Kaji selidik itu diumumkan Oktober 2016 untuk menyelaraskan PSC dan ASEAN PSC, manakala PSC antara KLIA dan KLIA2 dirancang dilaksanakan bermula 1 Januari 2018, sekiranya diluluskan.

Menggunakan bahasa rakyat, mengkaji semula PSC ini ialah 'menaikkan caj yang kita sebagai pengguna harus bayar apabila menggunakan lapangan terbang’.

Pelaksanaan PSC itu akan menyaksikan caj yang dikenakan meningkat daripada RM50 kepada RM73 bagi penerbangan jarak jauh mulai tahun depan.

Mungkin ada kalangan anda yang tidak endahkan sebab jarang naik kapal terbang. Mungkin ada yang beranggapan Merrepak sibuk hal ini disebabkan kerap terbang ke sana sini. Samalah bila ada yang mengatakan kenaikan tol hanya menjejaskan penduduk bandar. Tidak tepat untuk anda mengomel sedemikian.

Yang berikut saya perturunkan rasional kedua-dua pihak iaitu Mavcom dengan pihak industri dan pengguna.

Mavcom mahu menaikkan 
 caj kerana:

PSC yang dikenakan di KLIA2 bagi destinasi antarabangsa di luar ASEAN adalah lebih rendah berbanding lapangan terbang lain di Malaysia.

Mahu mengelakkan penumpang di lapangan terbang yang lain di Malaysia daripada mendapat subsidi operasi di KLIA2 dan mengurangkan subsidi yang dibayar kerajaan.

Mahu bergerak ke arah metodologi penetapan lapangan terbang yang diterima di peringkat antarabangsa.

KLIA2 adalah setanding dengan KLIA berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari segi kemudahan dan lebih baik berbanding lapangan terbang sekunder di Malaysia.

Sedang membangunkan rangka kerja jangka panjang untuk menetapkan caj lapangan terbang dan pada masa akan datang mengkaji keperluan caj pendaratan dan meletak pesawat bersekali dengan PSC.

Hujah bantahan:

1 Tidak semua lapangan terbang dibina mengikut spesifikasi serupa atau menawarkan perkhidmatan setara, menyebabkan pendekatan 'satu saiz muat semua’. Contoh mudah ialah lapangan terbang Kuching dengan Subang atau Kota Bharu.

PSC atau cukai lapangan terbang disaran mengikut prinsip Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menggalakkan usaha merangka formula caj berasaskan kepada menanda aras tahap kemudahan dan perkhidmatan lapangan terbang; berhubung rapat dengan pengendali penerbangan bagi mencapai penyelesaian terbaik; perolehan bukan aeronautikal (seperti kedai runcit) hendaklah diambil kira bagi menampung kos dan justifikasi telus terhadap perubahan dalam sebarang caj.

3 Mengenakan caj serupa bagi tahap kemudahan dan perkhidmatan berbeza adalah tindakan diskriminasi kerana ia menjadikan lapangan terbang yang kurang kelengkapan sebagai terkebelakang.

Penggubal undang-undang wajar membangunkan mekanisme untuk memantau tujuan dan kegunaan kutipan cukai tambahan lapangan terbang ekoran pertambahan PSC.

KLIA yang mengendalikan syarikat penerbangan penuh dan KLIA2 bagi penerbangan tambang murah (LCC), memiliki kemudahan yang tidak sama dan disasarkan kepada pasaran berbeza. Oleh itu, kenaikan cukai lapangan terbang akan menjejaskan pertumbuhan penumpang LCC kerana trafik LCC sangat sensitif kepada perbezaan harga.

Untuk penumpang penerbangan penuh, cukai lapangan terbang membentuk 4 hingga 20 peratus keseluruhan jumlah tambang tiket. Bagi LCC, ia lebih besar iaitu 11 hingga 49 peratus.

7 Jika PSC menjadi tinggi dalam keseluruhan tambang, penumpang akan terjejas dengan pertambahan dalam PSC. Malah peningkatkan kecil dalam PSC sudah cukup menjejaskan permintaan.

Analisis sensitiviti juga menunjukkan pengurangan cukai lapangan terbang akan menggalakkan lebih ramai penumpang untuk mengembara.

Contoh berlaku pada tahun lalu menunjukkan selepas cukai lapangan terbang dinaikkan, permintaan menurun sebanyak 50 peratus.

10 Mavcom hendaklah mengkaji struktur kos dalam fi yang dikenakan ke atas syarikat penerbangan dan lapangan terbang dengan matlamat mengurangkan kos dan merangsang sektor penerbangan.

Hujah-hujah tersebut adalah daripada industri penerbangan yang dikumpul berdasarkan kenyataan yang disiarkan di dalam akhbar.

Setelah meneliti secara objektif isu ini dengan meneliti pendirian Mavcom dan hujah-hujah industri, saya merumuskan yang akan menerima kesan nyata ialah kita sebagai pengguna. Dan ini mendorong saya menolak cadangan Mavcom kerana ia membebankan pengguna.

Seandainya begitu penting untuk menyeragamkan harga, kenapa pula langkah 'menaikkan caj’ pula dipilih?

Mengapa tidak selaraskan caj KLIA dengan KLIA2 ke paras sama iaitu RM50? Ini tentunya membantu mengurangkan beban pengguna. Saya secara peribadi berulang-alik ke Kuching bukan kerana rindu makan mi kolok tetapi keperluan menziarah ibu bapa yang tua dan uzur. Saya tidak dapat memahami rasional Mavcom ini.

Ramai juga ahli perniagaan kecil dan sederhana, termasuk yang menjadi ejen produk wilayah yang bergantung kepada penerbangan murah untuk melaksanakan perniagaan mereka.

Alasan untuk menyamakan dengan standard cukai ASEAN juga bukan sesuatu yang penting untuk rakyat Malaysia. Biarlah caj kita murah tetapi bilangan yang keluar masuk lapangan terbang adalah tinggi. Kalau murah dapat menarik lebih ramai orang datang melancong ke Malaysia, apa salahnya? Itu menjana ekonomi, namanya.

Caj rendah juga selama ini menjadi kata kunci utama meyakinkan agensi pelancongan asing membawa pelanggan mereka mengunjungi Malaysia. Kalau naik, elok mereka ke negara jiran. Ini bukan merrepak kosong.

Statistik terkini Tourism Malaysia dari Januari hingga Mei 2017 menyaksikan penyusutan sebanyak 0.9 peratus. Dan Malaysia merupakan satu-satunya negara terendah catatan antara negara-negara ASEAN. Pun masih kita ghairah hendakkan naikkan cukai lapangan terbang?

Tahukah anda selain saranan menaikkan cukai PSC ini, terdapat sebilangan lagi usaha mengutip cukai seperti berikut: Cukai Pelancongan RM10 untuk satu malam bilik hotel kepada pelancong luar, cukai pelepasan RM1 untuk semua oleh Mavcom, MAHB juga menaikkan caj PSC dan lapangan terbang. Selain itu, fi Pemeriksaan Keselamatan Penumpang sebanyak AS$10 setiap penumpang kini dibincangkan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dijangka memperkenalkan caj-caj baru selepas pengkorporatannya selesai.

Dengan ini saya mewakili diri saya sendiri yang kerap menggunakan pesawat untuk menziarah orang tua di Kuching, menolak secara hormat cadangan Mavcom untuk menaikkan cukai PSC.