Alhamdulillah, beta merafak kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya memungkinkan be­ta pada hari ini hadir dalam istiadat pembukaan Penggal Pertama, Parlimen ke-14.

Mesyuarat kali ini telah melakar satu sejarah tersendiri kerana istiadat pembukaan penggal Parlimen diadakan dua kali dalam tahun yang sama dan dewan ini dapat menyaksikan penampilan bilangan yang besar anggota-anggota Parlimen yang baharu.

Negara kita baru sahaja selesai melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018. Beta mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan barisan kepimpinannya yang telah berjaya di­pilih untuk menerajui pentadbiran ne­gara. Beta juga merakamkan pe­nghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, an­ggota-anggota keselamatan dan semua agensi kerajaan yang telah terlibat dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan tiada insiden negatif yang serius berlaku.

Tahniah kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di dalam dewan yang mulia ini. Pemilihan tersebut adalah satu tanggungjawab yang besar. Ahli-ahli Yang Berhormat harus me­ngalas tugas dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi. Beta percaya ahli-ahli yang berhormat akan me­ngambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasusila supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar.

Rakyat telah pun membuat keputusan. Justeru, semua pihak hendaklah akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu, sempit dan tertutup. Pemikiran yang ba­nyak dibentuk oleh media yang sarat dengan berita-berita sensasi dan spekulasi. Beta berharap semua pihak hendaklah berusaha me­lakukan penjernihan yang ikh­las dan sungguh-sungguh bagi mewujudkan perpaduan yang tulen dan murni. Mencari titik persamaan bukan perbezaan dengan bekerjasama untuk kesejahteraan rakyat dan survival negara.

Beta berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai oleh negara sebelum ini akan dapat dipertingkatkan. Jus­teru, kerajaan, pihak swasta dan rakyat hendaklah terus bekerjasama dalam usaha menyusun masyarakat terutama memperbaiki ekonomi rakyat yang masih terpinggir. Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus dilihat sebagai dasar diskriminasi perkauman tetapi sebagai usaha menebus ketidakadilan sosial yang telah diwarisi sekian lama.

Di persada antarabangsa, beta amat menyokong langkah-langkah yang diambil untuk terus memperkukuhkan kerjasama yang terjalin dengan negara-nega­ra anggota ASEAN khususnya dan dunia amnya demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Beta mengalu-alukan pende­katan kerajaan dalam menegakkan ketelusan terutamanya de­ngan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat bagi menangani kos sara hidup, beta menyokong langkah untuk memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup yang diharap dapat meringankan beban rakyat. Pada masa yang sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara.

Cabaran-cabaran seperti ke­ti­dak­tentuan ekonomi global, konflik politik, krisis kemanusiaan di peringkat antarabangsa dan ancaman fahaman radikal akan terus mempengaruhi geopolitik dan ekonomi dunia. Dalam hal ini, beta berharap kerajaan akan terus berusaha mencari jalan untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut bagi kebaikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Era Revolusi Perindustrian 4.0 merupakan satu cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh semua negara. Justeru, beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya. Beta berharap faedah yang diperoleh bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11; Hala tuju Baharu 2018 - 2020 yang akan di­bentangkan pada tahun ini adalah antara langkah kerajaan bagi mendepani cabaran-cabaran dalam agenda pembangunan negara. Kajian tersebut bertujuan untuk menilai semula program dan projek-projek yang telah diluluskan, hala tuju dan status pencapaiannya. Beta berharap ahli-ahli Yang Berhormat dapat mengambil bahagian dengan berbahas dan memberi pandangan bernas terhadap kajian tersebut.

Keraja­an beta akan me­­neruskan pe­lak­sana­an pelbagai pro­gram dan projek bagi me­mastikan semua rakyat dapat me­nikmati manfaat pembangu­nan termasuk di Sabah dan Sa­rawak. Ini selaras dengan dasar ke­rajaan agar kehidupan rakyat dipertingkatkan dan kekayaan negara dikongsi secara adil dan saksama.

Sumbangan golongan pekerja yang berjumlah lebih kurang 15 juta orang amat besar kepada pembangunan negara. Beta berharap pengenalan inisiatif-ini­siatif seperti penubuhan su­ru­hanjaya, cadangan menya­ma­ra­takan kadar gaji minimum di se­luruh negara dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan akan dapat mensejahterakan mereka.

Sumbangan golongan wanita kepada negara dan masyarakat sangat besar dalam pelbagai bidang pekerjaan dan kemahiran. Beta yakin penglibatan golongan wanita dapat dipertingkatkan lagi. Langkah-langkah menggilap potensi, kemahiran serta menggalakkan mereka untuk terus mem­beri sumbangan kepada ma­syarakat dan negara perlu diperkasakan. Walau bagaimanapun aspek penjagaan institusi keluarga tetap diberi keutamaan.

Dalam menu­ju ke arah pe­mo­denan, ke­patuhan kepada ajaran agama dan nilai-ni­lai murni tidak harus diabaikan. Beta menyeru semua pihak hendaknya lebih serius menangani gejala sosial dan elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para ilmuwan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian ke atas masalah-masalah berbangkit.

Beta amat mengalu-alukan la­ngkah kerajaan untuk mening­katkan integriti, tadbir urus dan prinsip kedaulatan undang-undang. Langkah-langkah bijak yang lebih meyakinkan pihak pe­­labur yang sedia ada untuk mengekalkan pelaburan mereka, di samping usaha menarik minat pelabur-pelabur baharu.

Terdapat anggapan bahawa ke­pelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di negara ini adalah percikan bunga api yang akan membakar hangus kedamai­an, kestabilan dan kerukunan hidup. Namun beta bersyukur anggapan tersebut meleset sama se­kali kerana rakyat telah membuktikan sebaliknya. Beta menyeru agar perpaduan dan kea­daan harmoni dalam kalangan rakyat negara ini terus dipelihara dan diperkukuhkan. Elemen-ele­men negatif dan tindak tanduk, yang mengganggu-gugat kese­paduan dan keharmonian perlu dibanteras. Hentikan ungkitan terhadap isu-isu sensitif antara kaum. Beta juga menyambut baik cadangan mewujudkan majlis perundingan keharmonian rakyat agar program-program yang lebih berkesan bagi mempromosi perpaduan dapat diperbanyakkan.

Beta mengucapkan terima ka­sih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pi­hak dalam menjamin dan mengekalkan keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara yang dengannya membolehkan pembangunan dan kemajuan negara berjalan dengan baik seperti dirancang.

Akhir titah, beta berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.