Sekiranya ada hanya setakat pembabitan secara tidak langsung iaitu dari segi sokongan serta bantuan perubatan kepada anggota-anggota yang tercedera. Tidak lebih daripada itu. Mereka bukan berada di barisan hadapan ketika operasi. Sebab itu, dalam kumpulan militan al-Qaeda, semua pengebom bunuh diri hanya lelaki.

Berbanding dengan gerakan pengganas Daesh, kumpulan mi­litan tersebut yang diketuai oleh Abu Bakr al-Baghdadi, berjaya merekrut beberapa orang wanita dan kemudian dieksploitasi untuk menjadi pengebom bunuh diri.

Sebagai contoh pada awal bulan ini, pihak Daesh telah mengarahkan dua pengebom bunuh diri wanita untuk menyerang pasukan tentera kerajaan Iraq dalam satu kejadian di Mosul. ­Akibatnya seorang askar terbunuh dan mencederakan beberapa yang lain. Sebelum serangan kedua-dua pengebom bunuh diri wanita itu berada dalam kalangan sekumpulan orang awam.

Mengulas kejadian itu seorang askar kerajaan Iraq, Sarjan Ali Abdullah Hussein memberitahu Associated Press seperti mana di­siarkan oleh New York Post (dalam talian) bertarikh 3 Julai lalu, penggunaan wanita sebagai pengebom bunuh diri dilihat sebagai taktik terbaharu oleh kumpulan militan.

“Mereka muncul dari ruang bawah tanah (bangunan) dan meletupkan diri,” kata Ali Abdullah dalam temu bual. Begitu juga keberanian seorang wanita yang sanggup meletupkan dirinya bersama bayinya berhampiran dengan kumpulan tentera Iraq dalam satu kejadian pada 9 Julai lalu di negara tersebut.

Berbeza dengan lelaki, tindakan berani wanita pengebom bunuh diri ini sememangnya sukar dihidu oleh pihak berkuasa apatah lagi mereka ini sedang membawa anak atau mengan­dung. Ini memudahkan lagi mereka meletupkan diri seperti mana yang telah diarahkan oleh komander militan Daesh.

Lebih membimbangkan eksploitasi ini turut melibatkan golongan wanita di rantau ini iaitu dengan tertangkapnya seorang wanita Indonesia yang bersedia menjadi pengebom bunuh diri tahun lalu. Ini menunjukkan doktrin Daesh itu benar-benar berkesan.

Dalam konteks Malaysia pula, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Wan Fariza Alyati Wan Zakaria dalam siri Wacana Tun Fatimah Hashim bertajuk Daesh, Jihad dan Wa­nita: Sensasi Dan Manipulasi Atas Nama Agama tidak menafikan terdapat golongan wanita di negara ini terpengaruh dengan gerakan Daesh.

Ketika berkongsi dengan para peserta dalam siri wacana anjuran oleh Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim itu di kampus induk UKM, kelmarin, Wan Fariza Alyati berkata, secara umumnya pembabitan golongan wanita negara ini dalam gerakan Daesh berpunca daripada pengaruh suami yang turut terlibat dalam gerakan militan ter­sebut.

Bagaimanapun beliau berkata, kes melibatkan bekas pe­lajar peringkat sarjana sebuah universiti awam, Siti Noor Aishah Atam, 30 agak berbeza kerana wa­nita itu terpengaruh dengan gerakan militan berkenaan secara langsung dan bukannya melalui sesiapa. Wanita ini dipercayai berhubung secara terus dengan kumpulan militan Daesh yang berpangkalan di Iraq dan Syria.

Untuk rekod wanita ini telah dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memiliki buku berunsur perbuatan keganasan, pada Mac 2016. Yang pasti, kata Wan Fariza Al­yati, golongan wanita di Malaysia tetap terdedah dengan risiko untuk dipengaruhi sama ada secara langsung oleh pihak militan atau pasangan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk golongan ibu bapa sentiasa peka tentang keadaan anak-anak mereka sama ada lelaki mahupun perempuan supaya tidak terpengaruh dengan gerakan militan berkenaan.

“Paling menakutkan, penglibatan anak-anak perempuan ini dalam jihad nikah semata-mata mahu menebus dosa silam. Ada juga wanita yang bercita-cita mati syahid kerana mahu menebus dosa-dosa yang telah lalu. Mereka mahukan balasan syurga. Tetapi malangnya konsep mati syahid yang mereka fahami amat bertentangan dengan hukum syarak sebenar,” ujarnya.

Terdahulu beliau mengakui, penggunaan media sosial secara aktif oleh pengganas Daesh berjaya mempengaruhi dan sete­rusnya merekrut golongan muda sehingga ada yang sanggup ke Iraq dan Syria untuk berperang.

“Selain aktif dalam media sosial seperti aplikasi Facebook, Twitter dan Youtube pihak Daesh pada 5 Julai 2014 turut melancarkan majalah berbahasa Inggeris, Dabiq yang juga bertujuan menyampaikan propaganda mereka kepada masyarakat umum. Artikel-artikel dalam majalah ini banyak membi­carakan kaitan agama, pedang dan peluru,’’ katanya lagi.

Meskipun perbincangan dalam wacana ter­sebut hanya dua jam, banyak topik yang disentuh ter­utama berkaitan dengan pengaruh­nya terhadap golo­ngan wanita serta kebimbangan terhadap ancaman gerakan militan itu yang nampaknya tiada kesudahan meskipun pada satu hari nanti mereka akan tewas di Mosul dan Raqqa (Syria).

Lebih-lebih lagi dengan usaha Daesh yang dikatakan mahu memindahkan pusat operasi mereka ke Asia Tenggara dari Asia Barat. Peperangan antara pasukan ten­tera Filipina dengan militan Daesh di bandar Marawi, bulan lalu boleh dijadikan petunjuk ke arah itu.

Mahu tidak mahu semua pihak di negara ini perlu lebih berpe­ranan dalam menangani ancaman Daesh baik daripada pihak kerajaan sehingga ibu bapa. Jangan dibiarkan ancaman ini berlelua­sa kerana kelak negara kita juga yang akan hancur.