Jelasnya, semangat ahli Wanita UMNO yang selama ini digelar sebagai tunjang parti perlu dipulihkan, dan ditambah baik demi kelangsungan parti.
Malah hubungan sesama mereka mesti juga ditaut kembali supaya UMNO mempunyai jentera yang cukup ampuh bagi berdepan dan seterusnya memenangi pilihan raya umum lima tahun akan datang.
Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan jurugambar, AIZZUL A MAJID , Dr. Noraini menambah, ahli Wanita UMNO dilihat perlu sentiasa berada dalam semangat untuk ‘berperang’ sesuai dengan peranan UMNO ketika ini sebagai parti pembangkang yang akan membawa kepentingan rakyat dalam setiap keputusan kerajaan.

 

MINGGUAN: Tahniah Datuk kerana dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO yang baharu. Apakah tindakan Wanita UMNO selepas ini terutama bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan sudah tentu juga kepada UMNO?

DR. NORAINI: Saya berterima kasih kepada semua perwakilan Wanita UMNO yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi ketua mereka. Adat setiap pertandingan, ada yang menang ada yang kalah, yang menang tidak menang semua dan yang kalah bukan kalah semua.

Jadi ini masa untuk ahli Wanita UMNO bertaut kembali dan fokus untuk masa hadapan. Kita tidak boleh lagi melihat perkara yang lepas dan kita perlu bersama-sama semula menuju pilihan raya akan datang.

Cabaran UMNO selepas ini amat sukar, apatah lagi BN kini bukan lagi sebuah parti yang membentuk kerajaan. Menambah kesukaran tentu juga bagi menangani persepsi rakyat terhadap BN dan UMNO.

Apa yang saya lihat ketika ini, pemimpin parti termasuk Wanita UMNO perlu sentiasa berjumpa rakyat di akar umbi. Wanita UMNO mempunyai jentera yang paling kuat dan paling rapat dengan akar umbi jadi mereka inilah yang akan menjadi mata, telinga dan suara rakyat serta jadi penghubung kepada pemimpin dan UMNO itu sendiri. Itu adalah peranan Wanita UMNO selepas ini.

Saya rasa ahli UMNO di peringkat akar umbi memahami dan sedar apa yang telah berlaku pada hari ini dan perlu kita sentiasa berdamping dengan mereka, juga terangkan apa sebenarnya yang perlu dihadapi mereka, memang susah kerana sudah lama sebagai kerajaan sebelum ini.

Bagaimana dengan moral ahli-ahli dan jentera Wanita UMNO terutama di peringkat akar umbi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Pemilihan UMNO baru-baru ini?

DR. NORAINI: Saya tidak merasakan moral jentera Wanita UMNO di peringkat rendah namun saya akui rasa kecewa dalam kalangan mereka itu ada. Kita tidak nafikan pasti ada perasaan sedih, kecewa kerana selepas bekerja kuat tetapi rakyat tidak mahu bersama kita.

Tetapi itu tidak sesekali menyebabkan untuk Wanita UMNO rasa bahawa ini adalah masa untuk berehat. Tidak, kerana saya lihat mereka amat bersemangat dan tidak sabar untuk bekerja lebih kuat.

UMNO sudah jadi pembangkang dan pada pilihan raya umum akan datang mesti kita mahu menang semula. Semangat itu jangan dipertikaikan dan tetap membara dan sentiasa ada dalam kalangan ahli Wanita UMNO. Kesetiaan Wanita UMNO kepada parti jangan dipersoalkan.

Bagaimana pula dengan perancangan Wanita UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang?

DR. NORAINI: Perancangan dan gerak kerja untuk menghadapi pilihan raya juga perlu, legasinya sudah tersedia namun perlu ditambah baik berdasarkan keadaan semasa sekarang. Cabaran dahulu tidak sama dengan hari ini, agak berbeza.

Dulu tiada Internet, Twitter dan Facebook, sekarang ada dan teknologi media sosial inilah salah satu cabaran utama kita. Perlu diakui, antara punca kekalahan BN dalam pilihan raya umum lalu adalah media sosial dan itu yang perlu kita tangani. Kita tidak boleh jadikan perkara itu menjadi penyebab untuk kita kalah.

Bagi berhadapan dengan persepsi dan media sosial, gerak kerja Wanita UMNO perlu diperbaiki dan tidak boleh secara tradisional dan konvensional, kita kena fikirkan cara lain dan perlu dibincangkan secara terperinci dalam pasukan Wanita UMNO.

Perbincangan ini akan digerakkan dari negeri ke negeri kerana saya percaya apabila kita berbincang dan dilakukan secara tidak formal, ia dilihat lebih diterima akar umbi. Saya juga semasa memimpin Puteri UMNO, saya pergi ke seluruh bahagian UMNO untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya dapat berjumpa pemimpin UMNO di bawah. Mungkin perkara yang sama boleh diaplikasikan walaupun situasi yang berbeza.

Wanita UMNO walau bagaimanapun tetap bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum walaupun dalam keadaan BN dan UMNO sebagai pembangkang.

Sehubungan itu, saya merasakan kita perlu sentiasa berada dalam situasi ‘perang’. Wanita UMNO telah aktifkan keinginan berperang itu kerana kita tidak boleh lagi hanya menunggu.

Apa juga isu yang dibangkitkan oleh kerajaan, kita perlu teliti, jika tidak menyebelahi rakyat, kita kena persoalkan dan itulah tugas kita sebagai tulang belakang UMNO.

Selain UMNO, turut terkesan dengan kekalahan semasa PRU-14 sudah tentu parti-parti komponen BN yang lain. Gabungan parti dalam BN kini hanya tinggal tiga daripada 14 parti sebelum ini. Apakah pula langkah yang akan diambil Wanita UMNO bagi mengukuhkan parti bersama MCA dan MIC ?

DR. NORAINI: Sebagai sayap parti, Wanita UMNO akan sentiasa menjaga dan mengekalkan hubungan dengan parti komponen lain supaya lebih akrab dan baik. Malah sebelum ini walaupun Gerakan telah memilih untuk keluar daripada BN, tapi itu tidak menghalang mereka untuk bersama-sama dengan kita dalam banyak majlis. Mungkin hala tuju lain tetapi persahabatan tetap kekal dan kuat.

Tiada masalah timbul dari segi hubungan Wanita UMNO dengan wanita-wanita parti komponen yang lain. Kami menunggu hala tuju BN itu sendiri dan bagaimana untuk memperkuatkan lagi kedudukan BN. Apa yang kami harapkan, apa sahaja keputusan yang dibuat selepas ini akan dilaksanakan bersama-sama parti komponen yang lain.

UMNO telah memilih barisan kepemimpinan parti. Bagaimana pandangan Datuk dengan pasukan baharu UMNO kali ini?

DR. NORAINI: Alhamdulillah barisan kepemimpinan UMNO hari ini telah dipilih dan yang memilihnya adalah dalam kalangan perwakilan dan ahli UMNO sendiri. Kami menerima baik dan mengucapkan tahniah kepada Presiden dan Timbalan Presiden baharu serta setiap ahli Majlis Tertinggi.

Saya melihat kepemimpinan baharu UMNO serta mereka yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan baru-baru ini adalah ikhlas untuk bekerja memulihkan kembali BN.

Apabila mereka menawarkan diri untuk bertanding dalam keadan BN bukan kerajaan adalah amat dihargai. Saya yakin pasukan baharu yang dibentuk akan berusaha untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada BN, saya yakin mereka boleh buat.

Apakah pesanan dan harapan Datuk kepada ahli UMNO khususnya ahli wanita supaya UMNO dapat kembali bangkit selepas ini?

DR. NORAINI: Kesetiaan Wanita UMNO kepada parti adalah amat saya hargai dan kerana itulah saya yakin mereka akan terus bersama untuk membantu parti bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.

UMNO perlu bangkit semula oleh itu kita tidak boleh nak bersedih dan hanya menyalahkan orang lain. Kalau kita terus menuding jari, kita tidak akan ke hadapan. Sekarang ini kita perlu akui kekalahan kita.

UMNO telah melalui pemilihan partinya dan keputusan telah diketahui. Kini adalah waktu untuk ahli kembali ke dalam satu barisan dan menunggu arahan pemimpin parti yang akan mengetuai BN bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Pemilihan UMNO telah dilalui dan ahli UMNO mesti akur dengan keputusan yang ada. Kepentingan parti mesti diutamakan dan mari bersama-sama membaik pulih parti. UMNO boleh bangkit kerana inilah satu-satunya parti terbaik untuk orang Melayu.