Warkah terbuka ini bukan suatu warkah cinta terhadap guru yang biasa Cikgu Murni terima secara rambang di dalam grup WhatsApp PIBG atau jiran tetangga. Warkah ini ditulis oleh kami menggunakan nama sebenar, bukan akaun palsu atau disebar cybertrooper.

Sejujurnya Cikgu Murni memang menjadi idaman siapa sahaja yang memandang. Mungkin sebab itulah Haji Bakhil jatuh hati dan pitam berkali-kali disebabkan Cikgu Murni. Persoalan kenapa Cikgu Murni layan lelaki tua bangka seperti Haji Bakhil, sudah malas hendak kami kaji kerana kini sudah lumrah dan makin menjadi-jadi.

Warkah terbuka untuk Cikgu Murni, bukanlah Merrepak bermaksud hendak biadap atau kurang ajar, kerana kami benar-benar menjunjung budi dan jasa cikgu mendidik kami di bangku persekolahan.

Terima kasih cikgu kerana...

1. Mengajar kami erti pertandingan. Bermakna mesti ada pemenang, mesti ada kalah. Kami hargai pesanan cikgu bila bertanding, maka bertandinglah secara gentleman. Menang, raikanlah tetapi tidak sehingga memalukan lawan. Yang tewas, terimalah kekalahan dan bukan berdendam terhadap pemenang. Itu ajaran cikgu yang kami ingat hingga sekarang.

2.Mengajar erti kekalahan. Sudah kalah terimalah. Jadi kami tidak akan lakukan protes jalanan, menghasut rakan-rakan melakukan bantahan. Didikan cikgu murni kami selami sedalam-dalamnya iaitu jika orang lain rasa wajar merusuh, maka wajarlah mereka disembur air kuning.

3. Mengajar bermain catur. Jika sasaran ialah King dan Queen, ada kaedah yang tidak memerlukan mematikan rooks, bishops, knights dan pawns. Cikgu beritahu bahawa dalam realiti lain, mengekalkan mereka, mampu meningkatkan lagi bala tentera untuk mara ke medan yang satu lagi. Masalahnya, strategi yang digunakan `hendak cepat sahaja’, lalu semua dihapuskan. Menang sorak, kampung tergadai.

4. Mengajar menghormati orang tua. Sebenarnya bukan cikgu sahaja yang mengajar hal ini. Ibu bapa kami juga. Bila saja dilihat kami menyampuk perbualan orang tua, nescaya ayah akan membesarkan mata dan mengetap gigi. Isyarat ini sudah memadai untuk kami diam. Jadi kami amat mengerti mengapa menentang orang tua adalah suatu kerja sia-sia, lagi berdosa.

5. Mengajar berhemah di media sosial. Sekian lama melihat orang tertentu yang kita sanjung di sekolah tetapi di dalam Facebook, ayat-ayatnya berapi-api dan penuh cacian, kita sangkakan akaunnya digodam. Rupanya tidak. Cikgu beritahu orang begitu ada `split personality’ iaitu baik pada luaran, tidak di dalam. Orang begini bahaya dan berisiko menjadi seorang pembengis yang menyiksa jiwa raga anda dan lagi teruk, jadi pembunuh. Jadi kami jauhi orang yang nampak baik luaran.

6. Mengajar agar peka dengan sensitiviti orang lain. Cikgu pernah ingatkan kami bahawa bila ramai, kita akan berseronok sakan dan riuh tanpa mempedulikan orang sekeliling. Cikgu ingatkan kami agar mengubahnya supaya lebih sensitif. Misalnya di dalam grup WhatsApp kejiranan, bila ada jiran tawarkan untuk sedekah buku, tak perlulah awak berebut selitkan hal-hal lain pada waktu yang sama.

7. Mengajar erti sebenar perjuangan. Dan mengapa sebagai pejuang kami tidak perlu ada sesalan atau kekecewaan. Pada 1998, ketika kemuncak peperangan, kami berada di belakang teraju hinggakan turut sama menerima badai kecaman dan tikaman. Kini 20 tahun kemudian, teraju itu pula di pihak lawan. Cikgu juga beritahu pejuang sebenar akan terima hakikat ini dengan terhormat dan tidak sesekali akan melompat.

8. Mengajar bila kalah, berundurlah tapi bukan terus mati. Sebaliknya cikgu ajar agar kami bermuhasabah. Kaji di mana punca kalah. Akui di mana yang salah. Hanya dengan kaedah itu, baharulah pasukan boleh dibina semula untuk bersedia bagi pertempuran di masa hadapan. Itu pun jika ditemukan teraju baharu yang gagah perkasa, bukan handal mencari helah semata-mata.

9. Jangan bakar kelambu. Pada mulanya, ramai antara kami tidak faham apa makna kelambu. Maklumlah semua orang bandar. Penyaman udara itu semua tahu. Kelambu? Jadi setelah ditunjukkan oleh cikgu, baharulah kami memahami apa itu kelambu. Ia bertujuan menghalang nyamuk masuk masa kita tidur. Jadi bila ada juga nyamuk masuk dan menggigit anda, lalu anda marah hingga membakar kelambu. Setelah kelambu dibakar, masalah nyamuk tidak selesai pun.

10. Kesetiaan Hang Tuah dan Hang Jebat. Dahulunya, setiap daripada kita dikhayalkan dengan erti makna kesetiaan hamba terhadap tuannya, sehinggakan Tuah rela membunuh Jebat yang pada asalnya menuntut bela atas `kematian’ Tuah. Ternyata pada era digital ini, kisah setia Hang Tuah itu hanya cerita purbakala yang tidak relevan lagi. Bila anda jatuh, tiada siapa datang membela. Bila anda tewas, ramai yang menjauhkan diri seolah-olah anda ada penyakit SARS.

11. Mengajar mengenai berundur secara terhormat. Cikgu mendidik mengenai kewajaran. Bila seseorang perlu berundur, jangan ditangguh. Lakukannya dengan terhormat. Berundurlah. Sementara berundur itu, susunlah strategi dan binalah semula kekuatan. Dan kemudian bangkitlah. Terima kasih cikgu atas semua pesanan selama ini.

Sekian, salam hormat.

Yang benar,

___________________________________

LABU LABI