Kata-kata ini banyak disebut dalam kalimat politikus terutama pada waktu genting semasa pemilihan pemimpin dan pemilihan calon pilihan raya.

Kata-kata Brutus itu begitu relevan pada ketika ini, semasa negara sedang berhadapan detik penting menghadapi pilihan raya umum.

Tak kira parti mana, semua kader diingatkan agar mendahulukan kepentingan parti. Begitupun realitinya, parti diutamakan hanya kata-kata penyedap ucapan. Apabila terkena batang hidung sendiri lain pula yang dilakukan.

Kita pun telah melihat sekian banyak pemimpin yang ada perangai sedemikian selain terdapat juga yang berjiwa besar menerima dan reda dengan keputusan pucuk pimpinan.

Reda dengan keputusan bukan sekadar proses dalaman sebuah parti yang sihat tetapi juga satu bentuk ujian. Ujian kepada individu itu dan partinya.

Dalam konteks ini, tingkah laku orang UMNO kini sedang diperhatikan. Dalam bulan-bulan kebelakangan ini ada beberapa pihak yang aktif bergerak untuk mengenal pasti calon boleh menang.

Sebagai sebuah parti yang dinamik dan mempunyai struktur yang kukuh, UMNO tidak mungkin boleh terus kekal relevan dengan kedudukan status quo.

Akan ada calon muka baharu. Akan ada calon payung terjun yang bukan dalam kalangan kader parti.

Maksudnya ada yang akan digugurkan. Ini akar masalahnya kerana resam orang politik setelah masuk tidak tahu mencari jalan keluar.

Apatah lagi jika sudah tersihir dengan nikmat kuasa, maka segala jalan sanggup ditempuh untuk terus kekal di tempatnya. Akhirnya berlakulah sabotaj dan bertindak di luar batas-batas berparti.

Dua pertiga

Ini juga adalah kunci kepada usaha UMNO dan BN untuk meraih kemenangan majoriti dua pertiga. Walaupun majoriti dua pertiga bukan lagi trend, tetapi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini BN mempunyai peluang yang lebih cerah.

Dalam kebanyakan kerusi kelabu, faktor menang atau kalah ditentukan oleh calon. Calon yang betul dan tepat yang diterima oleh pengundi.

Terdapat tidak kurang 50 kerusi Parlimen yang berstatus begini. Jika orang UMNO boleh menerima keputusan parti yang kali ini pemilihan calonnya dibuat dengan penuh teliti, nescaya dua pertiga bukan lagi satu khayalan.

UMNO perlu merendam dalam-dalam stigma ‘ini perangai orang UMNO’. Sabotaj, cah keting, merajuk dan seterusnya membuka aib sendiri secara terbuka perlu dinyahkan daripada terus menjadi budaya UMNO.

Memang kini budaya sebegini agak kurang kelihatan dan terlihat dalam UMNO. Tetapi bukan bermaksud budaya buruk ini telah lenyap. Cuma ia tersorok di tengah hiruk-pikuk kontroversi parti lawan terutama PPBM dan sesama parti dalam Pakatan Harapan.

Untuk kali ini, UMNO dan BN perlu memecahkan trend dunia. Parti ini, perikatan ini yang dicemuh dan dilabel dengan pelbagai konotasi negatif berikutan usia kekuasaannya, perlu membuktikan sebaliknya.

Jawapannya ada pada orang UMNO sendiri. Ini adalah waktu terbaik untuk melakukannya kerana pakatan pembangkang terbesar, Pakatan Harapan berada dalam keadaan huru-hara, sarat sandiwara dan terlalu banyak membuat pusingan U.

Inilah peluang keemasan untuk orang UMNO dan BN membuktikan parti ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Bahawa parti ini adalah parti keramat. Yang lebih utama bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak termakan dengan cemuhan dan pencemaran nama yang direka sehingga ke luar negara.

Inilah juga waktu terbaik untuk menunjukkan kepada parti lawan bahawa cara politik yang mereka pilih tidak layak dipraktikkan di negara ini.

Ibarat keputusan sudah ada di tangan, terpulang kepada orang UMNO untuk menentukannya - sekadar majoriti mudah atau dua pertiga.