Dari raut dan percakapan wanita tersebut menggunakan dialek salah sebuah negeri di Pantai Timur serta me­ngenakan tudung, jelas sekali dia itu seorang Melayu Islam. Tanpa segan silu, dia turut menceritakan hal-hal rumah tangganya sendiri sehingga mengaitkan suaminya dalam ‘prestasi’ tenaga batin semata-mata mahu melariskan produk jualannya.

Sememangnya tidak salah untuk menjadi usahawan lebih-lebih lagi wanita demi menambah pendapatan. Agama Islam turut menganjurkan umatnya terlibat dalam perniagaan. Isteri Rasulullah SAW sendiri iaitu Siti Khadijah Al-Khuwailid juga merupakan ahli perniagaan.

Sebelum ini, sektor perniagaan banyak dikuasai oleh masyarakat Cina. Namun, berikutan perkembangan teknologi dan trend pembelian dan penjualan menerusi online, sudah ramai masyarakat Melayu berminat untuk terlibat dalam perniagaan apabila melihat ramai peniaga online sudah berjaya dan memperoleh pendapatan lumayan.

Walau bagaimanapun, amalan jual beli terkini itu sudah tentunya memberikan persaingan antara peniaga yang menjual produk sama. Oleh itu, untuk menarik minat pembeli, para peniaga akan menggunakan pelbagai cara kreatif supaya produk mereka dikenali ramai. Cekmek Molek memuji usaha peniaga-peniaga seperti itu kerana itulah strategi yang digunakan para usahawan berjaya menaikkan jenama masing-masing. Mereka sanggup melabur duit dalam soal pemasaran kerana pulangannya berbaloi.

Namun, dalam keghairahan mencari idea pemasaran kreatif, ada dalam kalangan peniaga yang melanggar batas-batas adab Melayu. Sama ada sedar atau tidak, perbuatan mereka itu turut menyalahi hukum Islam. Ada juga sanggup memalukan diri sendiri untuk tujuan itu. Walaupun dikecam para netizen selain mengundang campur tangan golongan agama menegur kelakuan seumpama itu, mereka sekadar memekakkan telinga.

Berbalik kepada rakaman video penjual wanita tadi. Mungkin beliau tidak tahu atau buat-buat tidak tahu bahawa perbuatan menceritakan hal rumah tangga sehingga menyentuh kelemahan suami sendiri adalah dilarang oleh Islam. Cekmek Molek teringat kata-kata pendakwah, Ustaz Azhar Idrus bahawa perbuatan itu haram walaupun pasangan itu telah pun bercerai. Sekalipun untuk melariskan produk jualannya, ajaran Islam menetapkan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Sejak akhir-akhir ini kita lihat segelintir wanita tidak ada lagi perasaan malu lebih-lebih lagi dalam dunia media sosial termasuk bab promosi perniagaan. Wanita juga se­ring dilihat sebagai sumber pelaris jualan. Perkara itu sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita, malah tidak dianggap satu kesalahan.

Kadang-kadang mereka sengaja melakukan sesuatu yang buruk dan ‘rela’ dikutuk orang ramai kerana secara tidak langsung produk mereka dikenali hasil tular masyarakat. Biasalah, senario masyarakat kita ini lebih suka menyebarkan cerita-cerita buruk berbanding berkongsi hal-hal kebaikan. Mungkin itulah strategi pemasaran mereka. Tidak sampai lima minit muat naik video di media-media sosial, berduyun-duyun masuk pesanan pembelian produk mereka. Bertambah ghairahlah mereka mencipta pelbagai lagi video seumpama itu. Soal halal haram tolak ke tepi sahaja. Bila ditegur, dianggap pula ada unsur hasad dengki selain melabelkan pihak terbabit tidak mahu melihat Melayu maju dalam perniagaan.

Apapun, Cekmek Molek tidak mahulah terlalu menyentuh soal agama. Serahkan kepada mereka yang arif sahaja. Namun, sebagai wanita, Cekmek Molek amat sedih jika wanita dilihat tidak lagi ada perasaan malu. Sedangkan wanitalah perhiasan terindah di dunia ini dan keperibadian wanita amat tinggi nilainya. Jadi, janganlah rendahkan martabat itu semata-mata mahu mengejar kekayaan.