Persoalan yang timbul tentulah sama ada kempen ini wajar disokong ataupun tidak; serta adakah akan membawa kebaikan atau keburukan kepada negara bangsa secara keseluruhannya?

Beberapa bulan sebelum kempen tersebut dilancarkan lagi, Dr. Chandra ada menulis sebuah risalah ringkas dalam The Sun Daily bertarikh 27 September 2016. Daripada risalah itu, dapatlah ditelah bahawa intipati hujahnya ialah kononnya Perlembagaan yang ada pada hari ini tidak mengandungi beberapa nilai penting sejagat; sedangkan nilai-nilai seperti ‘perpaduan’, ‘masyarakat adil’, dan ‘kebebasan’ dapat ditemui dalam Rukun Negara. Justeru, kata Dr. Chandra, dalam keadaan masyarakat semakin dirundung perpecahan dan perbalahan mutakhir ini, adalah wajar agar nilai-nilai tersebut diserap ke dalam Perlembagaan.

Secara umumnya, tanpa pun dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara sememangnya telah dite­rima sebagai ideologi negara sejak dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1970, walaupun tahap penghayatannya barangkali senantiasa ada ruang untuk diperbaiki. Persoalan sama ada terdapat keperluan atau kewajaran untuk memasukkannya ke dalam Perlembagaan melalui proses pindaan, adalah isu berasingan yang memerlukan penelitian lebih rinci dan rapi, bagi mengelak keruwatan jangka panjang terhadap tradisi dan naratif keperlembagaan negara.

Harus diingat bahawa kedua-dua Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara mempunyai sejarah serta asbab yang berlainan lagi tersendiri atas perangkaan di antara kedua-duanya. Ini hendaklah dihayati, agar sebarang cadangan bagi merawat perpecahan dalam masyarakat pada hari ini, tidak nanti menjadi umpama usaha tikus membaiki labu — bukan sahaja perpaduan tidak dapat dicapai, perpecahan pula makin menjadi-jadi melalui polemik baharu yang timbul daripadanya.

Perlembagaan Persekutuan dirangka dengan aspirasi utama bagi mengembalikan kedaulatan raja-raja Me­layu, dan berlanjutan daripadanya, kedudukan Islam dan adat budaya Melayu sebagai teras identiti negara-bangsa yang dipayungi oleh raja-raja Melayu tadi, de­ngan diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong; apakala sebagai timbal balik bagi memperakui kedudukan ini, taraf kewarganegaraan diberikan di antara kaum secara adil saksama. Asbab ini jelas dapat dilihat daripada kerangka acuan — atau term of reference — yang menjadi rujukan oleh Suruhanjaya Reid ketika diamanahkan untuk membuat syor perangkaan Perlembagaan Persekutuan, seper­ti yang tertera dalam perenggan 3 laporan suruhanjaya tersebut.

Sedangkan Rukun Negara pula mempunyai sejarah perangkaannya berikutan tragedi berdarah, pergeseran di antara orang Melayu dan kaum Cina pada tanggal 13 Mei 1969. Lanjutan itu, Majlis Perundingan Negara ditubuhkan bagi merangka suatu dasar yang diharapkan dapat kembali menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Berasaskan kepada kajian dan dapatan bahawa punca kepada perpecahan pada ketika itu, selain jurang sosio­ekonomi di antara kaum, ialah juga disebabkan unsur komunis yang menolak ketuhanan, maka Kepercayaan Kepada Tuhan dimasukkan sebagai deklarasi pertama Rukun Negara, selepas mukadimah cita-cita bagi mencapai perpaduan, cara hidup demokratik, mencipta masyarakat adil, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak serta membina masyarakat progresif.

Justeru, tanpa menafikan tanggungjawab untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara sebagai ideologi negara oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negaranya, kita juga harus sedar bahawa istilah murni seperti ‘perpaduan’, ‘masyarakat adil’, dan ‘cara liberal’ yang dikatakan sarwajagat terkandung dalam Rukun Negara itu adalah nilai-nilai yang mujarad, yang ketika dirangka, diniatkan bahawa tafsirannya hendaklah diikat kepada tradisi dan adat budaya serta pandangan alam tempatan, demi mencapai perpaduan negara bangsa.

Apa yang menjadi kekhuatiran ialah sekiranya kemujaradan istilah-istilah murni tersebut kelak dijadikan oleh pihak-pihak dengan agenda tertentu, tanpa mengendahkan sejarah perangkaannya, sebagai ‘pintu belakang’ untuk meruntuhkan kerangka asas tatanegara berasaskan Perlembagaan yang telah diperakui selama 60 tahun kemerdekaan, dengan cara menyelinapmasukkan anasir-anasir asing ke dalam perundangan tertinggi negara, me­lalui istilah-istilah yang mujarad tadi. Dan ini termasuklah kemungkinannya memberikan kesan buruk terhadap ke­tinggian Islam sebagai agama Persekutuan, yang sebelum ini telah berulang kali ditekankan dalam pelbagai penghakiman penting, baik di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, mahupun Mahkamah Persekutuan.

Dengan yang demikian, demi kepentingan agama, bangsa dan negara, adalah lebih baik sekiranya Rukun Negara dipertingkatkan penghayatannya di tingkat dasar dan ideologi; tanpa perlu mengubah apa-apa yang te­lah termaktub dan diterima pakai dalam Perlembagaan Persekutuan untuk sekian lamanya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).