Walaupun ramai yang menganggap kejadian pada pagi 10 Oktober lalu itu adalah isu kecil kerana hanya membabitkan tiga nyawa warga asing, namun persoalan yang timbul ialah sampai bila isu tanah runtuh di Cameron Highlands ini dapat diselesaikan?

Hal ini kerana jika dilihat dalam tempoh 10 tahun terakhir, berpuluh-puluh kejadian tanah runtuh berlaku terutama apabila tiba musim hujan.

Ramai menyalahkan penerokaan tanah secara haram bagi tujuan penanaman sayur menjadi punca. Tidak kurang juga yang menuding jari pada kelemahan penguatkuasaan.

Dalam hal ini, penulis melihat masalah utama mengapa wujud 'kelemahan’ penguatkuasaan sehingga membolehkan pihak-pihak tertentu serta warga asing bebas meneroka tanah tinggi Cameron Highlands adalah kerana kedudukan geografinya.

Kita semua tahu Cameron Highlands terletak di sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kelantan dan Pahang. Tidak sedikit yang menganggap Cameron Highlands terletak di bawah pentadbiran Perak kerana kedudukannya yang lebih hampir dengan negeri itu.

Pada hal Cameron Highlands adalah di bawah pentadbir Pahang dan kedudukannya begitu jauh dengan Kuantan, iaitu pusat pentadbiran negeri. Saya yakin, amat jarang da­erah ini dilawati oleh pembesar negeri pantai timur itu kerana tiada laluan darat yang menghubungkan Kuantan dan Came­ron Highlands.

Sebaliknya, untuk sampai ke sana hanya tiga laluan yang ada iaitu melalui Simpang Pulai atau Tapah, kedua-duanya di Perak manakala satu lagi laluan ialah dari Gua Musang, Kelantan.

Kedudukan Cameron Highlands yang jauh dari pusat pentadbiran negeri menyebabkan daerah tersebut kurang mendapat perhatian dan pemantauan daripada pihak berkuasa negeri tersebut.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, satu badan pentadbir bebas atau perlu diwujudkan bagi mentadbir dan menguruskan pembangunan di Cameron Highlands. Saya melihat kaedah ini lebih berkesan berbanding bergantung kepada majlis daerah yang tugas dan peranannya lebih 
terbatas.

Hal ini kerana badan pentadbir yang boleh dinamakan Lembaga Pembangunan Cameron Highlands itu bukan sahaja mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding pejabat daerah, malah mereka juga bertanggungjawab membangunkan kawasan tersebut, baik dalam bidang pelancongan, perhotelan di samping pertanian dan lain-lain.

Jika Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berjaya memajukan pulau kelahiran Mahsuri itu dengan baik dalam sektor pelancongan khasnya dan lain-lain sektor, penulis yakin dan percaya Cameron Highlands juga dapat dimajukan dengan le­bih baik dan tersusun dengan adanya pihak berkuasa tersebut.

Jika daerah Cameron Highlands ini ditadbir dengan baik oleh pihak pentadbir yang lebih berkuasa, nescaya isu-isu seperti pendatang asing, penerokaan tanah secara haram dan pembangunan hotel yang tidak terkawal dapat diatasi, sekali gus isu tanah runtuh dapat diselesaikan.