Jumlah dana yang dikeluarkan dan kriteria kelayakan penerima bantuan ditingkatkan dari semasa ke semasa sebagai inisiatif kepada rakyat yang berpendapatan rendah untuk meringankan kos sara hidup yang semakin tinggi. Berbagai pendapat telah dilontarkan berkaitan pemberian BR1M, sama ada yang positif mahupun negatif. Terkini, telah diumumkan bahawa pemberian BR1M akan dikurangkan secara berperingkat sebelum dimansuhkan keseluruhannya. Persoalannya, wajarkah BR1M dimansuhkan?

Mari kita kaji pelaksanaan BR1M dari sudut teori dan pendekatan ilmu ekonomi. Dalam pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pemberian atau hadiah tidak dikira sebagai komponen perbelanjaan negara kerana ia merupakan sumbangan kepada faktor yang tidak produktif. Dengan kata lain, pemberian tersebut tidak memberikan pulangan kepada negara dalam bentuk produktiviti, sama ada pengeluaran barangan atau perkhidmatan. Berbanding pemberian gaji atau upah, ia adalah ganjaran ke atas produktiviti faktor pengeluaran itu sendiri iaitu tenaga buruh atau pekerja.

Tidak dinafikan pengagihan BR1M memberi kesan terhadap ekonomi negara dengan andaian bahawa pemberian wang tersebut dibelanjakan ke atas barangan keperluan oleh penerima BR1M. Perbelanjaan ini secara langsung merancakkan aktiviti ekonomi yang mana peningkatan jualan dirasai oleh peniaga kecil dan syarikat-syarikat perniagaan. Rangsangan ini akan meningkatkan pendapatan negara namun ia memberi kesan atau impak jangka pendek sahaja iaitu dalam masa satu atau dua bulan dari tarikh pengagihan BR1M yang dibelanjakan keseluruhannya.

Patutkah BR1M diteruskan atau dimansuhkan? Persoalan ini perlu dijawab dengan melihat semula kepada objektif yang hendak dicapai oleh sesebuah negara. Sekiranya negara hendak membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup yang tinggi, pemberian wang tunai merupakan salah satu pendekatannya. Tetapi perlu difikirkan dari mana sumber pembiayaan boleh diperoleh untuk menampung dana peruntukan tersebut.

Jika negara kita mempunyai lebihan pendapatan, memang wajar pemberian tunai diteruskan dengan menambah baik mekanisme syarat kelayakan penerima supaya golongan sasar dapat dikenalpasti. Seperti mana negara Barat iaitu Amerika Syarikat mengagih pemberian wang mingguan dalam bentuk ‘unemployment benefits’ kepada penganggur-penganggur sehingga mereka mendapat pekerjaan. Perbelanjaan ini ditampung melalui pendapatan cukai yang diperoleh oleh setiap negeri dengan kadar berbeza-beza.

Walau bagaimanapun, sekiranya dasar negara bertumpu ke arah menggalakkan peningkatan produktiviti, maka pemberian BR1M patut dimansuhkan dan digantikan dengan dasar atau polisi yang menuju ke arah meningkatkan kemahiran dan keupayaan modal insan negara. Antaranya, menambah penawaran program latihan industri dan keusahawanan kepada belia-belia lepasan sekolah. Untuk membantu meringankan kos sara hidup yang tinggi bagi golongan berpendapatan rendah, campur tangan kerajaan adalah perlu dengan mengawal harga barang-barang keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Pembinaan rumah kos rendah dan sederhana yang selesa perlu digalas oleh pemaju perumahan dengan galakan dan insentif daripada kerajaan. Berbalik kepada objektif program, sama ada ia menghasilkan kesan menyeluruh jangka pendek atau jangka panjang, maka adalah lebih bermanfaat kesan jangka panjang ke atas ekonomi negara seperti mana pepatah Inggeris mengatakan, “beri kepada dia seekor ikan, dia akan kenyang untuk sehari; tunjukkan kepada dia cara menangkap ikan dia akan kenyang seumur hidup.”

DR. AZIZAH DAUT ialah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Pasir Gudang, Johor.