Cepat sahaja dia memberikan ulasan itu setelah membaca laporan akhbar ini, Jumaat lalu mengenai perbelanjaan kad kredit wanita yang meningkat dua kali ganda berbanding lelaki dan disokong pula dengan kenyataan bahawa walaupun banyak berbelanja, wanita tidak mempunyai masalah membayar kad kredit dan golongan lelaki paling banyak dirujuk dalam Program Pengurusan Kredit (DMP) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menurut laporan itu, perbelanjaan kad kredit wanita di Malaysia meningkat 129 peratus sejak 2011 berbanding lelaki yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 71 peratus bagi tempoh yang sama.

Perbelanjaan barangan runcit oleh wanita menyaksikan kenaikan 10 peratus manakala lelaki hanya berbelanja dua peratus lebih tinggi berbanding 2015. Sementara itu, perbelanjaan wanita bagi tujuan melancong dan beli-belah menunjukkan pertumbuhan ketara apabila terdapat peningkatan sebanyak 28 dan 13 peratus berbanding lelaki yang hanya merekodkan pertumbuhan 14 dan lima peratus bagi kategori sama.

Mengulas perkara itu lagi, rakan saya itu berkata, golongan wanita perlu dikawal atau mengawal perbelanjaan mereka. Kalau tidak dikawal betul-betul, perbelanjaan bagi yang sudah berkeluarga akan `kacau’ dan ini menyesakkan lagi kehidupan dalam keadaan harga barangan yang sentiasa naik dan ekonomi negara tidak menentu ini.

“Memanglah, suami ketua keluarga dan menjadi tanggungjawab mengeluarkan duit untuk perbelanjaan keluarga, tetapi si isteri `agak-agaklah’ bila berbelanja. Benda yang tidak perlu beli, tak payah beli. Kalau tak beli, bukan boleh mati pun,’’ katanya. Nampak marah betul dia. Mungkin dia salah seorang `mangsa keadaan’.

Menurut AKPK, sebanyak 65 peratus yang mempunyai masalah kewangan terdiri daripada lelaki. Golongan itu banyak menyertai DMP mungkin kerana mereka adalah ketua keluarga.

Hakikatnya, walaupun wanita sering dikaitkan dengan nafsu berbelanja yang besar, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan mereka yang berbelanja sebegitu mampu berbuat demikian. Ada wanita yang memang bergaji besar, tidak punya tanggungan atau yang belum berkahwin. Mereka mampu berbelanja mewah untuk penampilan diri dan sebagai ganjaran pada diri sendiri selepas penat bekerja.

Ada wanita yang gajinya lebih besar berbanding suaminya dan turut membantu dalam perbelanjaan keluarga tetapi pada masa sama, dia juga mahu membelanjakan wangnya itu untuk kegunaannya sendiri. Kadang-kadang inilah yang menyebabkan konflik apabila suami melihat isterinya seperti sudah terlebih berbelanja.

Pun begitu, walaupun mampu berbelanja besar, golongan wanita terutamanya perlu beringat. Orang kata, langit tidak selalu cerah. Kita pun tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku pada hari esok dan dalam suasana ekonomi yang tidak berapa elok berbelanja secara sederhana adalah yang terbaik.

Mungkin pada masa depan, duit yang berlebihan itu amat diperlukan untuk menanggung kos perubatan dan rawatan, kos pengajian tinggi anak-anak dan hal-hal kecemasan lain. Dalam dunia ini, walaupun dikatakan wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang.

Adakalanya juga, bila punya banyak wang, kita ­dihormati dan bila tidak punya wang, senang sahaja sesiapa pun mahu memperlekehkan kita.

Kata seorang rakan perempuan saya pula. Lelaki pun lebih kurang juga dalam berbelanja. Sama sahaja. Kalau ada duit lebih pun mereka akan menggunakan duit itu ­untuk hobi masing-masing.

“Jadi kenapa kita yang berbelanja, dia pula yang ­`panas’? Duit kita, bukan guna duit dia,’’ katanya.

Menurut rakan saya itu, suaminya mempunyai hobi mencantikkan kereta. Beribu-ribu duitnya sudah habis ke situ. Macam-macam aksesori kereta dipasangnya. Setiap bulan ada saja perubahan pada kereta berkenaan.

Lama-kelamaan, katanya, mungkin kereta itu boleh terbang. Yang itu hendak dikira macam mana? Bukan perlu pun. Kereta tak cantik pun, tak mati kan?”