Menurut Xavier Ja­yakumar, keputusan itu adalah khabar gembira yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam pertemuan mereka di Wisma Darul Aman baru-baru ini. Langkah terbabit adalah antara tindakan penting memandang­kan sebelum itu pihaknya ada memohon kerjasama kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan terlibat sebagai hutan tadahan air.

Beliau juga mengakui hutan itu penting bagi membekalkan keper­luan air mentah di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta semua pihak harus memastikan kawasan terbabit tidak terjejas.

Difahamkan, beberapa lokasi pembalakan berdekatan sempadan kawasan tadahan air itu telah dihentikan kerana dikatakan turut menyumbang berlakunya bencana banjir lumpur dan me­ngurangkan bekalan air ke situ.

Sebelum ini, aktiviti pembalakan di dalam dan luar Hutan Simpan Ulu Muda pernah menerima bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang bimbang kegiatan itu akan mero­sakkan alam sekitar dan boleh menyebabkan berlaku krisis kekura­ngan bekalan air dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

CAP mengalu-alukan kenyata­an Xavier Ja­yakumar bahawa kerajaan Kedah akan membatalkan permit pembalakan di hutan simpan ber­kenaan dengan segera.

Pihak persatuan juga menyambut baik makluman menteri ber­kenaan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar pampasan kepada kerajaan negeri Kedah kerana kehilangan hasil pendapatan setelah menghentikan pembalakan di situ.

Terdapat dana antarabangsa yang boleh diperoleh bagi perlindungan hutan kita untuk tujuan menangani perubahan iklim dan memulihara biodiversiti. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah mestilah mengambil kesempatan untuk menggunakan dana berkenaan.

Dalam pada itu, pembatalan lesen pembalakan sahaja tidak mencukupi. Tindakan segera mestilah diambil untuk mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air dan melindunginya kerana kawasan itu mempunyai banyak manfaat kepada masyarakat.

Hutan Simpan Ulu Muda dan kawasan sekitarnya amat penting. Meliputi kawasan tanah berjumlah 106,418 hektar, hutan itu adalah kawasan tadahan air terbesar di wilayah utara, memenuhi tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu.

Air mentah dari situ juga me­ngalir melalui Sungai Muda ke Pulau Pinang. Hutan itu amat kritikal dalam memenuhi keperluan bekalan air untuk penduduk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang melibatkan kira-kira 4.09 juta orang di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Selain itu, air mentah yang berpunca dari kawasan tadahan berkenaan juga penting bagi tanaman dua kali setahun di kawasan sawah di Kedah yang digelar jelapang padi negara serta di Perlis dan Pulau Pinang.

Hutan ini juga memainkan pera­nan utama sebagai ‘penyerap karbon’ yang amat kritikal bagi menangani perubahan iklim.

Di bawah kerajaan sebelum ini, aktiviti pembalakan telah memusnahkan kawasan berkenaan dan seharusnya tiada lagi kegiatan seumpama itu dibenarkan di kawasan terbabit, termasuk aktiviti pengeluaran lain seperti perlombongan atau kuari.

Sebenarnya, tiada lagi alasan untuk tidak mewartakan kawasan berkenaan sebagai hutan tadahan air.

PENULIS ialah Presiden CAP.