Di zaman bermulanya api dalam kaco (elektrik) air dalam bosi (air paip) bak kata orang Ulu Jelebu, Negeri Sembilan, fenomena orang Melayu tidak ramai berpendidikan tinggi hingga ke puncak menara gading adalah perkara biasa.

Zaman pasca merdeka universiti boleh dibilang dengan jari, cuma ada Universiti Malaya (UM) yang menjadi kilang mengeluarkan pemimpin negara hari ini.

Institut Teknologi Mara (ITM) yang dikenali sebagai Institut Latihan RIDA pada 1956 sebelum itu masih lagi dianggap sebagai Institut Tolong Melayu yang mengajar bidang profesional dan separa profesional. Setelah lama berjuang untuk menjadi universiti akhirnya ITM menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelang tahun 2000.

Generasi muda hari ini perlu memahami segala perkara yang mereka nikmati hari ini dari sudut sejarah. Misalnya mengapa UiTM hanya untuk orang Melayu dan bumiputera. Perkara tersebut boleh sahaja bertanya Mr. Google dan Wikipedia.

Apa yang hendak dibicarakan hari ini, bagaimana kerajaan boleh mewujudkan generasi muda yang mampu berdikari dan tahan diuji dengan masa. Bak kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mahu mewujudkan rakyat yang boleh hidup tanpa perlu diberi tongkat.

Baru-baru ini semasa singgah di sebuah kedai minum di Kampung Jalan Kebun, Selangor, penulis bertemu seorang kontraktor, Mohd. Radzi Amat Subian berumur lewat 30-an. Beliau menceritakan kehidupan beliau yang membina kerjaya sebagai kontraktor tanpa segulung ijazah namun lebih kepada pengalaman hidup sejak umur belasan tahun lagi.

Katanya, setiap orang yang ditemui dan dijadikan kawan masing-masing mempunyai ilmu tidak kira golongan veteran mahupun muda. Maka dari situ beliau menganggap setiap ilmu yang diperoleh hasil komunikasi dengan golongan berpengalaman menjadikan beliau seorang yang ampuh luar dan dalam.

Walaupun kehidupan beliau tidak seperti kontraktor lain yang mungkin mempunyai kereta mewah ‘mata belalang’, namun yang lebih penting beliau ingin berkongsi kejayaan dengan generasi muda sebagaimana beliau lalui semasa zaman remaja.

Mohd. Radzi yang juga seorang aktivis masyarakat, bukan sahaja membina kehidupan tanpa sijil berjela-jela malahan beliau dikenali kerana aktif dalam kegiatan persatuan.

Pertubuhan yang bernama Brotherhood Bersatu Jalan Kebun yang mana beliau menjadi pengerusi ditubuhkan untuk menganjurkan program kemasyarakatan seperti seni bela diri kombat, pertandingan muay thai, motor cross malahan menjala ikan di laut.

Pakej yang ada Mohd. Radzi sewajarnya menjadi contoh untuk Kementerian Pendidikan membentuk modul pendidikan tinggi yang mampu mewujudkan graduan dalam generasi muda yang bukan sahaja peka pada gajet dan media sosial malahan tahu membawa diri dalam kerjaya dan masyarakat.

Pesanan Mohd. Radzi yang juga bekas penunggang motor cross dan pernah memenangi kejohanan sukan tersebut hanya satu, buatlah sesuatu dengan niat ikhlas untuk membantu masyarakat hidup dalam suasana harmoni insya-Allah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

Realiti pada hari ini, graduan yang menganggur bukannya memilih kerja, tetapi tidak menemui kerja yang cocok dengan jiwa mereka. Ada peguam yang lebih selesa menjadi wartawan. Ada jurutera yang kini selesa menjadi pegawai pemasaran.

Mungkin Kementerian Pendidikan boleh mewujudkan subjek wajib, penyesuaian kerjaya (job matching) di universiti agar kita tidak melahirkan siswa yang keluar menjadi pengkritik dasar apabila mereka terpaksa bekerja lari daripada bidang yang dipelajari disebabkan tiada kekosongan jawatan berkenaan ijazah yang dimiliki.

Walaupun individu seperti Mohd. Radzi tidak ramai, mungkin inilah masa yang sesuai untuk kita meramaikan generasi muda yang sedar tanggungjawab sebagai ahli masyarakat.

Apa yang lebih penting kita perlu mewujudkan anak muda yang lulus ‘universiti kehidupan’ yang cemerlang subjek berdikari mencari rezeki tanpa mengharapkan tongkat daripada pihak kerajaan. Ajarlah mereka menjadi pencipta peluang kerja melalui perniagaan bukannya terus menjadi penganggur terhormat dan betah mengkritik kerajaan di media sosial semata-mata sedangkan satu sen pun tidak berhasil.