Berbicara perihal pendidikan tinggi, ia tidak dapat lari dengan universiti awam dan segala entiti yang berada di dalamnya. Satu topik yang jarang dibawa ke pentas nasional adalah meraikan peranan kumpulan pentadbir universiti awam. Entiti ini adalah antara kelompok utama yang menjadi teras dalam kejayaan sesebuah universiti selain kakitangan akademik, kakitangan pelaksana dan mahasiswanya. Bulan Ogos amat bermakna buat pentadbir universiti awam, lebih tepat lagi 20 Ogos kerana tarikh ini dipilih oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) sebagai Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam di seluruh negara. Pada masa ini, terdapat kira-kira 8,000 pentadbir universiti awam dalam kalangan kumpulan Pe­ngurusan dan Pengurusan dari pelbagai skim perkhidmatan menabur bakti di universiti masing-masing.

Pentadbir universiti awam adalah kumpulan yang tidak dapat dinafikan sumbangan dan peranan mereka dalam menggerakkan hala tuju sesebuah universiti. Kewujudan dan peranan pentadbir ini wujud dan berkembang selari dengan evolusi sistem pendidikan tinggi itu sendiri yang beralih dari pendidikan yang bersifat klasik kepada sebuah pendidikan kontemporari. Pengakhiran zaman pertengahan menandakan permulaan transformasi universiti. Ia mula berubah daripada sebuah pusat menyampaikan ilmu semata-mata kepada sebuah organisasi yang sistematik dan mempunyai kebitaraan (subject matter expert) tersendiri.

Sejauh mana dasar universiti itu diatur untuk digerakkan mengikut arus keperluan semasa yang bersifat lokal atau global, pentadbir universiti awam sentiasa menjadi komponen sokongan yang setia mendukung dengan teguh. Bagi penulis, simbiosis antara pentadbir universiti awam dan universiti akan sentiasa wujud merentas zaman. Cuma yang menjadi perbezaan, sejauh manakah untuk mengukur keberadaan pentadbir universiti awam itu diraikan dan kelangsungannya itu diperlukan dalam ekosistem universiti yang makin mencabar dan makin kuat geloranya.

Di sinilah kemahiran dan lonjakan pengalaman kumpulan pentadbir universiti awam amat ditagih dan dikembangkan dalam mengemudi universiti. Atas sebab itu, penulis berpandangan peranan pentadbir universiti awam itu sentiasa signifikan dari dahulu, kini dan mendatang. Tetapi ia perlulah disetarakan dengan kemampuan profesionalnya dalam melaksanakan fungsinya di universiti. Sudah tiba masanya institusi pentadbir universiti awam dijenamakan dengan lebih berkesan agar martabat pentadbir berkenaan dapat diangkat ke tahap yang baharu dan lebih tinggi.

Bagi menjadikan jenama pentadbir universiti awam itu mantap, beberapa cabaran besar perlu difahami dan diatasi dengan bijaksana. Tiga cabaran besarnya, yang pertama adalah untuk cepat mengadaptasi perubahan landskap pendidikan global termasuklah Malaysia dalam posisi jawatan masing-masing di universiti. Keduanya pula kemampuan menerokai dan menggilap potensi diri agar kompetensi pentadbir universiti awam selari dengan ekosistem pendidikan semasa dan cabaran ketiga adalah memastikan budaya kerja kelas pertama sinonim dengan imej pentadbir.

Pentadbir universiti awam perlu terus dilihat berwibawa dalam kedudukan strategik di universiti. Melalui wibawa ini, pentadbir universiti awam secara langsung mempunyai locus standi untuk menasihati dan mempengaruhi pihak-pihak berkepentingan dalam membuat keputusan. Berada dalam organisasi yang besar seperti universiti ini, kita mempunyai pemegang taruh yang datangnya dari pelbagai peringkat yang perlu diuruskan dengan baik.

Tuntutan kini memerlukan pentadbir universiti awam sentiasa membina rangkaian baharu dengan pelbagai pihak dan berupaya bersintesis dengan sumber rangkai­an yang dimiliki ini sebagai satu energi menggerakkan universiti. Pentadbir universiti awam tidak boleh lagi kekal dengan budaya kerja lama dan sekiranya tidak bertindak, berfikir dan mengekang diri sendiri daripada membuat pembaharuan, ini adalah masalah yang besar kepada universiti dan pemegang taruh kita.

Penulis suka untuk menyatakan bahawa ‘padang’ pendidikan tinggi kini tidak lagi sama seperti dahulu, ditambah pula Kementerian Pendidikan telah memalu gendang untuk universiti awam bersiap-siaga dengan ledakan Revolusi Industri 4.0. Pada masa sama, di­sandarkan harapan tulus agar kementerian dan pengurusan universiti melihat keperluan mewujudkan ekosistem universiti yang sejahtera kepada pentadbir secara inklusif. Universiti perlu menjadi platform yang boleh mengembangkan potensi dan laluan kerjaya seorang pentadbir seperti lantikan ke jawatan khas pentadbiran, mempunyai skim perkhidmatan yang lebih menarik dan mengatasi isu waran perjawatan (tetap dan kenaikan pangkat) yang amat terhad.

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.