan, atau telah dibubarkan, manakala mubaligh asing hanya boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti dakyah selepas mendaftar untuk mendapatkan permit dari sebuah pertubuhan agama yang diiktiraf. Rakyat juga dikehendaki melaporkan aktiviti agama yang tidak dibenarkan kepada kerajaan atau boleh didenda mengikut undang-undang tersebut.

Negara lain turut mempu­nyai undang-undang khusus bagi menjamin keharmonian berterusan masyarakat dalaman mereka, sebagai contoh, Singapura mempunyai Maintenance of Religious Harmony Act yang diluluskan parlimennya pada November 1990 dan dikuatkuasakan pada Mac 1992. Undang-undang ini membenarkan Menteri Dalam Negeri Republik itu membuat perintah sekatan (restraining order) terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan perasaan permusuhan, kebencian, niat jahat atau permusuhan antara kumpulan-kumpulan agama; atau mempromosikan agenda politik, menjalankan aktiviti subversif, atau menggalakkan ketidaksetiaan terhadap presiden atau kerajaan di bawah samaran menyebarkan atau mengamalkan kepercayaan agama.

Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan untuk mempunyai undang-undang lebih ketat dan komprehensif bagi mengekang gerakan evangelicalisme ini. Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan undang-un­dang negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang yang menganuti ugama Islam. Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, kebebasan yang diberikan untuk mengamalkan agama masing-masing ini tidak sehingga membenarkan apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang, mendatangkan masalah kepada kesihatan awam dan akhlak individu lain. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan.

Berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan tersebut, maka kerajaan-kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu telah meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam menerusi enakmen-enakmen di negeri-negeri. Setakat hari ini, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak yang masih belum menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Selain memastikan undang-undang tersebut dilaksanakan di keempat-empat negeri tersebut, undang-undang anti-evangelicalisme perlu diperkenal supaya lebih menjurus pada usaha mengekang dakyah evangelicalisme dari terus berlaku. Kerajaan perlu meneliti kesesuaian cadangan ini dan mengusulkan kepada kamar Peguam Negara untuk mengkaji kemungkinan-kemungkinan pengenalan suatu undang-undang tersebut.

Adalah terang lagi bersuluh bahawa undang-undang anti-evangelisme perlu diwujudkan segera bagi membendung dan mengekang kegiatan aktiviti evangelis yang menggugat kerharmonian dan keamanan, sekali gus turut menggugat keselamatan dalaman negara kita. Kerajaan didesak segera berbuat demikian, sebelum padah melanda.

PENULIS ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).