Justeru itu, kepimpinan baru PRESMA yang diterajui Ayoob Khan mempunyai wawasan dan strategi mantap bagi menjadikan kira-kira 10,000 restoran 24 jam yang sedang beroperasi di negara ini memiliki keistimewaan tersendiri termasuk menyediakan sajian enak masakan India Muslim bersumberkan rempah ratus dari benua itu.

“PRESMA berhasrat untuk memperkasakan lagi keistimewaan yang terdapat di restoran 24 jam dalam kalangan ahli-ahli kami bagi menceriakan rakyat Malaysia.

“Kelebihan restoran 24 jam India Muslim di negara ini sudah dikenali ramai sebagai restoran rakyat yang sentiasa mengekalkan harga berpatutan, layanan cepat, dan makanan mampu milik, mesra pelanggan dan bersih,” kata Ayoob Khan yang memiliki tujuh cawangan Restoran ABC One Bistro di sekitar Kuala Lumpur antaranya di Masjid India, Desa Petaling, Puchong, Cheras dan Brickfields.

Menurutnya aspek kebersihan menjadi agenda utama PRESMA bagi memastikan restoran 24 jam mempunyai tahap kebersihan terbaik sehingga diperakui dan diberi penilaian Gred A oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, PRESMA amat menyanjungi tinggi keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus mengekalkan operasi restoran 24 jam di negara ini demi kesejahteraan rakyat keseluruhan.

“Kami di PRESMA sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat keputusan untuk mengekalkan operasi restoran 24 jam ini ketika kami menghadapi masalah reaksi pengguna yang melabelkan dengan obesiti dan gejala sosial di waktu malam hasil pembukaan restoran 24 jam ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.


Tumpuan

Ayoob Khan menganggap langkah positif kerajaan itu dilihat banyak membawa manfaat dan kebaikan kepada rakyat berbanding keburukan yang digembar gemburkan pihak tertentu yang seringkali melabelkan operasi restoran 24 jam kononnya dikaitkan dengan masalah obesiti dan gejala sosial dalam kalangan remaja terutama pada larut malam.

“Konsep restoran 24 jam ini bukan satu perkara baru di Malaysia. Kami di PRESMA akan terus menjadikan nadi restoran 24 jam ini sebagai satu produk untuk menarik minat pelancong dan menceriakan bandar di seluruh Malaysia.

“Malaysia merupakan satu-satunya negara yang boleh dikaitkan sebagai The Nation Which Not Sleeps (negara yang tidak tidur). Lebih menarik lagi rangkaian Restoran India Muslim ini menjadi tumpuan untuk remaja melepak sambil minum, makan makanan ringan dan menikmati siaran langsung perlawanan bola sepak, gusti dan lain-lain tanpa mengeluarkan kos perbelanjaan yang banyak,” katanya.

Malah katanya, rakyat Malaysia yang bekerja syif juga dapat menikmati sajian dan hidangan enak dengan suasana yang meriah di restoran 24 jam di seluruh negara.

Ketika ini hanya terdapat kira-kira 4,000 pengusaha restoran India Muslim, katering, kedai makanan atau pengusaha yang berkaitan dengan industri restoran di Malaysia yang menjadi ahli PRESMA. Untuk itu PRESMA akan menggiatkan lagi usaha dan kempen bagi menyedarkan pengusaha supaya bernaung di bawah PRESMA.

Mengikut kajian PRESMA, pada awal tahun 1990-an, hanya terdapat kira-kira 40 buah restoran 24 jam beroperasi di Malaysia. Namun begitu, jumlah itu terus meningkat dengan ketara kepada lebih 7,000 restoran India Muslim pada awal milineum baru dan meningkat secara mendadak kepada angka lebih 10,000 restoran pada 2017.

“Tanpa restoran 24 jam ini rakyat Malaysia akan menghadapi pelbagai kesulitan kerana restoran 24 jam merupakan satu fenomena yang dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan rakyat majmuk di negara kita,” beritahu Ayoob Khan lagi.

Menurut beliau lagi, restoran India Muslim yang beroperasi 24 jam di negara ini turut memberi sumbangan besar membantu menjana ekonomi negara bernilai kira-kira RM9 bilion setahun.

Ayoob seterusnya merayu kepada kerajaan agar dapat meringankan beban ahli-ahli PRESMA dengan memudahkan pengambilan pekerja asing dari India.

“Pada masa ini kami perlukan 20,000 pekerja asing. Pekerja India lebih bertanggungjawab dan kurang menghadapi gejala tidak diingini. Ini kerana pengusaha restoran India Muslim lebih senang dan mudah mengendali, menjaga dan mengajar pekerja dari India,” katanya.

Menurut Ayoob lagi ketika ini merupakan saat-saat paling kritikal untuk pengusaha-pengusaha restoran berikutan pelbagai masalah dihadapi oleh mereka seperti kekurangan pekerja, kenaikan harga barang mentah, kenaikan sewa yang tinggi, gangguan kongsi gelap dan sebagainya.

“PRESMA sebagai nadi untuk pengusaha restoran India Muslim akan terus berjuang untuk setiap ahli. Kami telah pun merentasi perjalanan ini dengan pelbagai cabaran, saingan dan liku-liku kepahitan dan kepedihan. Perjuangan masih diteruskan dengan tulus dan ikhlas.

“Akhir kata sumbangan setiap ahli PRESMA dalam pembangunan ekonomi dan negara adalah tidak ternilai. Walau apa pun rintangan dan cabaran kami hadapi, kami tetap memberi sumbangan kepada negara Malaysia yang bertuah ini,” katanya mengakhiri perbualan.