Tidak jujur jika hendak diandaikan Malaysia tidak mempunyai masalah dengan negara jiran terdekat tetapi hakikatnya adalah setiap masalah tersebut perlu ditangani secara berhemah demi mengelak tercetus polemik yang sukar dikawal.

Umpamanya hubungan Malaysia dan Singapura tidak pernah sunyi kerana sentiasa diselubungi dengan masalah berkait rentas sempadan. Terkini kedua-dua negara berdepan dengan isu sempadan pentadbiran pelabuhan Johor Bahru dan juga penggunaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Setiap kali timbul isu di antara kedua-dua negara berjiran ini, sudah pasti meletus perdebatan di media sosial dan juga media perdana bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi pemimpin politik kedua negara.

Tetapi berkemungkinan juga rakyat kedua-dua negara sudah agak lali dan matang dengan perdebatan sedemikian rupa, maka penghujahan walaupun kadang kala panas masih berada pada tahap boleh dikawal.

Begitu jua hubungan dengan Indonesia, sering diuji dengan berbagai isu yang berkait dengan sempadan.

Paling terkini pada 11 Disember lepas dilaporkan lima rakyat Malaysia ditahan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) kerana didakwa menceroboh wilayah Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya ketika mengesahkan kejadian tersebut beberapa hari lepas menegaskan, kelima-lima rakyat Malaysia itu berada dalam sempadan sebelah Malaysia ketika ditahan TNI iaitu di kawasan hutan Wong Rangkai berhampiran Kampung Danau Melikin yang terletak hanya 400 meter dari sempadan Serian-Kalimantan.

Marzuki juga menyatakan, walaupun kemelut tersebut diselesaikan dengan TNI membebaskan kesemua rakyat Malaysia yang ditahan, Wisma Putra telah menghantar nota bantahan diplomatik ke pejabat Kedutaan Indonesia demi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Kedutaan Indonesia, menurut Marzuki lagi telah mengakui kesilapan yang dilakukan anggota TNI dan mengambil maklum nota bantahan tersebut.

Tetapi jika ditinjau pelaporan media di Indonesia pula, perjalanan peristiwa tersebut agak bertentangan dengan apa yang diperjelaskan oleh Marzuki dan perbezaan naratif ini dianggap situasi lazim dalam setiap isu merentas sempadan.

Berbeza bentuk penceritaan terutama sekali yang berlaku dalam media bukan sahaja tercetus dengan Indonesia tetapi dengan negara jiran lain.

Umpamanya pada November 2016, media Indonesia heboh dengan berita pesawat Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dipintas oleh jet pejuang TNI-Angkatan Udara kerana menceroboh ruang udara Natuna, Indonesia.

Tetapi jika ditinjau pelaporan media Malaysia pula naratif penceritaan adalah berbeza kerana Hercules tersebut berada dalam laluan lazim ke Labuan.

Serupa juga dengan pelaporan media Singapura mengenai isu sempadan pelabuhan Johor Bahru dan bantahan Malaysia terhadap penggunaan ILS, walaupun membincangkan isu yang sama tetapi bentuk pelaporan adalah berbeza mengikut agenda negara masing-masing. Bentuk pelaporan dalam media adalah penting kerana ia mampu mempengaruhi persepsi rakyat negara masing-masing.

Tidak kira apa jua isu yang hendak dilaporkan sama ada membabitkan penculikan oleh TNI, pencerobohan ruang udara Natuna, had sempadan pelabuhan Johor Bahru atau penggunaan ILS, apa yang pasti adalah bentuk pelaporan adalah selari dengan kehendak dasar luar kerajaan masing-masing.

Bentuk pelaporan media perdana negara masing-masing ini sebenarnya banyak membantu kerajaan ketika berhadapan dengan masalah negara jiran kerana tahap sokongan rakyat adalah antara kriteria penting dalam kejayaan mengurus dasar luar.

Begitu jua perdebatan di alam maya terutama sekali dalam media sosial, sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh bentuk berita yang dilaporkan oleh media perdana.

Sebab itu kritikal bukan sahaja bagi media perdana melaporkan berita berkait perkara rentas sempadan berasaskan fakta walaupun naratifnya mengikut cita rasa masing-masing tetapi juga mereka yang menjadi sumber berita tersebut yang membuat kenyataan juga mesti bersandarkan fakta.

Pendirian sebegini adalah penting untuk mengelak berita mudah disanggah oleh pihak lain dan lebih penting rakyat tidak membuat keputusan bersandarkan maklumat yang tidak betul.