Arus pergerakan kesederhanaan ini, yang bersumber ilhamkan kepada dasar wasatiyyah, merupakan antidot yang menidakkan secara total fahaman dan gejala keganasan ekstremisme masa kini. Berkemungkinan besar krisis yang melanda dunia serta umat Islam kini merupakan suatu kesukaran yang membawa kepada peluang untuk kembali mengamalkan prinsip dan amalan al Wasatiyyah.

Apatah lagi memandangkan imej Islam dan dasarnya selaku agama yang membawa mesej keamanan kini dimomokkan dengan begitu dahsyat hingga terma-terma suci seperti ‘jihad’, ‘syariah’ dan lainnya kini telah dipaparkan dengan konotosi penuh jijik.

Jika sebelum ini ia adalah agama yang disalah fahami dunia Barat, ia kini dituduh sebagai sebuah agama dan umat yang tidak toleran; bersifat pelampau dan dianggotai pengganas. Tuduhan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam bahkan oleh sarjana-sarjana bukan Islam malahan sebilangan umat Islam sendiri sama ada di kelompok kejahilan selain fanatik melampau.

Prof. M. Kamal Hassan berpendapat bahawa dunia telah memasuki an Era of Turbulence and Turmoil dan ini diperakui melalui data seorang bekas wartawan, Peter Manning, yang dalam bukunya berjudul Us dan Them telah memetik amalan media masa kini yang mana lebih daripada 60 peratus daripada kes-kes kajiannya, perkataan 'ganas', 'kematian', 'serangan', 'membunuh', 'pengeboman berani mati' atau 'kumpulan bersenjata' adalah begitu dekat dipalitkan kepada perkataan 'Arab', 'Palestin', atau 'Islam' selain 'Muslim'.

Beliau turut menyatakan pandangannya mengenai fenomena ini sebagai arus prejudis media Barat terhadap Islam dan menyatakan terdapat perbezaan amat ketara antara gaya hidup umat Islam di Australia dan di dunia lain dengan apa yang telah digambarkan di dalam media massa.

Ketidakpercayaan

Lantaran daripada itu, wujud suatu keperluan mendasar untuk segera pulang kembali ke puncak akar Islam, malahan untuk agama-agama lain juga memandangkan situasi hari ini memperlihatkan kelaziman sikap tidak toleransi, kejahilan dan fanatisme.

Apa yang telah dilakukan Daesh sememangnya di luar batasan, dan ia telah berjaya dalam misinya untuk merobohkan sisa-sisa nilai al-Taayush yang terbina hasil daripada pertembungan tamadun Islam dan Kristian serta lainnya. Keadaan-keadaan di beberapa negara Timur Tengah pasca Daesh telah mengubah landskap sosial yang sebelumnya menjadi bukti keindahan Islam.

Jika dahulu bukan Islam dapat beribadah di gereja-gereja mereka selama berabad-abad sebelumnya serta tidak takut kepada saudara-saudara mereka yang beragama Islam. Kini, kepercayaan dan nlai al-Taayush telah silih berganti dengan ketidakpercayaan.

Maka dasar wasatiyyah dan kesederhanaan ini perlu digerakkan secara berterusan memandangkan ia merupakan jambatan menghubung dan memperbaiki kembali perhubungan antara agama di segenap pelosok dunia. Bagi umat Islam, ia sejajar dengan kedatangan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin selain untuk berlaku adil antara sesama agama dan sesama insan.

Lembaran sejarah tamadun manusia telah menunjukkan bagaimana dunia Islam dahulu berjaya mengaplikasikan dasar wasatiyyah dalam kehidupan mereka, membawa arus pemodenan teknologi, akhlak dan kebudayaan yang selari dengan keimanan.

Malangnya imbangan ini gagal diteruskan oleh generasi seterusnya yang alpa dibuai kesenangan dan kemewahan yang akhirnya terjerumus kepada perpecahan bersifat kaum atau ‘taifa’ dan kini, sifat nasional atau nation state.

Kita amat berharap agar pemain dan penggubal dasar dalam kalangan negara dunia, baik Islam mahupun bukan, dapat memainkan peranan bagi meredakan konflik-konflik geopolitik dunia masa kini.

Perlu ditegaskan bahawa pada dasarnya, konsep ini bukanlah bersifat pukul sama rata mahupun sama rasa, apatah lagi sekadar terletak di tengah, contohnya tidak hebat mahupun tidak lemah, waima sebuah persimpangan antara syurga dan neraka.

Dasar dan nilai kesederhanaan ini tidak sesekali bermaksud sederhana semata-mata, sebaliknya tuntutan wasatiyyah ini merupakan tuntutan menjadi umat yang terbaik, mencari kekayaan dan kejayaan dunia tanpa alpa tanggungjawab mencari akhirat.

Ia merupakan imbangan antara hak dan tanggungjawab seseorang insan - dalam mencari pembangunan tamadun tanpa merosakkan akal dan akhlak manusia itu sendiri. Hal ini memerlukan kepada penghayatan kepada ilmu, kerana tanpanya masakan mampu untuk seseorang itu berlaku adil serta bersikap wasat (sederhana).

Malahan, tidak sukar untuk dinyatakan bahawa kejahilanlah yang membawa kepada ekstremisme (al-ghuluw) yang melanda arus dunia global masa kini. Amat wajarlah untuk kita mentaddaburi kembali ayat-ayat Quran dan hadis baginda Nabi (SAW) terhadap amaran dan larangan fahaman melampau batas:

Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"

Sabda Rasulullah (SAW): “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan kalah (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna).

Oleh sebab itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas), dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan ibadah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”

Penulis adalah Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMM.