Segalanya adalah manifestasi prinsip wala’ (setia) untuk mencapai dan mengisi kemerdekaan, berpaksikan kepada warga yang ‘sehati, sejiwa’. Tanpa pengorbanan dan kompromi atas prinsip wala’ kemerdekaan, Malaysia ti­dak mungkin berada di persada peta dunia. Tanggungjawab siapakah dalam memastikan wala’ ke­merdekaan ini tidak punah ma­lah dinaungi oleh institusi negara bangsa ini?

Wala’ kemerdekaan mengambil kira kedudukan agama Islam dan agama lain; keagungan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain; kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain; serta kedaulatan Raja-raja Melayu. Mempertahankan wala’ kemerdekaan adalah tanggungjawab yang bermula dari keluarga, diikuti sekolah dan guru­nya, universiti dan pensyarahnya, tempat pekerjaan awam dan swasta, media, rakan sebaya, agensi kerajaan, pemimpin yang akan menjadi idola orang ramai dan paling ­penting ke­sedaran dalam diri sendiri.

Apakah Malaysia kepada kita? Apakah pengertian di sebalik wala’ dan sirah riwayat negaraku Malaysia ini? Setiap tahun, ia menjadi jadual berkala dalam takwim kita. Adakah kemerdekaan sekadar menjadi ikutan tatkala sambutan Bulan Kemerdekaan atau wajar dijadikan peringatan berterusan tanpa mengira masa dan persekitarannya agar wala’ ini tidak dilanggar atau dicemari dengan radikalisme melangkaui tapak kesatuan negara bangsa.

Generasi prakolonial, kolonial dan pascakolonial walaupun ber­ha­dapan dengan persekitaran ber­beza, namun ada nilai yang ti­dak berubah sama sekali. Lambang keutuhan adalah pada kejujuran ke atas wala’ kemerdekaan yang masih dijunjung selama 60 tahun. Tanpa wala’ kemerdekaan, barangkali sirah kemerdekaan berusia pendek.

Wala’ ini membolehkan ­ma­­sing-masing mempamer nilai muafakat yang amat mendalam untuk mengimbangi persaingan yang kian mencabar. Nilai faham, hormat dan menerima antara satu sama lain ketika wala’ kemerdekaan lahir perlu sentiasa diinsafi. Barisan kepimpinan ­ketika itu hanya dahagakan satu iaitu menatang ‘muafakat’ supaya dapat mengharungi sebarang ancaman dan cabaran dengan mudah jika bersama bercirikan amalan perkongsian.

Gumpalan lipatan sirah sejarah Malaysia sudah beratus tahun sehingga mencapai kemerdekaan selepas zaman kolonialisme yang melihat kehadiran pejuang tempatan. Sumbangan mereka amat besar walau ramai masih mengatakan bahawa kita mendapat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Bagaimana dengan keringat Tok Janggut, Tok Bahaman, Tok Gajah, Dol Said, Naning, Rentap, Mat Salleh, Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela di zaman prakolonial. Tidakkah mereka pejuang yang membasahi bumi ini dengan pengorbanan yang tiada nilainya? Muafakat membolehkan perjua­ngan mereka dirasai dan dihargai.

Di zaman kolonial, hadir pemimpin seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan yang bersedia untuk mengetepikan kepentingan mereka tanpa menyoal siapa yang perlu berkorban dan berkompromi demi ibu pertiwi. Kewibawaan mereka terserlah malahan peninggalan mereka membolehkan model ke­pimpinan itu terus kekal relevan dan dijadikan sebagai contoh ikutan.

Kemerdekaan membolehkan Tanah Melayu ditadbir urus tanpa telunjuk penjajah. Kekebalan kebebasan diperoleh walau di peringkat awal masih wujud campur tangan untuk mengelak wujudnya keadaan tidak menentu. Dasar kepada kemerdekaan adalah semangat patriotik de­ngan penekanan kepada nilai-nilai dominan perwatakan jiwa Malaysia termasuk memperakui kedaulatan negara ini; bangga menjadi warga Malaysia, bersedia berkorban dan mempertahankan walau seinci tanah dari diceroboh serta menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara.

Walau demografi dan geografi berubah, nilai ini amat signifikan untuk kekal seadanya walau ada pihak cuba menyoal dan mengubah suai mengikut keselesaan masing-masing. Apa perlu pemahaman ke atas patriotisme diubah semata-mata generasi berubah sedangkan pendekatan merapati semangat ini memerlukan kaedah yang diurus secara mikro mengikut kumpulan sasar. Secara umumnya, generasi merdeka melihat, melalui dan memahami peritnya kehidupan di bawah penjajah sehingga menjejas kehidupan mereka dan ia difahami dengan nilai yang sama kerana masing-masing mempunyai persejarahan sendiri.

Generasi pasca-merdeka pula hanya kerana tidak melalui peristiwa tersebut tidak bermakna boleh abaikan nilai di sebalik ucapan patriotisme begitu sahaja. Kebebasan dan hak hari ini datang dari semangat patriotisme generasi merdeka. Walaupun generasi merdeka lebih cende­rung mengikat diri dengan sifat luaran terutama pengisian ke atas kemerdekaan, namun pengisian dalaman terutama jati diri tidak boleh dikompromi.

Jabatan Penerangan Malaysia di bawah pengurusan Ketua Pengarah, Datuk Ibrahim Abdul Rahman telah menyenaraikan ba­nyak aktiviti dan program setiap tahun dalam takwim mereka untuk menyemarakkan wala’ kemerdekaan.

Ini termasuk pelancaran sam­butan Bulan Kemerdekaan di Batu Pahat, Johor, Kembara Mer­deka ke seluruh pelosok negara, MyBuddies Run, pertan­dingan Pidato Negaraku, pertan­dingan pengisahan kemerdekaan dan bermacam lagi termasuk untuk meraikan Hari Malaysia. ­Kesemua pihak baik agensi kerajaan lain, pihak swasta dan institusi yang ada mempunyai peranan mereka dalam mendekati wala’ kemerdekaan.

Enam puluh tahun Malaysia telah melalui pelbagai wa­risan dan kini bersifat watan dan akhir­nya menzahirkan wawasan. Marilah kita terus pertahankan nilai wala’ sebagai asas kepada sirah kemerdekaan Malaysia yang bertunjangkan kepada muafakat agar sentiasa diberkati walau berhadapan dengan pelbagai cabaran namun dengan warisan kesinambungan kepimpinan, ia kekal aman, damai, bahagia dan sejahtera. Dirgahayu negaraku Malaysia: Sehati Sejiwa!

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN 
dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).