Agak mudah untuk membuat kesimpulan sedemikian rupa jika tindakan tersebut bersifat jelas seperti pencerobohan AS dan sekutunya ke atas Afghanistan dan Iraq bermula tahun 2001 dengan menggunakan alasan membanteras keganasan dan pemerintah kejam. Begitu jua pada ketika ini AS yang menyalurkan bantuan kepada beberapa kumpulan pemberontak di Syria demi menggu­lingkan Presiden Bashar al-Assad yang dituduh bersifat kejam ke atas rakyatnya sendiri.

Tidak tersasar juga jika masih ada yang membuat kesimpulan tindakan kuasa besar terbabit hanya menyasarkan seteru nyata mereka seperti tindakan AS bersama-sama dengan Korea Selatan melaksanakan latihan pelancaran peluru berpandu pada ketika ini sebagai tanda amaran ekoran tindakan Pyongyang melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) beberapa hari lalu.

Tetapi apabila tindakan kuasa besar agak tersirat maka sukar untuk membaca niat sebenar ­kerana matlamat yang dihebohkan tidak semestinya menggambarkan kea­daan sebenar.

Dalam keadaan sebeginilah rakyat Malaysia perlu mengambil pendekatan berhati-hati ketika membuat kesimpulan.

Beberapa hari lalu iaitu pada 3 Julai, AS buat kali kedua sejak Presiden Donald J. Trump mengambil alih pentadbiran White House, melaksanakan program apa yang dinamakan Operasi Kebebasan Navigasi (FONOP) di Laut China Selatan. FONOP pada Isnin lalu menyaksikan kapal perang USS Stethem memasuki perairan 12 batu nautika Pulau Triton di Kepulauan Paracel yang pada ketika ini di kuasai oleh China tetapi dituntut juga oleh ­Vietnam dan Taiwan.

Begitu jua pada 24 Mei lalu, FONOP dilaksanakan melalui kapal perang USS Dewey yang menyusuri perairan Terumbu Mischief di Kepulauan Spratly yang sedang ditambak oleh China.

Secara dasarnya, FONOP yang dikendalikan oleh Jabatan Pertahanan AS adalah untuk memastikan setiap kapal sama ada bersifat dagang atau tentera bebas belayar tanpa kekangan dalam perairan antarabangsa termasuk Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ).

Maka secara asasnya tidak akan timbul kemusykilan pelaksanaan FONOP oleh AS tetapi sekali lagi dalam kes Laut China Selatan kita perlu berhati-hati kerana strategi AS tidak hanya terhad kepada China sahaja.

Tidak dapat dinafikan FONOP sama ada yang dilaksanakan oleh USS Dewey atau USS Stethem adalah untuk menafikan tuntutan China secara spesifiknya ke atas Terumbu Mischief dan Pulau Triton dan secara amnya sebahagian besar perairan Laut China Selatan. Perlu ditekankan tuntutan China ini merangkumi sebahagian besar EEZ Malaysia yang turut merangkumi Pulau Layang-La­yang dan beberapa terumbu serta beting milik Malaysia iaitu yang terletak di Kepulauan Spratly.

Jika timbul persepsi bahawa strategi FONOP hanya merangkumi seteru AS dan oleh kerana Malaysia mempunyai isu tuntutan bertindih dengan China terutama sekali di Kepulauan Spratly, maka menggunakan hujah ini sahaja sepatutnya Malaysia tidak mempunyai masalah dengan FONOP.

Kegusarannya adalah strategi FONOP Laut China Selatan tidak hanya menyasarkan kuasa besar China tetapi juga negara kecil seperti Malaysia. Pada 2014, AS telah mencabar kedaulatan perairan EEZ Malaysia dengan melaksanakan FONOP sebanyak dua kali dan pada Mei lalu, AS sekali lagi menekankan mereka tidak mengiktiraf peraturan yang dikenakan oleh Kuala Lumpur.

Mengikut peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), Malaysia mempunyai hak untuk mengurus perairan EEZ dan dalam hal ini Kuala Lumpur telah memper­kenalkan peraturan kapal perang berkuasa nuklear perlu meminta kebenaran kerajaan Malaysia untuk menyusur EEZ negara. Begitu jua sebarang latihan ketenteraan dalam EEZ negara tidak dibenarkan tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Peraturan tersebut diperkenalkan pada 1996 apabila Malaysia mengesahkan penyertaan dalam UNCLOS dan begitu ironis sekali FONOP adalah berasaskan UNCLOS sedangkan AS sehingga hari ini masih tidak mengesahkan penyertaan mereka dalam konvensyen tersebut.

Sebab itu, tidak keterlaluan jika diandaikan kuasa besar ­seperti AS akan menggunakan apa sahaja kelebihan yang dimiliki untuk memastikan manfaat geopolitik diperolehi oleh mereka tidak kira sasaran adalah kuasa besar lain atau pun negara kecil.

Sebab itu juga pada Mac lalu, Trump mengarahkan Jabatan ­Perdagangan AS melakukan siasatan ke atas 16 negara yang dianggap tidak jujur dalam urus niaga dengan AS sehingga menyebabkan l­ebihan dagangan yang merugikan AS. Tidak menghairankan jika sekali lagi China diletakkan di tangga teratas dengan lebihan dagangan mencecah sehingga AS$347 bilion dan diikuti Jepun dengan lebihan sebanyak AS$69 bilion.

Tetapi apabila Malaysia pula dilonggokkan dalam kelompok 16 negara kerana dikatakan mempunyai lebihan dagangan sebanyak AS$25 bilion sedangkan mengikut statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, jumlah lebihan hanyalah AS$6 bilion, timbul kemusykilan mengenai perbezaan jumlah yang begitu ketara sekali.

Sebab itu disaran supaya ­rakyat Malaysia perlu berhati-hati menilai setiap tindak tanduk kuasa besar yang secara dasarnya mempunyai matlamat menegakkan keadilan tetapi jika diteliti setiap tindakan mereka itu sebenarnya hanya untuk manfaat diri sendiri. Lazimnya matlamat kuasa besar ini tidak selari dengan kehendak negara yang menjadi sasaran dan ini termasuklah Malaysia.