Penglibatan aktifnya dalam bidang hak asasi kanak-kanak dan lukisan sejak di bangku sekolah lagi menyebabkannya menerima pelbagai anugerah.

Antara anugerah yang diterima oleh penuntut tahun satu Fakulti Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini, termasuklah Anugerah Perwaris Harapan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Anugerah Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K) daripada Sultan Kedah pada 2017.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini pernah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul pada 2015 iaitu ketika dia berumur 17 tahun, hasil penglibatannya dalam membela hak asasi kanak-kanak di negara ini.

Menceritakan tentang penglibatannya dalam membela hak asasi kanak-kanak, Nurul Eeman berkata, dia berkecimpung dalam bidang itu selepas menyertai pertandingan membuat buku skrap tentang hak asasi kanak-kanak di sekolah ketika di tingkatan tiga.

Hasil kerja kreatifnya telah menyebabkannya dipilih oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebagai pemenang pertandingan dan buku skrap pertamanya tentang hak asasi kanak-kanak diterbitkan Suhakam.

Bermula dari situ, Nurul Eeman terus menghasilkan buku skrap, buka yang mempunyai fakta dan ilustrasi dalam karikatur. Sehingga kini dia telah menghasilkan beribu-ribu buku skrap tentang hak asasi kanak-kanak yang diterbitkan Suhakam.

Apa yang mengkagumkan, buku skrap pertamanya yang diterbitkan Suhakam telah dihadiahkan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ketika pemimpin negara kuasa dunia itu melawat Malaysia.

Bekerjasama

Buku-buku skrap yang dihasilkannya juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan termasuklah yang disimpan di Perpustakaan Lincoln di AS.

Melalui penghasilan buku itu, akhirnya timbul kesedaran dan minat untuk membela nasib golongan kanak-kanak di negara ini dan kini, Nurul Eeman menjadi pejuang golongan tersebut.

Masa terluangnya di hujung minggu akan dihabiskan bersama kanak-kanak atau komuniti seperti masyarakat orang asli dan golongan berpendapatan rendah untuk memberi pendedahan tentang hak-hak kanak-kanak.

Dia kini turut bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan kedutaan asing di negara ini seperti Sweden dalam memperjuangkan hak asasi kanak-kanak bukan setakat di dalam negara bahkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Bakat seni yang ada pada gadis kelahiran Kuala Lumpur ini sebenarnya tidak terbatas kepada penghasilan buku skrap sahaja, dia juga terkenal dalam pertandingan Gundam sehingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi duta Gundam.

Di usia 11 tahun, dia telah mewakili Malaysia ke Hong Kong untuk pertandingan Gundam anjuran Bandai Jepun selain mewakili negara ke Jepun dan Singapura untuk pertandingan sama.

Nurul Eeman juga berbakat besar dalam lukisan dan sejak berumur 13 tahun dia banyak menyertai pertandingan melukis sama ada di dalam atau di luar negara.

Pencapaiannya dalam bidang lukisan juga tidak kalah hebatnya apabila pernah memenangi Seventh Annual Space International Student Art Contest anjuran Yayasan Angkasa Lepas AS pada 2016 dan menerima Kepujian Kelas Kedua bagi International Year of Pulses Art and Design Competition anjuran Po Leung Kok di Hong Kong pada 2016.

Nurul Eeman juga pernah menerima Anugerah Poster Terbaik dalam Pertandingan Poster Angkasa Lepas Kebangsaan anjuran Angkasa Malaysia pada 2015 selain mendapat pingat gangsa dalam World Children’s Drawing Competition anjuran Little Zograf di Bulgaria pada 2014.

Lukisannya hanya menggunakan pensil warna dan lebih kepada berkonsepkan batik dan abstrak, tetapi atas pencapaiannya yang membanggakan itu, sejak usia 13 tahun lagi dia telah menjadi duta kepada jenama pensil warna Staedtler sehinggalah ke hari ini.