Ramai yang seolah-olah sudah terlalu ketagih dengan telefon pintar sehingga dianggap sebagai nyawa dalam kehidupan mereka. Ini ditambah dengan pelbagai aplikasi sembang sosial, aplikasi menyanyi dalam talian, pelbagai bentuk permainan dalam talian dan tidak kurang juga yang melayari laman tidak bermoral

Akibatnya, gejala itu mula menjadi barah dalam masyarakat. Situasi ini jika tidak dibendung dikhuatiri mengembangbiakkan pelbagai gejala sosial yang mero­sakkan golongan pemuda harapan negara.

Sehubungan itu, pemuda dan pemudi perlu mengisi masa muda yang singkat dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Bagi yang masih di alam persekolahan, penuhilah segala masa yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh kerana tempoh belajar di sekolah rendah dan menengah terlalu pantas dan jika dibiarkan begitu sahaja kemungkinan menjadi sebab kepada kegagalan di masa depan.

Bagi yang akan menghadapi peperiksaan awam di peng­hujung tahun diharap tidak leka mengulangkaji pelajaran dan menghafal fakta di samping memperbanyak doa dan memohon agar dipermudahkan segala-galanya.

Bagi golongan mahasiswa di kolej mahupun universiti mereka juga diharap tidak leka dengan bercinta dan berkepit ke sana ke mari. Jangan disia-siakan kesempatan peluang belajar di menara gading. Mereka perlu memberi tumpuan kepada proses pembelajaran memandangkan tempoh semester begitu singkat dan tidak akan menunggu sesiapa yang lalai.

Golongan pemuda yang baru memasuki alam pekerjaan pula diharap tidak membuang masa dengan berseronok dan bersantai dengan gaji yang ada. Elakkan terpedaya dengan membeli barang-barang mewah seperti iPhone dan gajet yang mahal untuk tampak macho dan bergaya sedangkan ia jauh daripada kemampuan.

Ada juga yang mengisi masa lapang dengan berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan tanpa segan silu melakukan perbuatan tidak bermoral di tempat awam.

Golongan muda-mudi juga digalakkan bercampur gaul dengan masyarakat setempat. Idea dan tenaga mereka sangat-sangat diperlukan untuk membantu pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Apatah lagi dengan kud­rat golongan tua yang tidak lagi kuat untuk mengangkat barang-barang yang berat. Diharapkan mereka tidak hanya berseronok di bawah tempurung sendiri.

Tidak dinafikan bukan mudah untuk merealisasikan hasrat ini. Terdapat ujian dan cabaran yang terpaksa dihadapi. Untuk itu pendekatan kaunseling dan nasihat secara hikmah boleh dilakukan.

Yang lebih penting golongan muda-mudi tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa diberi tunjuk ajar dan ditegur atas kesilapan mereka. Hal ini penting bagi melahirkan gene­rasi muda yang faham tujuan dan matlamat kehidupan.

Jika tidak disematkan nasihat ini, kelak tokoh pemuda seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menawan Kota Rom Timur (Constantinople) ketika usianya baru mencecah 17 tahun hanya tinggal lakaran sejarah buat kenang-kenangan sepanjang zaman.

Begitu pula golongan pemuda seperti ashabul kahfi yang sanggup melarikan diri ke dalam gua kerana menyelamatkan akidah daripada raja zalim hanya tinggal cerita untuk halwa telinga tanpa diambil iktibar.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Johor.