Ini bersesuaian dengan kriteria sebagai pelagak ngeri yang memerlukan ketangkasan dan kecekapan melakukan sesuatu aksi berbahaya dan berisiko.

Menjadi perintis kepada pelagak ngeri profesional di negara ini, beliau sememangnya terkenal dengan rekod keselamatan yang cemerlang dalam aksi lagak ngeri dan piroteknik.

Permulaan kerjaya sebagai pelagak ngeri dan koordinator aksi dalam industri perfileman Hong Kong pada 1988, merupakan titik tolak usaha William untuk melangkah lebih jauh lagi.

“Police Story III (1992) merupakan filem pertama saya terlibat dengan pelakon ternama Jackie Chan. Penglibatan saya merupakan satu kebetulan apabila stunt king yang sepatutnya beraksi tidak dapat berbuat demikian kerana kontrak mereka telah berakhir dan pada sama berlaku kelewatan penggambaran filem atas sebab tertentu.

“Pada masa itu mereka membuat penggambaran di Kuala Lumpur. Memandangkan kami saling mengenali, jadi stunt king tersebut mengusulkan saya kepada produksi filem berkenaan.

“Meskipun saya tidak terlibat dalam banyak adegan, namun saya menganggapnya sebagai satu permulaan untuk mengembangkan karier saya.

“Dalam filem tersebut, saya melakukan aksi menunggang motosikal menggantikan Tan Sri Micheal Yeoh dalam adegan mengejar kereta api yang sedang bergerak,” katanya.

Selepas tiga tahun, William sekali lagi diberi kepercayaan untuk melakukan aksi memandu kereta dalam filem yang juga dibintangi Jackie Chan iaitu Thunderbolt (1995).

“Dalam filem yang berkisarkan perlumbaan kereta itu, saya berperanan sebagai pemandu lagak ngeri untuk adegan yang melibatkan aksi mengejar dan melanggar kereta di Litar Batu Tiga, Shah Alam.

“Selepas itu, saya diberi kepercayaan sepenuhnya untuk membuat kesan khas letupan dalam filem Who I Am (1998) yang turut dibintangi Jackie Chan,” katanya yang telah berjaya menerajui Ace Stunt Action Service sebagai salah sebuah syarikat aksi dan kesan khas termuka di negara ini.

Sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri perfileman, beliau merasakan penglibatannya bersama produksi perfileman Bollywood memberi kepuasan sebenar pada dirinya.

“Jika dibandingkan dengan Hollywood, saya lebih banyak memperolehi peluang untuk berkarya di Bollywood. Di Hollywood mereka mempunyai pengarah aksi sendiri dan ini membataskan saya untuk lebih kreatif kerana kedudukan sebagai ‘orang kedua’ hanya membolehkan saya untuk memberi cadangan dan idea.

“Namun, apabila terlibat dalam Bollywood, misalnya dalam filem Alladin (2009) yang dibintangi Amitabh Bachchan, saya terlibat secara keseluruhan dalam filem berkenaan, jadi saya bebas untuk berkarya.

“Seperti kita ketahui Bollywood dan Tamil cukup sinonim dengan pelbagai aksi, tarian dan nyanyian serta penggambaran di luar negara, justeru bajet yang diperuntukkan sangat tinggi.

“Dengan peluang dan peruntukan itu membolehkan saya mencipta pelbagai aksi yang lebih kreatif dan mencabar.

“Atas sebab itu juga reputasi saya di India meningkat naik. Selepas filem Alladin, saya menerima banyak tawaran dalam tempoh lima hingga enam tahun,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaannya menyelaras aksi bahaya dua kereta terbalik dan meletup secara serentak dalam filem KL Gangster 2 merupakan lagak ngeri tempatan yang terbaik buat dirinya.

“Bukan mudah melakukan aksi tersebut. Kalau guna satu kereta, kita boleh terbalikkan begitu sahaja tetapi untuk babak tersebut saya mencipta aksi dua kereta dipandu pelagak ngeri terbalik serentak dan pada masa sama berlaku letupan,” katanya.