Sehingga kini, kelas tersebut telah berkembang menjadi Darul Quran di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Seiringan itu, pendidikan tahfiz di seluruh negara telah menunjukkan perkembangan pesat di semua peringkat pendidikan.

Bagi meningkatkan lagi pendidikan tahfiz di Malaysia, saya mencadangkan kerajaan membina satu model institusi pendidikan tahfiz menyeluruh melibatkan peringkat prasekolah, rendah, menengah dan universiti yang bernaung di bawah satu nama.

Ini bagi memastikan institusi tersebut membawa satu falsafah pendidikan tahfiz yang standard dan selaras serta mengikut acuan Malaysia.

Antara keperluan teras pendidikan tahfiz adalah penguasaan hafazan al-Quran bagi memastikan mereka dapat memberikan hujah ayat-ayat al-Quran dalam menyelesaikan isu-isu semasa.

Penguasaan bahasa Arab juga penting untuk memastikan mereka mampu memahami ayat-ayat al-Quran yang dihafaz selain mengukuhkan penghujahan dengan sumber rujukan Islam lain yang kebanyakan ditulis dalam bahasa itu.

Menguasai bahasa Inggeris turut penting bagi memahami aspek teknikal sistem kehidupan yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa itu. Contohnya, seorang hafiz yang menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris boleh membantu membangunkan sistem perbankan mengikut acuan sebenar Islam.

Dalam pada itu, pendidikan tahfiz peringkat prasekolah perlu memberi penekanan kepada tiga aspek penting iaitu pertama, pengenalan kepada pengalaman menghafaz al-Quran itu sendiri dengan sukatan hafazan bermula daripada juzuk 30 dengan pendekatan pembelajaran sesuai dengan usia mereka.

Aspek kedua adalah membiasakan sebutan ayat al-Quran sesuai dengan sebutan bahasa Arab yang sebenar manakala aspek ketiga adalah memberi pengenalan asas kepada pembacaan dan penulisan bahasa Arab serta bahasa Inggeris.

Pelajar tahfiz di peringkat sekolah rendah pula perlu dilengkapkan dengan ilmu-ilmu asas lain seperti mata pelajaran Matematik dan Sains manakala peringkat sekolah menengah difokuskan kepada subjek seperti Biologi dan Fizik.

MUHAMMAD TORIQ YAACOB

Selangor