Para pendakwah umpamanya memerlukan watak wasatiy­yah ini. Sifat mad’u atau sasaran dihadapi adalah pelbagai dengan latar anutan berbeza dan sikap beragama tidak serupa. Pendakwah harus memiliki kebijaksanaan.

Atas dorongan rasa kasih sayang dan sifat belas kasihan, pendakwah mendekati mad’u atas pertimbangan dengan bijaksana melalui pekerti diteladani dan berhujah dengan baik (surah ah Nahl ayat 125).

Ada negara, umat Islamnya majoriti dan bukan Islam minoriti. Pertimbangan wasatiyyah adalah dituntut. Ada negara, umat Islamnya minoriti dan bukan Islamnya majoriti. Kebijaksanaan secara wasatiyyah juga perlu.

Wasatiyyah ibarat seorang suri rumah memasak lauk. Terlalu banyak garam dalam lauk menyebabkan kemasinan yang membawa mudarat pada kesihatan. Terlalu sedikit garam, lauk terasa tawar dan tidak memacu selera. Pakar masak menyarankan garam dibubuh secukup rasa. Ia adalah wasatiy­yah.

Manusia memang dilahirkan dalam kepelbagaian - bangsa dan anutan agama, bahasa dan budaya, cara berfikir dan orien­tasi watak serta gelagat memerlukan pendekatan wasatiyyah (surah al Hujurat ayat 13).

Proses litaarrafu dalam al-Quran menyarankan sikap saling memahami, melengkapi, mempelajari, mendekati dan melakukan dakwah supaya akhirnya perbezaan itu menjadi sumber hikmah dan kembalinya manusia berlandaskan fitrah. Itulah menjadi ukuran terbaik dalam Islam (manusia yang mulia di sisi-Nya adalah orang berjiwa muttaqeen).

Pendekatan wasatiyyah terungkap jelas dalam surah al Imran: 110, iaitu mencetuskan umat terbaik dengan mendukung yang makruf dan mencegah diri daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah. Kemakrufan tidak sekadar melakukan sesuatu yang baik dan diredai Allah tetapi menghasilkan model-model alternatif dalam sistem.

Ia tidak sekadar membuang duri di tengah jalan tetapi le­bih jauh daripada itu ialah menghasilkan model contoh yang selari dengan keperluan syarak.

Sistem ilmu integratif dan model pendidikan melahirkan peribadi contoh adalah jalur makruf yang membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada diri manusia. Ia me­nuntut adanya pemikir, perancang dan pendidik murabbi, muallim dan muaddib yang menghasilkan tubuh ilmu yang diolah dan disampaikan secara integratif dan tajdidi (membawa kesan perubahan).

Kaedah tijarah, jual beli, muamalah malah bisnes harus berlaku dalam kerangka pematuhan syariah. Ia bakal menghindarkan riba’. Hakikatnya Islam memerlukan ilmu, kepakaran dan keahlian, strategi, model contoh dan natijah akhir­nya membawa keuntungan yang Allah redai.

Tidak ada jalan mudah atau singkat untuk mencapai kejayaan. Ia perlu difikir, dirancang dan dilaksanakan secara bijaksana agar hasilnya baik. Ia tidak boleh terjadi semata-mata dengan retorik, gopoh dan mengambil sikap bermusuh, sebaliknya menuntut sumber daya berwibawa dan sentiasa cekal serta teliti dalam melakukan sesuatu. Ini adalah pendekatan wasatiyyah.

Dikatakan jalur wasatiyyah adalah jalan bijaksana kerana perjalanannya amat strategik. Rasulullah SAW melakukan hijrah dari Mekah ke Madinah secara strategik. Bukan hanya pertimbangan Rasulullah SAW menjadi pedoman tetapi campur tangan Allah akhirnya menjadi penentuan.

Hari ini umat Islam menjadi umat pengguna kepada kekuatan Barat. Allah kurniakan bumi negara umat Islam dengan kekayaan sumber hasil bumi luar biasa. Sayangnya apabila sistem ilmu dan pendidikan berlegar dalam batasan ilmu mengurus diri (fardu ain) tetapi tidak berkembang dalam ilmu mengurus sistem (fardu kifayah) menyebabkan kekuatan teknologi barat melakukan eks­ploitasi di negara umat Islam.

Amat dituntut umat Islam memiliki tasawwur ilmu dan pendidikan yang lebih integratif supaya tidak saja produkti­viti rohaniahnya teguh dan kuat tetapi produktiviti amaliah­nya meningkat.

Meningkat dalam pengertian tubuh ilmunya subur, pendekatan dalam pengajaran-pembelajaran generasi muda­nya integratif, fokus terhadap binaan modal insan tidak saja me­numpu kepada pembangunan teknologi tinggi tetapi menjadi sentuhan keinsanan sebagai sesuatu yang utama.

Ia memerlukan jalur wasatiyyah dan istiqamah tinggi ke­rana jihad ilmu jauh lebih kompleks. Inilah tradisi kekuatan ilmuwan dan ulama silam yang mampu me­neroka melalui kajian dan renungan, menghasilkan karya-karya besar dalam pelbagai bidang serta melakukan dakwah dan tarbiyyah secara bijaksana dan sinergi antara ulama dan umarak seperti di zaman Al Makmun, Al Mansur, Harun al Rashid dan Omar ibn Aziz.

Kini umat Islam berdepan dengan keadaan yang amat gawat akibat pertentangan sesama sendiri, saling berbunuhan, krisis tidak terlerai dan menjadi pelarian dari bumi sendiri. Jangka panjang ini menjadikan umat Islam terpinggir dan berpaut kepada pihak lain untuk survival.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam harus menjadi mo­del negara kesatuan ummah. Walaupun sifat negaranya maj­muk namun kaum Melayu sebagai umat teras harus dapat merapatkan saf ukhuwah supaya jalur wasatiyyah merintis kebijaksanaan menjadi masyarakat berimbang dan sederhana.

Hal ini amat dituntut supaya umat Melayu Islam jangan hilang keutamaan dan masyarakat bukan Islam turut menghargai rasa toleransi tinggi dan turut membangun Malaysia sebagai sebuah negara maju, aman dan damai.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).