Mungkin kerana mahu mena­rik perhatian orang muda, Pemuda Pakatan Harapan baru-baru ini berjanji menyiarkan perlawanan liga paling popular dunia itu secara percuma di negara ini sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kalau ikut kata mereka, peminat kelab Liverpool, Manchester City, Chelsea dan lain-lain lagi boleh menonton aksi pemain kesayangan mereka di Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta tidak perlu lagi melanggan menerusi sebuah stesen televisyen berbayar.

Mengikut logik mudah mereka apabila siaran bola sepak antarabangsa boleh ditonton percuma, lebih ramai peminat akan menonton di rumah bersama keluarga berbanding di restoran 24 jam ketika ini. Ini seterusnya akan dapat mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan, kata mereka.

Bunyinya memang menarik kerana semua orang sukakan benda percuma. Sekali pandang, janji yang merupakan antara 10 dasar teras manifesto pemuda pakatan pembangkang itu boleh ‘menggoda’ pengundi muda.

Walaupun semuanya nampak indah di atas kertas, realitinya ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Untuk menyiarkan perlawanan secara percuma di RTM, hak penyiaran EPL perlu diperoleh. Bidaan mesti dibuat dan dan nilainya bukan kecil.

Walaupun tidak ada pengesahan tentang jumlah sebenar, pemilik hak penyiaran di Malaysia, Astro dilaporkan membayar hampir RM1 bilion bagi musim 2013 hingga 2016 untuk siaran liga tersebut.

Berdasarkan laman web EPL, antara syarikat yang mendapat hak penyiaran antarabangsa bagi musim 2016 hingga 2019 ialah Singtel di Singapura, Optus (Australia), NBC Sports (Amerika Syarikat), Letv (Hong Kong) dan juga Astro.

Dengan populariti liga itu terus melonjak, nilai bidaan untuk mendapatkan hak penyiaran akan meningkat setiap kali tawaran dibuka. Persoalannya, jika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa selepas PRU-14 dan melaksanakan janji itu, siapa perlu membayarnya? Hampir pasti duit rakyat dan negara bakal digunakan.

Namun, berbaloikah kerajaan membayar ratusan juta ringgit setahun hanya sekadar untuk menyiarkan perlawanan bola sepak percuma?

Pastinya janggal apabila ada sebuah kerajaan menjadikan sia­ran bola sepak sebagai agenda negara dan perbelanjaan itu dibentangkan dalam bajet setiap tahun.

Bukan niat memperkecilkan minat terhadap bola sepak tetapi lebih banyak perkara bermakna boleh dilaksanakan dengan wang tersebut selain daripada hanya untuk menggalakkan peminat bola sepak menonton di rumah. Lagipun, menonton perlawanan EPL bersama rakan di restoran sambil memakai jersi kelab masing-masing sudah menjadi trend orang muda hari ini.

Sebab itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu majlis di Jelebu semalam menyifatkan janji yang ditabur pembangkang itu sebagai tidak berfaedah dan sukar diterima akal.

Baginya, ia sekadar pendekatan populis mereka bagi memikat perhatian generasi muda yang keba­nyakannya peminat bola sepak EPL dan liga-liga antarabangsa lain.

“Lebih baik duit ratusan juta ringgit itu digunakan untuk membina stadium, kompleks sukan atau bangunkan sukan dari akar umbi supaya pasukan bola sepak kita boleh masuk Piala Dunia. Bukan sekadar untuk keselesaan kita tengok EPL pada hari Sabtu atau Ahad semata-mata.

“Memang janji pembangkang nampak memikat tetapi saya ya­kin pemikiran generasi muda tidak secetek itu (diperdaya dengan janji tersebut),” katanya.

Selain menyiarkan perlawanan EPL percuma, beberapa dasar pakatan untuk orang muda juga tidak praktikal dan tidak memikirkan impak kewangan terhadap negara jika dilaksanakan.

Antaranya, pendidikan percuma dan pembatalan bayaran lesen motosikal. Begitu juga de­ngan janji pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya selepas gaji peminjam mencecah RM4,000 akan menyebabkan pinjaman tidak dapat dikutip dalam tempoh lama.

Ini kerana dalam situasi pekerjaan hari ini, kebanyakan graduan mungkin mengambil masa antara tujuh hingga 10 tahun untuk memperoleh gaji sedemikian dan komitmen hidup pula semakin banyak. Akibatnya, PTPTN bakal kekurangan dana untuk memberi pinjaman baharu.

Manifesto Pemuda Pakatan Harapan baru-baru ini boleh dianggap seperti tidak berpijak di bumi nyata dan dibuat tanpa pengiraan terperinci tentang baik buruknya terhadap kemampuan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Berjanji memang mudah kerana ia percuma tetapi apabila tiba masa untuk melaksanakannya ketika itulah wang perlu dihitung. Umpama gula, janji-janji yang ditaburkan mereka memang manis tetapi kemanisan berlebihan boleh mengundang kemudaratan.