Arkady Babchenko yang sering mengkritik dan dikenali sebagai anti Presiden Rusia, Vladimir Putin memberitahu dia terpaksa menggunakan darah khinzir dan solekan ketika memalsukan kematian 
yang kononnya ditembak mati di pangsapurinya baru-baru ini.

Tidak sampai 24 jam, Babchenko yang ditemani bahagian risikan Ukraine mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan bahawa dia masih hidup, sekali gus memberitahu kenapa beliau memalsukan kematiannya.

Menurut polis, plot itu dilakukan bagi memerangkap pembunuh upahan yang 
cuba membunuh Babchenko yang disyaki daripada pihak Rusia.

Dilaporkan terdapat 30 warga Rusia yang berada di Ukraine cuba dibunuh oleh perisik Rusia termasuk Babchenko.

Ketika menceritakan butiran mengenai plot kematian palsu itu, Babchenko berkata, seorang juru solek artis dipanggil ke pangsapurinya bagi menyolek Babchenko agar kelihatan seperti mati ditembak.

Dia dipakaikan kemeja T yang berlubang akibat peluru tembakan dan disimbah dengan darah khinzir di seluruh tubuhnya.

Babchenko berkata, dia berpura-pura mati ketika pasukan medik datang memeriksanya yang kemudian membawanya masuk ke dalam ambulans serta mengisytiharkan kematiannya.

Ambulan itu kemudian menghantar ‘mayat’ Babchenko ke hospital.

“Ketika di rumah mayat, saya ‘dihidupkan’ semula. Saya membersihkan diri dan menonton berita di televisyen tentang apa yang telah berlaku,” katanya. – WWW.INDEPENDENT.CO.UK.