Terkini, kelmarin apabila Majlis Bandar Raya Oxford membuat keputusan untuk menarik balik Anugerah Kebebasan Oxford yang diberikan kepada Suu Kyi kerana bandar tersebut enggan dikaitkan dengan individu yang tidak mengendahkan keganasan yang berlaku di negara mereka sendiri.

Besar kemungkinan Suu Kyi ti­dak gusar dengan penarikan anu­gerah tersebut tetapi hakikatnya adalah bandar Oxford ­telah me­laksanakan amanah sosial kerana ini adalah kali pertama da­lam sejarah anugerah tersebut terpaksa ditarik balik.

Sebab itu dikatakan apabila Pemimpin Vatican Pope Francis melakukan lawatan ke Myanmar semalam, peristiwa ini dianggap satu peluang keemasan untuk memberi tekanan kepada Suu Kyi kerana salah satu agenda lawatan adalah pertemuan di antara ­kedua-dua pemimpin ini.

Mungkin juga ramai yang berasa kecewa apabila Pope Francis tidak mengungkit isu Rohingya secara langsung sama ada dalam ucapan atau pertemuan beliau dengan Suu Kyi.

Tidak keterlaluan mengapa ha­rapan yang tinggi disandarkan kepada Pope Francis adalah kerana beberapa bulan sebelum ini beliau pernah menyebut kemelut ini secara langsung dan telah menggunakan ungkapan Rohingya. Malah Pope Francis yang tidak asing memperjuangkan isu sensitif yang melibatkan pembersihan etnik atau genocide seperti pembunuhan beramai-ramai rakyat Armenia ketika Perang Dunia I atau pembunuhan yang berlaku di Rwanda pada 1994 dianggap pemimpin paling sesuai menimbulkan isu Rohingya kerana beliau tidak mempunyai kepentingan geopolitik.

Besar kemungkinan juga berhati-hatinya Pope Francis di Myanmar adalah juga untuk menjaga kepentingan kumpulan etnik minoriti lain seperti Kachin, Karen, Chin dan Akha yang kebanyakannya adalah penganut Katolik. Ini kerana dalam ratusan kumpulan etnik yang wujud di Myanmar, hanya etnik Rohingya dilucutkan kerakyatan dan diperlakukan secara kejam oleh pihak tentera tanpa dipedulikan oleh kerajaan.

Tidak keterlaluan jika diandaikan sikap waspada Pope Francis adalah untuk mengelak tindak balas terhadap etnik Katolik ke­rana tentera Myanmar dan juga beberapa kumpulan Buddha yang ekstrem dikatakan sering mengamalkan sikap balas dendam sekiranya pemimpin dari negara atau kumpulan tertentu bersuara kritis terhadap isu Rohingya.

Apabila wartawan dari Malaysia dan Singapura iaitu Mok Choy Lin dan Lau Mon Meng bersama-sama dengan dua lagi rakyat tempatan dituduh mengguna dron tanpa permit di kawasan larangan, pertuduhan seperti ini boleh dianggap sebagai usaha untuk menyukarkan wartawan asing me­laksana tugas terutama sekali jika pelaporan tersebut melibat­kan isu Rohingya. Kesemua mereka ini telah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan mengikut peruntukan Akta Pesawat yang jarang sekali digunakan.

Tetapi apabila diberitakan ke­dua-dua rakyat Malaysia dan Si­ngapura ini bakal dituduh dengan dua tuduhan baharu melalui Akta Imigresen dan juga Perundangan Export dan Import yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, maka tidak keterlaluan diandaikan strategi ini bukan lagi untuk menyukarkan tugas wartawan tetapi sebagai amaran tersirat kepada negara yang kritikal dengan Myanmar.

Sebab itu, negara ahli ASEAN begitu berhati-hati apabila berhadapan dengan isu Rohingya kerana bukan sahaja tidak mahu dituduh mencampuri urusan dalaman Myanmar, tetapi juga akan terdedah dengan sikap balas dendam yang sering diamalkan oleh Myanmar. Malah ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-31 yang diadakan di Manila dua ming­gu lalu, ungkapan Rohingya tidak digunakan secara langsung.

Sebab itu apabila Malaysia secara langsung mengkritik kerajaan Myanmar atau pun mengguna pentas antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ketika mengetengahkan kemelut yang dihadapi Rohingya, Kuala Lumpur amat peka terhadap risiko yang bakal dihadapi.

Begitu juga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelitkan agenda perbincangan mengenai isu Rohingya dalam pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump, Presiden Perancis, Francois Macron dan Perdana Menteri Britain, Theresa May, strategi sebegini ­sememangnya berjaya menarik perhatian pemimpin kuasa besar tetapi sebenarnya penuh dengan risiko yang lazimnya tidak akan diambil oleh pemimpin negara ASEAN lain.

Kuala Lumpur amat mengerti dengan risiko yang dihadapi sebagai negara yang paling vokal dalam ASEAN memperjuangkan nasib Rohingya tetapi jika hendak dibandingkan dengan manfaat yang telah diperoleh, maka risiko yang telah diambil itu amat berbaloi sekali. Bukan sahaja Setiausaha Agung PBB melabelkan apa yang berlaku dianggap sebagai genocide, saranan yang serupa juga diakui oleh beberapa pe­mimpin Eropah.

Paling signifikan apabila Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson telah memberi kata dua kepada tentera Myanmar supaya mengendurkan tindakan ketenteraan. Walaupun AS belum lagi memberi isyarat atau amaran untuk mengenakan sekatan ekonomi, amaran dari Tillerson dianggap satu permulaan yang baik untuk mengenakan tekanan secara berterusan kepada pemimpin paling berkuasa di Myan­mar iaitu Suu Kyi.