Menyedari isu yang membelenggu rakyat ini, kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama beberapa menteri Kabinet, tokoh ekonomi dan pemimpin industri bagi bertindak atas maklum balas rakyat terhadap masalah ini.

Bagi mendapatkan kupasan lanjut bagaimana MTE mampu menangani isu ini, wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan AZRUL HAKIMIE ANUER bersama jurugambar FARID JANUDIN dan MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA serta juruvideo, FIKRI FADHIL menemu bual penganalisis ekonomi terkenal, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusof Saari baru-baru ini bagi mendapatkan gambaran sebenar.

MINGGUAN MALAYSIA: Pandangan Tan Sri tentang kewujudan satu platform ekonomi yang khusus seperti Majlis Tindakan Ekonomi (MTE)? 

NOOR AZLAN: Kita harus faham tentang kewujudan platform sebe­gini, Majlis Tindakan Ekonomi Nega­ra (MTEN) pertamanya telah ditubuhkan untuk menangani krisis kewangan 1997-1998. Selepas krisis berakhir, MTEN masih ada tetapi menumpukan kepada perkara pokok tidak bersifat krisis, umpamanya isu globalisasi. Bagaimana Malaysia mencorakkan keterbukaan ekonomi dan untuk itu ditubuhkan satu pa­su­­kan perundingan khas untuk melihat isu-isu globalisasi. Satu lagi kumpulan melihat kepada isu aspek-aspek daya saing ekonomi dan sebagainya.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau mewujudkan pula platform National Economic Advisory Council (NEAC) pada 2009. Tugasnya untuk membentuk Model Ekonomi Baharu (MEB) Malaysia.

Mereka inilah yang mewujudkan banyak interaksi kemudian memperkenalkan MEB Malaysia 2010 dan kemudian digarap bersama dengan usaha yang turut dijalankan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) ketika itu.

Apa keperluan wujudkan MTE?

NOOR AZLAN: Pada 2015 kera­jaan sekali lagi membentuk satu jawatan­kuasa ekonomi, saya salah seorang daripada ahli dalam anggota 10 orang itu untuk melihat elemen ekonomi negara yang perlu ditangani khususnya dalam menangani kelangsungan aspek-aspek industri dan sebagainya. Jadi sekarang ini yang baru diumumkan bagi saya, Tun Dr. Mahathir Mohamad lihat bahawa ada keperluan untuk menghidupkan semula dan mewujudkan platform ini. Di sini penting kerana kita hendak tahu apa­kah peranan dan tugasan majlis ini. Pertamanya, saya rasa ia tidak bersifat MTEN seperti 20 tahun lalu, kerana kita tidak berhadapan dengan krisis ekonomi yang besar. Yang pasti, kita sedang berhadapan suasana ekonomi global yang lembab.

Oleh kerana kerajaan baharu sehingga kini masih belum memi­liki kerangka ekonomi yang kompre­hensif. Di sini perlunya kerajaan baharu kemukakan satu kerangka ekonomi, model yang akan kita pegang untuk dibawa negara ini ke peringkat seterusnya.

Ini aspek yang masih belum ada. Saya juga berharap MTE bukan bersifat isolated bermaksud takcle satu, tackle satu. Adalah lebih baik menumpu kepada usaha mewujudkan model ekonomi baharu dan dalam masa sama turut menangani kes-kes bersifat isolated.

Apakah pendekatan paling sesuai untuk memastikan setiap objektif MTE ini mampu dilaksanakan?

NOOR AZLAN: Terdapat empat perkara yang Dr. Mahathir sebut dalam MTE, satu merancakkan ekonomi negara, kedua memastikan kelestarian dan kelangsungan pertubuhan ekonomi negara, ketiga tangani kos sara hidup dan keempat pengagihan kekayaan yang seimbang.

Empat perkara ini subjek yang memang terdapat dalam negara ini dan setiap satu tindakan perlu diikat dalam satu model yang lebih komprehensif. Jika tidak bahaya. Ada sesetengah subjek ini kita tackle kiri betul tetapi sebelah kanan tak betul.

Contohnya, satu cara hendak ringankan kos sara hidup mungkin memperkenalkan subsidi dengan lebih meluas, tetapi subsidi ini perkara yang tidak mampan. Mungkin boleh menurunkan kos. Sebab itu, penting perkara ini dilihat secara menyeluruh. Dr. Mahathir juga menyebut tentang perlunya kerajaan mendengar pandangan-pandangan daripada pakar dan juga rakyat dan ini adalah satu sikap keterbukaan dan kesediaannya.

Ada mengatakan kewujudan MTE disebabkan kegagalan kerajaan tangani masalah kos sara hidup?

NOOR AZLAN: Janji-janji ini mungkin ada dibuat dalam konteks politik. Letak ke tepi politik. Sebahagian besar janji ini mempunyai akar umbi ekonomi yang mendalam. Mana-mana kerajaan tidak boleh buat semudah itu. Tiba-tiba esok percuma, tidak boleh. Ini bukan persoalan Malaysia. Mana-mana negara pun, bahkan Presiden Donald Trump pun tidak boleh begitu. Perkara-perkara yang dibuat pertaruhan ini adalah perkara yang ada isu ekonomi di situ.

Sebagai contoh sistem pendidikan percuma, sedap didengar, betul. Kemudian banyak yang buat perban­dingan di Jerman, di Finland yang mana pendidikan mereka percuma. Percuma di situ tetapi cukainya tinggi. Jadi percuma ini bukan percuma buta tetapi antara ‘saya bayar’ atau `kita bayar’. Jadi model ini, masyarakat mereka bersetuju dengan model kita bayar, kita peroleh. Jadi model kita macam mana, saya bayar atau kita bayar, jadi kena faham.

Jadi kalau tidak mahu model saya bayar, kita bayar. Jadi negara yang memiliki pendidikan percuma berpegang kepada kita bayar. Masalahnya kita di sini, saya bayar tidak mahu, kita bayar pun tidak mahu tetapi semua orang mahu potongan kek. Ini isu ekonomi negara bagaimana kita hendak bentuk sikap yang betul terhadap pendidikan dalam kalangan rakyat.

Persoalannya sekarang kini rakyat mula menuntut?

NOOR AZLAN: Kita semua kena faham tidak ada kerajaan yang boleh buat keputusan semudah itu, perlu mempertimbangkan banyak perkara lain seperti implikasi dan kelangsungannya. Kalau kita turunkan harga kereta, mungkin kereta akan menjadi lebih murah kemu­dian semua cenderung beli kereta, kalau semua beli kereta siapa hendak naik pengangkutan awam?

Jadi, hal ehwal ekonomi tidak mudah seperti disangka dan saya harap MTE yang dianggotai menteri, bekas men­teri, ahli-ahli ekonomi supaya kupas dan kita hadapi subjek ini dengan betul.

Bila model ekonomi MTE ini perlu dilaksanakan?

NOOR AZLAN: Sebenarnya dari dahulu lagi apabila bertukar kepimpinan maka bertukarlah model. Jadi sudah menjadi satu trend pula apabila tukar kepimpinan mesti keluar dengan model baharu. Bagi saya dalam konteks Malaysia yang penting ada kejelasan. Pada kepimpinan yang lepas iaitu semasa pemerintahan Najib, era beliau telah wujudkan satu kerangka ekonomi. Saya tidak kata kerangka ini adalah terbaik tetapi kerangka tersebut boleh dipegang.

Sekiranya kerajaan rasa mahu pegang kerangka lama dari segi ekonomi tiada masalah. Saya merasakan pusing macam mana pun kita tetap akan jumpa perkara yang sama. Saban tahun saya meneliti bajet, saya meneliti rancangan lima tahun selama 20 tahun, pusing-pusing ia akan jumpa matlamat yang sama juga.

Malaysia ini perlu ketepikan poli­tik, isu ekonomi yang kita hadapi tetap sama dan perlu ditangani secara konsisten sehingga masalah ini selesai. Isu kos sara hidup bagi saya bukan terlalu rumit tetapi kita perlu hadapi dengan betul, dengan pendekatan ekonomi. Isu utama di Malaysia bukan harga barangan tetapi pendapatan rakyat. Hendak murah macam mana lagi? Saya baru balik dari United Kingdom sekali isi minyak separuh tangki sudah mencecah RM300, saya bercakap tentang realiti.

Memang ada isu harga tetapi lazimnya akan terjejas apabila ada manipulasi, monopoli beli murah dan jual pada harga mahal. Jika berlaku keadaan seperti ini kerajaan perlu bertindak kerana wujud manipulasi.

Begitu juga pentingnya usaha mempertingkatkan produktiviti pengeluaran terutama yang melibatkan soal bekalan makanan seperti daging. Realitinya sekarang, 60 peratus daging kita datang dari luar negara.

Peranan MTE untuk merapatkan jurang antara kaya dan miskin. Komen Tan Sri?

NOOR AZLAN: Jika ditanya mengapa perlu projek Laluan Rel Pan­tai Timur (ECRL) antaranya adalah untuk tangani isu ini. Sebagai contoh pada 2016 purata pendapatan negara meningkat kepada RM5,228 tetapi berapa negeri sahaja yang berjaya masuk ke dalam kategori pendapatan itu.

Hanya ada empat negeri (Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Selangor) yang berada di atas purata pendapatan tersebut. Pendapatan rakyat di sembilan negeri lagi adalah lebih rendah daripada purata pendapatan negara. Persoalan harus difikirkan adakah setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat yang hampir sama? Jawapannya tidak. Ini isu besar yang harus MTE tangani.

Mengapa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada dalam MTE?

NOOR AZLAN: Saya pun dengar juga. Tentang tafsiran politik memang banyak. Mengapa Anwar tiada di situ? Sebaha­gian orang pun bertanya juga mengapa orang itu dan orang ini berada dalam majlis tersebut. Adakah mereka mem­pu­nyai kemampuan untuk memahami isu ekonomi?

MTE ini sebaik-baiknya perlu mempunyai kekuatan dari segi ahli ekonominya. Apa pun kita doakan yang terbaik buat mereka. Yang penting ada dua perkara yang perlu menjadi agenda utama MTE iaitu menangani isu dan mewujudkan kerangka model ekonomi baharu yang jelas.