Walaupun negara kita masih tidak ramai kaum wanita khasnya masyarakat Melayu yang membuat pelaburan dan perdagangan saham sebagai satu daripada punca mata pencarian, tidak dinafikan penglibatan kaum wanita di dalam pasaran saham semakin ­bertambah.

Ini berdasarkan ruangan Cikgu Saham di media sosial Facebook yang mendapati semakin ba­nyak komen atau diskusi membabitkan wanita. Berban­ding pada tahun 2016, kebanyakan yang menyertai diskusi saham terdiri daripada kaum lelaki.

Walau bagaimana, penca­pai­an dari segi prestasi pembelajaran atau prestasi kejayaan dalam meneruskan aktiviti jual beli saham secara agresif dan berpanjangan masih kekal pada kaum lelaki.

Dengan kata lain, kebanyakan kaum wanita tidak selari dengan kaum lelaki dalam mengekalkan momentum kefahaman ilmu pelaburan serta berjaya menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti rutin.

Banyak kelebihan atau manfaat bagi orang yang berjaya menguasai bidang ini kerana sekiranya seseorang itu dapat menguasai teknik jual beli dengan baik, maka mudahlah ia menjana pendapatan tanpa mengira masa. Di antaranya:

Membantu ekonomi diri dan keluarga.

Dengan menguasai teknik mengenal pasti kaunter yang berpotensi naik setiap hari, seseorang itu dapat meningkatkan pendapatan dan menaikkan taraf ekonomi diri dan keluarga.

Mereka akan kurang mengharapkan bantuan orang lain sekiranya menghadapi masalah kewangan. Aktiviti beli jual saham ini boleh dilakukan setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan, tidak mengira masa.

Para pelabur yang berpengalaman seterusnya boleh menyampaikan ilmu pelaburan saham kepada pasangan dan anak-anak.

Sebagai yang sedia maklum, bidang pelaburan merupakan salah satu kursus yang terdapat di universiti. Sudah tentu ia memberi lebih kefahaman kepada pelajar yang mengambil jurusan pelaburan. Ia adalah satu bonus kepada pelajar sekiranya mereka mendapat lebih maklumat daripada ibu bapa dan ini memudahkan untuk menceburi bidang pelaburan apabila mencapai umur layak melabur.

Melabur saham tidak memerlukan kelulusan akademik atau sijil tamat sekolah.

Syarat layak membuka akaun CDS ialah telah mencapai umur 18 tahun. Suri rumah atau pesara yang tidak bekerja juga boleh membuka akaun urus niaga saham dengan menyertakan dokumen seperti salinan kad pe­ngenalan, salinan penyata bank serta pembayaran sebanyak RM10.60 sebagai caj membuka akaun CDS.

Kaum wanita yang mempunyai pengetahuan tentang pelaburan dan perdagangan saham dapat meneruskan kehidupan dengan tenteram sekiranya berlaku hal-hal seperti kematian suami atau perceraian.

Justeru, mereka tidaklah merasa tertekan kerana hilang tempat bergantung lebih-lebih lagi para isteri yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Aktiviti pelaburan dan perdagangan saham ini merupakan satu bentuk aktiviti yang tidak melibatkan orang ramai.

Pedagang saham hanya berdepan dengan komputer atau telefon bimbit dan berurusan dengan pihak broker atau bank pelaburan dalam hal-hal ter­tentu sahaja. Tidak banyak kerenah dalam bidang ini jika diban­dingkan dengan aktiviti lain yang terpaksa berdepan dengan orang ramai.

Mempunyai masa yang fleksibel.

Seseorang pelabur dan pedagang saham mempunyai jadual waktu sendiri untuk membuat pesanan beli jual saham.

Aktiviti perdagangan saham juga tidak memerlukan seseorang itu memberi tumpuan sepanjang masa mengadap skrin untuk memantau harga turun naik.

Maka suri rumah tidak merasa satu bebanan sekiranya melibatkan diri dalam pasaran saham.

Sekiranya seseorang pedagang saham merasakan ada hari-hari yang tidak sesuai untuk membuat beli jual saham, mereka boleh berhenti seketika lebih-lebih lagi sewaktu pasaran lemah atau jatuh berpanjangan. Mereka hanya memantau sekali-sekala sahaja untuk mengintai peluang yang ada semasa fasa kejatuhan pasaran.

Saham syarikat tersenarai yang dibeli boleh diwarisi.

Ini bermakna, pelabur dan pedagang saham boleh memindahkan saham-saham kepada waris yang berhak iaitu waris terdekat mengikut syarat pemindahan saham yang termaktub dalam perundangan Bursa Malaysia.

Boleh mendapatkan semula modal pelaburan dengan cepat dan mudah.

Pelabur dan pedagang saham yang ingin mendapatkan tunai boleh menjual saham pada bila-bila masa. Bayaran dalam bentuk cek akan dikeluarkan oleh pihak broker atas nama peme­gang akaun urus niaga saham.

Seminar pendidikan saham akan diadakan di negeri Perak dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 05-2495386 manakala untuk di Bangi dan Shah Alam boleh menghubungi 013-3899162 atau 013-3225274.