Begitulah soalan yang dikemukakan oleh Datuk Wahab, seorang sahabat lama, kepada saya pada pagi Ahad lalu. Beliau membaca berita pendedahan seorang Hakim Mahkamah Rayuan berhubung salah laku hakim.

Didorong rasa ingin tahu cerita sepenuhnya, sahabat saya itu meminta dihuraikan cerita di sebalik afidavit tersebut hingga timbul desakan agar kerajaan segera menubuhkan satu RCI.

Saya katakan kepada sahabat saya itu bahawa di awal cerita, seorang peguam (Mohamed Haniff Khatri Abdullah) telah mendedahkan berlakunya ‘gangguan’ (interference) kepada kes hasutan Karpal Singh di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pendedahan Haniff ini mendorong anak perempuan Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo (seorang peguam) membuat laporan polis mengenai gangguan itu dan seterusnya memfailkan satu saman pemula terhadap pucuk pimpinan badan kehakiman (Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum) kerana kegagalannya bertindak menangani salah laku berkenaan dan mempertahan integriti badan kehakiman negara.

Gangguan itu dikatakan melibatkan dua kes berasingan – iaitu satu kes jenayah (kes hasutan terhadap Karpal), dan satu kes sivil (kes pemelukan agama Islam anak-anak M. Indira Gandhi).

Dalam satu kenyataan akhbar pada November lalu, Malanjum menyatakan bahawa badan kehakiman telah menangguhkan siasatan mengenai kes hasutan Karpal kerana satu siasatan polis sedang dijalankan.

Selain itu, kes tersebut kini sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan. Beliau menambah, siasatan terhadap aduan salah laku hakim tidak boleh dijalankan kerana hakim berkenaan telah pun bersara.

AFIDAVIT MENGEJUTKAN

Mengikut prosedur biasa mahkamah, apabila suatu pihak (plaintif) memulakan kes sivil melalui saman pemula, dia dikehendaki membuktikan kesnya dengan memfailkan afidavit oleh mana-mana orang yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut.

Dalam kes ini, Sangeet bernasib baik telah mendapatkan satu afidavit setebal 65 muka oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer, difailkan di mahkamah pada Rabu, 13 Februari lalu.

Kandungan afidavit inilah yang mengejutkan banyak pihak kerana ternyata kini segala desas desus salah laku beberapa hakim pada masa lampau bukan satu tohmahan yang sengaja direka orang tetapi memang ada asasnya.

Dalam afidavitnya itu, Hamid Sultan mendedahkan beberapa kejadian salah laku oleh beberapa hakim semenjak beberapa tahun lalu. Antara salah laku itu adalah perbuatan membantu pihak-pihak tertentu menipu kerajaan melalui cara mewujud kontrak dengan kerajaan yang kemudian sengaja diingkari (punca berlaku pecah kontrak).

Ini menjadi alasan kukuh bagi pihak-pihak tersebut menuntut pampasan (ganti rugi kerana pecah kontrak) daripada kerajaan. Dalam bahasa mudah, ia adalah satu skim licik menipu kerajaan (scam) untuk mendapatkan bayaran (wang) secara salah.

Setelah berita afidavit Hamid Sultan ini menjadi tular, Mohamed Haniff mengakui bahawa ketika beliau mendedahkan berlakunya gangguan kepada perjalanan kes hasutan Karpal itu, sumber maklumat adalah Hamid Sultan. Mohamed Haniff menambah ada menemui hakim itu pada 20 Ogos 2018.

Saya ingatkan sahabat saya pada Ahad lalu bahawa ini bukan kali pertama kita dikejutkan dengan tuduhan salah laku dalam kalangan hakim di negara ini. Pada awal 1990-an dulu, seorang Hakim Mahkamah Tinggi, Syed Ahmad Idid, ada mengedarkan ‘surat layang’ menuduh salah laku Ketua Hakim Negara pada masa itu.

RCI

Ekoran pendedahan mengejutkan yang terkandung dalam afidavit Hamid Sultan itu, beberapa pihak telah menggesa kerajaan segera menubuhkan satu RCI supaya imej dan integriti badan kehakiman negara yang kini sudah tercalar, dapat dipulihkan semula.

Mengikut Ram Karpal Singh (seorang peguam dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor), “Hakim bukan Tuhan” sebaliknya mereka adalah ‘pegawai mahkamah’ (officers of the court) dan terikat dengan kod etika yang mesti sentiasa dipatuhi.

Namun seorang peguam, A. Srimurugan, berbeza pendapat. Katanya apa yang dikatakan oleh Hamid Sultan dalam afidavitnya itu tidak boleh dianggap semuanya betul. Malanjum mesti diberi peluang untuk menjawab dan membuktikan sebaliknya.

Tambahnya lagi, apa yang dikata Hamid Sultan dalam afidavit itu satu penghinaan mahkamah (contempt of court) dan Peguam Negara mestilah bertindak segera memula contempt proceedings terhadap hakim tersebut.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese turut menggesa kerajaan segera menubuhkan RCI kerana apabila ia ditubuhkan nanti, siasatan yang dilakukannya boleh diluaskan kepada kejadian salah laku lain dan tidak tertumpu hanya kepada apa dibangkitkan oleh Hamid Sultan dalam afidavitnya.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria menyeru satu siasatan menyeluruh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga berharap Peguam Negara dapat bertindak segera ke atas sesiapa sahaja apabila sudah ada bukti berbuat demikian. Seruan sama dibuat oleh Persatuan Patriot Kebangsaan.

Mengikut Mohd. Arshad Raji (presiden persatuan itu), RCI perlu ditubuhkan segera untuk menjalankan siasatan dan siapa yang terlibat dalam salah laku mesti didedahkan, sekali pun ia membawa aib kepada negara.

Pada 15 Februari lalu, SPRM menyatakan bahawa mereka akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Hamid Sultan sebelum menjalankan siasatan susulan.

Mengikut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, pihaknya setakat ini belum lagi membuka kertas siasatan mengenai afidavit tersebut.

Pada 16 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyatakan bahawa kerajaan bersedia menimbangkan semula pilihan termasuk cadangan penubuhan RCI.

Ini berhubung tindakan yang perlu diambil susulan pendedahan dalam afidavit hakim tersebut yang dianggap ‘amat serius’ kerana ia menjejaskan institusi kehakiman negara.

“Kita tidak akan meninggalkan mana-mana pihak dalam siasatan. Tidak akan ada penyembunyian penemuan salah laku,” tegasnya lagi.

Mengulas pendedahan Hamid Sultan ini dalam tulisannya yang disiarkan dalam portal Malaysiakini, peguam Gerard Lourdsamy bertanya, “Is our judiciary beyond redemption?” (Apakah badan kehakiman kita masih boleh diselamatkan?)

Hendaknya masih ada lagi hari esok yang cemerlang untuk mahkamah kita.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.