SAYA ingin memberi pandangan terhadap pegawai dan kakitangan kontrak yang terlibat di dalam pemberhentian kerja sejurus Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.

Andai kata pemberhentian itu dibuat serta-merta, tidakkah kasihan kepada mereka yang terlibat kerana keluarga perlu diberikan makan, hutang-hutang seperti pinjaman membeli kereta dan rumah perlu dibayar. Lazimnya selepas tiga bulan, pihak institusi kewangan akan mula mengambil tindakan bagi mereka yang tidak menjelaskannya.

Oleh hal demikian, difahamkan seperti di negara Eropah, jika berlaku tindakan pemberhentian, pekerja, mereka mempunyai skim perlindungan untuk pekerja. Justeru itu adalah dicadangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan bayaran seperti berikut:

  • Tahun pertama diberhentikan dibayar 80 peratus daripada pendapatan bulanan.
  • Tahun kedua jika masih belum bekerja, dibayar sebanyak 60 peratus.
  • Pada tahun ketiga, jika seseorang masih belum bekerja, dibayar pula 40 peratus daripada gaji pendapatan bulanannya.

Saya berpendapat ramai rakyat Malaysia menjadi tidak tentu arah apabila berlaku tindakan pemberhentian kerja.

RAKYAT PRIHATIN