Shahrizat Abdul Jalil

“Soal dugaan sama ada besar atau kecil, itu pastinya kita akan hadapi, tidak boleh lari. UMNO wujud sudah berdekad lamanya, keteguhan UMNO untuk memayungi agama, bangsa dan negara menjadikan Wanita UMNO terus bertekad menjadi tulang belakang mempertahankan parti,” kata ketuanya, TAN SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL kepada wartawan Utusan Malaysia, MUZDALIFAH MUSTAPHA, baru-baru ini.

TAHUN ini UMNO merancang mengadakan sambutan besar-besaran sempena ulang tahun parti yang ke-71, pada pandangan Tan Sri apakah signifikan sambutan kali ini?

SHAHRIZAT: Alhamdulillah, berkat doa dan perjuangan lebih kurang 3.5 juta ahli UMNO di seluruh negara, UMNO menjangkau umur 71 tahun pada 11 Mei ini. Pada saya, sambutan ulang tahun kelahiran UMNO yang telah disusun pada kali ini amat bermakna kerana ia bukan semata-mata meraikan angka tetapi sebenarnya menyampaikan semangat lebih tujuh dekad UMNO memperjuangkan orang Me­layu dan bumiputera serta me­raikan penyatuan masyarakat maj­muk dalam negara ini.

70 tahun UMNO didukung taat setia ahli-ahli di peringkat akar umbi sehingga kukuh dan tetap teguh memayungi keperluan rakyat, ma­ka memang bersesuaian jika kita bersama-sama meraikan sambut­an kali ini dengan rasa kesyu­kuran yang mendalam.

Selain itu, Wanita UMNO juga menjangkau umur 70 tahun sejak ditubuhkan pada 1947. Alhamdulillah, Wanita UMNO juga semakin utuh bersama kepemimpin­an parti memastikan tugas sebagai tulang belakang UMNO dilaksana dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah.

Pengiktirafan sebagai tulang belakang parti yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 serta standing ovation kepada seluruh ahli Pergerakan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan terus menjadi pembakar semangat 1.3 juta ahli Wanita UMNO untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan, insya-Allah.

Sejak pilihan raya umum 2008, ramai berpendapat penguasaan atau cengkaman UMNO ke atas orang Melayu semakin merosot, adakah Tan Sri bersetuju dengan pandangan ini?

Di bawah kepemimpinan Pre­siden, kita dapat merasakan sema­ngat dan sokongan orang Melayu telah kembali dan semakin mekar bersama UMNO. Saya melihat trend sokongan orang Melayu kepada mana-mana parti politik sering berdasarkan prestasi pemimpin dalam parti tersebut dan juga kestabilan serta kekuatan organisasi itu.

Menelusuri jalan perjuangan berdekad lamanya, pastilah sesu­atu parti itu akan diduga cabaran dan diacah peluang yang memerlukan pertimbangan yang sepatutnya. Alhamdulillah, selama le­bih 70 tahun, UMNO didatangkan dengan pemimpin-pemimpin besar yang sesuai kebijaksanaannya untuk menangani cabaran pada zaman yang dipimpin.

Saya percaya, inilah yang menjadi faktor sokongan orang Melayu kepada UMNO selama ini. Saya yakin, sokongan ini didorong oleh rasa percaya selepas setiap janji ditepati dan setiap kata dikota oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang membuktikan perjuangan UMNO kekal di atas landasan demi agama, bangsa dan negara. Insya-Allah, sokongan orang Melayu akan terus menjadi tunggak kekuatan UMNO untuk berpuluh tahun lagi.

Walaupun berusia 71 tahun dan jasanya amat besar kepada orang Melayu dan negara namun UMNO dilihat sukar untuk mendapat tempat di hati generasi muda, apa komen Tan Sri?

Generasi muda hari ini kian berminat dan memberi sokong­an kepada UMNO apatah lagi dengan adanya Transformasi Nasional 2015 (TN50). Ini satu lagi transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri khususnya untuk golongan muda. UMNO telah membuktikan kemampuannya menghadapi pelbagai cabaran baik yang besar mahupun yang kecil. Setiap ge­nerasi yang mewarisi UMNO hadir dengan keperluan, kemahuan, idea dan cabaran yang tersendiri.

UMNO mampu terus mendu­kung agenda Melayu dan bumiputera merentasi sempadan umur kerana UMNO sentiasa berani ber­ubah menyesuaikan diri untuk menjadi lebih baik.

Saya melihat UMNO yang di­pimpin oleh Perdana Menteri hari ini sentiasa mendengar dan merasai denyut nadi rakyat merangkumi semua lapisan umur. Berdasarkan faktor ini, saya yakin UMNO akan tetap menjadi parti pilihan orang Melayu dan bumiputera, tua dan muda dan untuk berpuluh tahun lagi.

Apakah yang boleh meyakinkan orang Melayu bahawa apapun berlaku UMNO adalah parti keramat orang Melayu?

UMNO parti keramat kerana pemimpin dan ahlinya adalah ahli yang setia, taat dan percaya kepada perjuangan bangsa. 71 tahun telah berlalu dari hari pertama UMNO diasaskan. Selama itu jugalah UMNO telah membuktikan agenda Melayu dan bumiputera berjaya diperjuang dan dipertahankan. UMNO kukuh sejak dulu hingga kini kerana UMNO tidak pernah tergelincir daripada perjuangan yang telah diasaskan.

Lihat sahaja keadaan parti-parti serpihan UMNO yang wujud kerana memperjuangkan agenda politik individu. Mereka gagal mencapai tahap kestabilan dan kematangan se­perti dimiliki UMNO apatah lagi untuk bertahan membela keperluan rakyat.

Apakah pesanan Tan Sri kepada pemimpin dan ahli UMNO sempena ulang tahun ke-71 UMNO dan dalam berhadapan PRU-14?

Ke mana-mana saya pergi, saya selalu ingatkan semua terutama Wanita UMNO bahawa untuk menang pilihan raya, dua perkara mesti berlaku. Pertama, kita mesti mewakili parti atau kerajaan yang dipercayai dan menjadi pilihan rakyat. Dalam konteks ini, keputusan pilihan raya yang lalu telah membuktikan Barisan Nasional (BN) satu-satunya parti yang benar-benar telah mendapat kepercayaan rakyat.

Keduanya, parti itu mestilah mempunyai jentera pilihan raya yang berfokus, bersistem, berdisiplin dan komited untuk memenangkan parti. Alhamdulillah, Wanita UMNO melalui Jalinan Rakyat (JR) telah menjadi jentera utama membantu kemenangan BN. Wanita sentiasa menjadi mata dan telinga di antara rakyat dan kerajaan untuk memastikan keperluan rakyat diberi perhatian serta pada masa sama menyampaikan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Terbaharu, pada 14 April yang lalu, Presiden UMNO telah melancarkan Jalinan Rakyat Plus (JRPlus) yang akan mengintegrasikan kekuatan jentera Pemuda, Puteri, Parti-parti Komponen Barisan Nasional, NGO-NGO malah orang perseorangan untuk membantu BN memperkuatkan gerak kerja untuk PRU-14 nanti.

Kepada semua pemimpin dan ahli UMNO, marilah kita kuatkan barisan hadapan parti, bersama-sama Pre­siden UMNO dan barisan kepim­pinan tertinggi UMNO, tetapkan sasaran untuk kemenang­an dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU-14. Sempena ulang tahun kelahiran UMNO ke-71 ini, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas keberkatan yang dicurahkan kepada UMNO dan saya berdoa UMNO terus diberi barakah, kekuatan dan kesempatan untuk terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara dulu, kini dan se­lamanya, insya-Allah.