Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Wasiat Lee Kuan Yew jadi pertikaian anak-anak

LEE HSIEN LOONG 3
LEE HSIEN LOONG

Pertama kali penulis berjumpa dengan Lee Hsien Loong ialah pada tahun 1983. Ketika itu penulis membuat liputan untuk Utusan Malaysia. Acaranya ialah kunjungan Hsien Loong ke Kementerian Pertahanan.

Masa itu anak Lee Kuan Yew itu baru dinaikkan pangkat ke Brigadier Jeneral Angkatan Tentera Singapura (SAF). Beliau adalah pegawai paling muda pernah dinaikkan ke pangkat itu. Ketika itu Hsien Loong yang berkelulusan bidang Matematik dari Universiti Cambridge baru berusia 31 tahun.

Perdana Menteri Singapura masa itu ialah Goh Chok Tong. Sementara Kuan Yew berada dalam Kabinet dengan jawatan Menteri Kanan.

Sebelum membuat tugasan itu, penulis diberi ingatan bahawa Hsien Loong adalah seorang yang penting kerana beliau dijangka pada satu hari kelak akan menjadi Perdana Menteri Singapura. Memang benar pada tahun 2004, beliau mula memegang jawatan itu.

Hsien Loong dibesarkan bersama adik-adiknya, Dr. Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang di banglo 38, Oxley Road, Singapura. Rumah ini benar-benar berekabentuk banglo asal kolonial British Malaya. Ia dibina sekitar lewat abad ke-19 menjadikannya layak untuk dipanggil sebagai binaan warisan.

Rumah ini dibina oleh seorang saudagar Yahudi di kawasan yang pada masa itu terdapat ladang buah pala. Bapa Kuan Yew, Lee Chin Koon dan keluarganya berpindah ke situ pada tahun 1945, iaitu tahun Perang Dunia Kedua berakhir. Ketika itu Kuan Yew berusia 22 tahun.

Dua tahun kemudian Kuan Yew melanjutkan pelajaran di Britain dan pulang pada tahun 1950 untuk menjadi peguam. Pada tahun yang sama beliau berkahwin dengan Kwa Geok Choo. Dua tahun kemudian anak sulung mereka, Hsien Loong lahir.

Semasa menjadi peguam, beliau sering datang ke pejabat Utusan Melayu untuk berjumpa pengarang, A. Samad Ismail. Pada masa-masa itulah rancangan dibuat untuk menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Perbincangan banyak dibuat di ruang bawah rumah 38 Oxley Road itu. Parti itu dilancarkan pada tahun 1954, menang pilihan raya dan Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Singapura pada tahun 1959.

Ini bermakna rumah itu bukan saja bersejarah bagi Kuan Yew tetapi juga bagi PAP dan Republik Singapura sendiri. Namun pada tahun 2011, ketika berusia 88 tahun, Kuan Yew menyatakan bahawa beliau mahukan rumah itu dirobohkan selepas ketiadaannya.

Ini kerana beliau tidak mahu rumah itu menjadi memorial atau tugu politik untuk dijadikan peringatan padanya. Beliau menyatakan bahawa rumah-rumah pemimpin lama yang dijadikan monumen kaku dengan dikunjungi pelawat akhirnya menjadikannya tempat berkenaan kelihatan buruk.

Beliau juga merujuk pada rumah bekas Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru dan William Shakespeare yang pernah dilawatinya.

Pada tahun 2013, ketika berusia 90 tahun, Kuan Yew mengeluarkan wasiat akhirnya yang antara lain menyatakan bahawa rumah itu hendaklah dirobohkan selepas ketiadaannya kecuali anak perempuannya, Wei Ling terus tinggal di situ. Tetapi jika Wei Ling pindah keluar, rumah itu perlu dirobohkan dan nilainya dibahagikan pada anak-anaknya bertiga.

Andainya atas sebab tertentu yang menyebabkan rumah itu tidak boleh dirobohkan, beliau tidak membenarkan sesiapa selain daripada anak-anaknya, keluarga mereka dan keturunannya memasuki rumah itu.

Walaupun begitu terdapat cadangan supaya rumah itu dijadikan muzium atau tapak warisan. Bagi Kuan Yew, rumah berusia lebih 100 tahun itu sudah begitu lama sehinggakan kos pemuliharaannya dan penyenggaraannya tinggi.

Lagipun kehadirannya akan terus menghalang pembangunan di sekitar kawasan itu. Jika ia dirobohkan, nilai tanah di kawasan itu dijangka naik mendadak.

Kuan Yew meninggal dunia pada tahun 2015. Beberapa bahan dari rumah itu diserahkan oleh adik-adik Hsien Loong sebagai pemegang amanah kepada Lembaga Warisan Negara untuk tujuan pameran dengan pengumuman bahawa rumah itu akan dirobohkan.

Namun pertikaian antara Hsien Loong dan adik-adiknya mula terserlah tahun lalu apabila Wei Ling menuduh abangnya menjadikan ulang tahun kematian bapa mereka sebagai acara pengagungan pemimpin bagi memenuhi kepentingan politiknya. Beliau juga menuduh abangnya berhasrat untuk menubuhkan keluarga politik keturunan Lee.

Hilang keyakinan

Bagaimanapun Hsien Loong menafikannya dan menegaskan komitmen politiknya terhadap meritokrasi di Singapura. Umumnya rakyat Singapura memandang pertikaian itu berupa soal dalaman keluarga Lee yang berkisar pada rumah pusaka itu. Ia tidak berkaitan dengan negara dan rakyat republik itu.

Namun Rabu lalu, apabila Wei Ling dan Hsien Yang mengeluarkan satu kenyataan enam halaman bagi menyatakan kehilangan keyakinan mereka terhadap abangnya, bukan saja berkaitan rumah itu tetapi juga mengenai cara pemerintahannya, maka perkara ini sudah menjadi isu negara.

Mereka mendakwa Hsien Loong enggan melaksanakan wasiat bapanya yang mahukan rumah itu dirobohkan. Malah mereka juga menuduh beliau menggunakan kekuasaannya dengan menubuhkan jawatankuasa kerajaan untuk melaksanakan kehendaknya.

Lebih memeranjatkan lagi, adik-adik Hsien Loong turut mendakwa abangnya mahu menggunakan legasi bapanya, termasuk rumah itu untuk mengukuhkan kedudukan politiknya. Hsien Loong dan isterinya, Ho Ching juga dituduh sedang membina keluarga politik dengan menyediakan anaknya, Li Hongyi untuk kerjaya politik.

Ketika kenyataan itu dikeluarkan, Hsien Loong sedang bercuti di luar negara. Beliau menyatakan kesedihannya bahawa isu keluarga Lee telah dihebahkan pada umum dan menafikan tuduhan adik-adiknya.

Keesokannya Hsien Loong mengeluarkan kenyataan yang lebih panjang. Beliau menyatakan keraguan terhadap kandungan wasiat akhir bapanya yang dikatakannya disediakan oleh firma guaman adik iparnya, Lee Sueet Fern iaitu isteri Hsien Yang.

Menurut kenyataan itu, wasiat bapanya dikeluarkan sebanyak tujuh kali sejak tahun 1990. Dalam wasiat-wasiat awal sememangnya dinyatakan bahawa rumah itu mesti dirobohkan. Tetapi dalam wasiat kelima dan keenam, perkara itu ditiadakan.

Bagaimanapun, beliau persoalkan bagaimana perkara itu dimasukkan semula dalam wasiat akhir bapanya. Beliau meragui bapanya mengetahui mengenai masuknya perkara itu.

Hsien Loong juga menafikan beliau menyediakan Li Hongyi untuk kerjaya politik. Pada Jumaat lalu, Hongyi menyatakan beliau tidak mempunyai cita-cita politik.

Sementara itu, anak Hsien Yang, Li Shengwu turut mempertahankan kenyataan bapanya. Beliau yang dikenali oleh rakyat Singapura sebagai cucu Kuan Yew yang membaca eulogi mengenai datuknya ketika acara perkabungan pada tahun lalu juga menegaskan beliau tidak akan menyertai politik.

“Adalah buruk bagi Singapura jika mana-mana generasi ketiga keluarga Lee memasuki politik. Negara ini adalah lebih besar daripada sebuah keluarga," katanya. Namun akhirnya rakyat Singapura akan menentukan sama ada rumah 18 Oxley Road itu akan jadi memorial legasi keluarga Lee atau ia dirobohkan. Kalau rakyat tetap mahukan Li Hongyi atau Li Shengwu menjadi pemimpin mereka, adakah cucu-cucu Lee boleh menolak begitu saja?

Lagipun keluarga politik adalah suatu yang lumrah dalam banyak negara di dunia, walaupun dalam sistem republik demokratik yang mengamalkan meritokrasi.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain