Mendiang yang juga merupakan bekas Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein mempunyai banyak sebab untuk terus dikenang atas sumbangannya kepada negara ini. Paling ketara adalah legasi pemikiran anak kelahiran Oslo ini dalam memberi fokus kepada aspek pengurangan jurang pendapatan antara kaum di negara ini telah menyerlahkan lagi keupayaan dan ketokohan beliau.
     Malah,  paling ketara apabila kesan DEB itu sedikit sebanyak telah memperlihatkan hasil khususnya peningkatan taraf hidup golongan bumiputera dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Kesannya dapat dilihat apabila kadar kemiskinan menurun daripada 64.8 peratus pada tahun 1970-an kepada 2.2 peratus pada 2012 daripada dasar yang telah berusia lebih empat dekad itu.
     Selain itu, bagi tempoh masa yang sama, jumlah purata pendapatan bulanan rakyat negara ini telah meningkat daripada RM172 kepada RM4, 457 membuktikan betapa signifikan dasar tersebut. Justeru, tidak hairanlah Forum Memperingati Sumbangan Just Faaland yang diadakan di Dewan Utusan, Kuala Lumpur pada Isnin, 3 April lalu dilihat bukan sahaja bagi mengenang sumbangan mendiang.
     Sebaliknya, ia memfokus kepada penelitian dan ‘bedah siasat’ tentang DEB yang boleh diperbaiki agar semangat daripada dasar itu dapat diteruskan, sekali gus memberi manfaat kepada generasi seterusnya. Dalam forum yang berlangsung lebih dua jam dan turut dirasmikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu, ramai tokoh termasuk pakar ekonomi telah memberi pandangan mereka.
     Terbukti forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan, Malaysian Institute Of Economic Research dan Christian Michelsen Institute,  itu mampu mencetuskan lebih banyak idea baharu pada masa depan melalui forum tersebut.  Wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ ITAR dan ZULKARNAIN OSMAN berkongsi idea-idea yang telah mereka lontarkan dalam forum itu agar ia diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.

 

DATUK DR. HASAN MAD

MPM melihat DEB yang digubal sejak tahun 1969, turut diguna pakai dalam Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) pada 1970. Ia bukan dasar yang hanya melihat kepada aspek ekonomi semata-mata. Menurut Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, beliau turut melihatnya daripada sudut kemakmuran menyeluruh dan polisi yang komprehensif untuk negara ini.
“Tidak banyak negara yang membuat polisi sebegini. DEB adalah buah fikiran Faaland. Apabila DEB ditamatkan pada 1990, ramai tidak tahu DEB hanya berlangsung selama 20 tahun. Tahun 1990-2010 merupakan tahun pelaksanaan Dasar Pembangunan Negara yang berlainan dengan DEB. Hari ini kita merasai apabila DEB ditamatkan, walaupun pembangunan fizikal ketara.
“Kita bersaing dengan negara-negara lain tetapi daripada segi elemen sosial dan bukan kognitif dalam pembangunan, sebenarnya kita kembali bercelaru apabila DEB ditamatkan. Kebimbangan ini turut disuarakan oleh Faaland. Beliau datang semula selepas itu biarpun tugasannya ketika itu selesai dan pada masa sama menjadi sangat rapat dengan orang Melayu.
"Bagi MPM apabila Dr. Rais Saniman memaklumkan tentang kematian Faaland, saya bersama Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob  telah berbincang bagi mengadakan forum tersebut. Banyak persamaan daripada segi roh perjuangan antara rakan-rakan dari Norway dan di sini terutamanya bumiputera melalui pelbagai kerjasama agar legasi itu dapat diteruskan.

 

DR. RAIS SANIMAN

Perunding Kanan Christian Michelsen Institute (CMI), Dr. Rais Saniman begitu rapat dengan Faaland kerana pernah terbabit dalam DEB malah pernah membawa mendiang melawat ke kampung beliau. Daripada pengamatan mendiang sendiri daripada senario kedudukan taraf hidup masyarakat negara ketika itu, kata Dr. Rais, mendiang turut meluahkan pandangannya berhubung isu tersebut.
“Saya pernah membawa Faaland melawat ke kampung saya di Parit Separap, Batu Pahat, Johor untuk menunjukkan kepada beliau betapa susahnya kehidupan masyarakat pada ketika itu. Beliau berkata, jika kita meletakkan sesuatu harapan dengan sistem harga tertentu, orang Melayu tidak akan mendapat peluang yang besar untuk mereka keluar daripada kancah kemiskinan.
"Katanya lagi, kerajaan perlu campur tangan dalam isu ini bagi menolong para penduduk kampung dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan memberi bantuan dalam aspek pemasaran. DEB katanya, adalah polisi penting yang membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, menyusun masyarakat Malaysia seterusnya menyemai perpaduan nasional dalam kalangan semua kaum.
“Polisi DEB yang diformulakan oleh Faaland berfungsi dengan baik untuk Malaysia dengan pengurangan taraf kemiskinan menjadikannya salah satu paling rendah di dunia.
Polisi tersebut juga tambahnya, telah memberi manfaat lebih banyak kepada kaum bukan Melayu terutama Cina dengan penguasaan ekonomi yang sebelum ini dimonopoli oleh British. Sementara untuk orang Melayu pula, ia membawa pembaharuan dalam sektor yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan, kekayaan, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.
“Polisi yang diperkenalkan dalam DEB adalah 50 tahun ke hadapan berbanding polisi yang digunakan untuk pembangunan ekonomi. Kini, polisi DEB digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kesatuan Eropah dan Bank Dunia juga menggunakan asas polisi itu. Bagaimanapun Faaland berdukacita apabila DEB tidak dilaksanakan dengan berterusan serta diberhentikan. Jika tidak, Malaysia mugkin sudah bebas daripada masalah ekonomi. "Polisi DEB sehingga kini masih relevan. Ia seiring dengan polisi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Polisi ini praktikal dengan Transformasi Nasional 50 (TN50) untuk kumpulan sasar B40. Diharap ia dapat diteruskan dalam sektor moden kerana ekonomi kini adalah ekonomi digital,” katanya.

 

DATUK DR. RICHARD LEETE

Semasa awal abad yang ke-20, era tersebut merupakan suatu bukti yang telah menyaksikan kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah muncul di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu.
Menurut bekas Pengarah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia, Singapura dan Brunei, Datuk Dr. Richard Leete negara ini telah lama menjadi lubuk emas.
“Jika dulu, sepanjang era kolonial, India dianggap sebagai permata di mata British, namun Tanah Melayu pula boleh dilihat sebagai sebuah ‘lubuk tunai’ yang amat menguntungkan.
Ini dapat dilihat apabila British menaja peperangan menggunakan untung daripada hasil eksport yang sangat besar. Kini, Malaysia masih mengalami peningkatan ekonomi yang mantap. Walaupun terdapat transfomasi dalam sekotr pertanian terutamanya kelapa sawit yang mana ia telah mengelakkan kebergantungan kepada sektor pertanian semata-mata,” ujarnya. Namun, katanya Malaysia juga perlu melihat kepada peningkatan yang semakin perlahan dan transisi yang berlaku dalam bidang kemahiran serta perkhidmatan kini yang semakin menurun.
Berdasarkan satu kajian, kadar kemiskinan orang Melayu sekarang berada bawah satu peratus yang mana ini adalah pencapaian yang amat menakjubkan mengikut apa-apa jua piawaian. Tetapi katanya, adakah Malaysia perlukan garis panduan bagi mengukur tahap kemiskinan yang baharu untuk memisahkannya dengan masyarakat yang berpendapatan rendah?
Rata-rata rakyat kini sudah berjaya keluar daripada kancah kemiskinan, namun kebanyakan mereka masih lagi berada di tahap jumlah pendapatan yang rendah berbanding negara membangun lain. Negara yang kaya kini tidak lagi menggunakan garis panduan kemiskinan yang digunakan 50 tahun dahulu. Panduan yang lebih cekap digunakan adalah Ukuran Kemiskinan Relatif.
Bagaimanapun, Malaysia mempunyai rekod yang baik. Garis kemiskinan kebangsaan mempunyai garis sempadan yang tinggi berbanding dengan garis pemisah yang ditetapkan Bank Dunia. Ini adalah pencapaian yang boleh dibanggakan walau diperingkat dunia kerana ia pencapaian terbaik dalam kalangan negara membangun dalam usaha menangani kemiskinan tegar,” jelasnya.

 

TAN SRI KAMAL SALLEH

Selama 50 tahun kita cuba meningkatkan kekayaan orang Melayu termasuk sejak kebelakangan ini melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan keusahawanan. Kita juga cuba menyediakan rumah mampu milik tapi kebanyakan rumah yang dibina berharga lebih RM1 juta. Sistem pembiayaan perumahan pula tidak seimbang tetapi memberikan keuntungan kepada bank. Ini adalah sistem yang tidak adil.
 Sebab itu kita perlu pergi melangkaui DEB di mana kita menjangkakan pertumbuhan dan mengagihkannya kepada orang Melayu, memberikan mereka lebih banyak peluang dan biasiswa.
 Ini boleh dilakukan 30 tahun lalu untuk bergerak ke hadapan,  tetapi ia adalah mustahil baik dari segi politik atau sosial. Generasi muda sekarang tidak mahu lagi menerima pemberian daripada kerajaan. Mereka mahu berasa bangga bahawa mereka sangat terpelajar, tahu Internet dan mahir teknologi. Suara rakyat sudah berubah.
Sekarang bukan masa untuk DEB dan kita tidak perlukan DEB seperti dahulu tetapi kita perlukan DEB dalam bentuk baharu.
 Ini kerana sejak 30 tahun lalu, kita telah menanam banyak padi tapi banyak pegar makan padi. Sebab itu orang Melayu masih ketinggalan berbanding bangsa lain. Inilah asas yang diberikan penekanan oleh Faaland.
Kalau kamu latih orang, beri gaji tinggi, wujudkan banyak pekerjaan dan latih mereka dengan lebih baik, kamu akan capai apa yang empat negara besar Amerika Selatan buat dalam tempoh 20 tahun lalu.
 Ekonomi kita sekarang digerakkan oleh penggunaan dan bukannya pengeluaran. Oleh itu, kita mesti kembali kepada polisi ekonomi yang berasaskan produktiviti. Gaji di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Macam mana hendak capai ekonomi berpendapatan tinggi adalah antara cabaran dalam TN50.
Maka kamu perlukan polisi perindustrian yang baharu. Sektor perkhidmatan kini adalah sebahagian daripada industri dan tidak boleh dipisahkan. Sama seperti Faaland mengatakan pertanian adalah satu industri. Jadi, pemikiran kita perlu berubah. Apabila bercakap tentang industri, kita bercakap tentang pengeluaran.

 

MC LLY ADRIAN SIMON, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Mc Lly Adrian yang juga merupakan kakitangan di Yayasan Sukarelawan Siswa, beliau bersyukur kerana kesan DEB telah memberi banyak peluang kepadanya mengubah hidup.
Beliau yang berasal dari Limbang, Sarawak dan merupakan eksekutif di yayasan itu, menyifatkan DEB antaranya telah membuka banyak peluang pendidikan lebih tinggi untuk golongan bumiputera.
“Apa yang dapat dilihat DEB sejak 1970, banyak membantu daripada segi kesaksamaan dan penstrukturan semula kepada orang Melayu dan bumiputera serta semua rakyat berbilang kaum. Banyak peluang pelajaran untuk golongan bumiputera telah diberikan sejak saat itu.
"Di sini kita perlu tahu untuk mengambil peluang yang ada agar polisi sebegini tidak dilepaskan begitu sahaja. Daripada segi kewangan pula ia telah banyak menyediakan modal untuk kami berniaga seperti yang disediakan MARA dan Tekun untuk menjadi usahawan,” katanya yang berketurunan Kadazan.

 

ASMAH KADIR, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Sementara itu, Asmah Kadir yang berasal dari Sabah turut tidak menafikan kesan DEB telah banyak melahirkan golongan profesional daripada kalangan anak-anak bumiputera di Sabah.
Anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini berkata, kesan daripada polisi itu juga telah mentransformasikan bidang pendidikan dengan melahirkan pemikiran yang beraras tinggi.
“DEB telah dapat mentransform golongan bumiputera seperti saya untuk menjadi golongan intelektual. Selepas itu, mereka transformkannya pula kepada generasi yang seterusnya. Saya baru habis belajar dari UMS dalam bidang Sejarah.
Peluang dan bantuan pendidikan yang saya nikmati itu pun tidak dinafikan kesan daripada DEB.
Kebanyakan golongan bumiputera hari ini yang berpendidikan tinggi dan telah menjadi ahli profesional dalam pelbagai bidang adalah kesan daripada dasar tersebut,” ujarnya.

 

DATUK ZURAIDAH ATAN

Sebagai Pengerusi dalam pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Sukarelawan Siswa, Datuk Zuraidah Atan melihat forum sebegini tidak seharusnya terhenti setakat satu sesi sahaja. Sebaliknya, beliau menggesa pihak-pihak terbabit agar memanjangkannya lagi ke dalam skop lebih luas mengikut keperluan semasa agar ia boleh memberi manfaat untuk jangka masa panjang.
“Saya rasa lagi elok kalau selepas ini lebih banyak perbincangan diadakan. Kita tumpukan kepada apakah pandangan anak-anak muda. Mereka tidak ingat atau tidak tahu apa yang berlaku dulu. Ramai yang tidak tahu apakah perlu polisi ekonomi ini.
"Sekarang mesti ada yang merasakan wujud unsur diskriminasi sedangkan kalau boleh kita tidak mahu wujudnya unsur perkauman. Kita mesti lihat daripada segi jumlah penduduk negara ini, walaupun 50 tahun sekalipun tetapi tidak semua orang mampu mencapai tahap yang sepatutnya dan ia melibatkan kaumkaum yang lain,” katanya.
Sebab itu katanya, mengapa tiada usaha dijalankan untuk menggabungkan kaumkaum lain bagi menaikkan polisi ini dengan mengambil kira agihan bantuan kepada semua terutama orang Melayu.
Katanya, untuk maju ke depan diharap pihak kerajaan perlu ada pendekatan baharu untuk menyamaratakan pecahan peratusan kaum-kaum yang memerlukan bantuan.