Disebabkan tidak sanggup berdepan dengan situasi itulah, Cekmek Molek percaya ramai suami di luar sana ‘menyembunyikan’ isteri keduanya daripada pengetahuan isteri pertama. Sehinggakan ada antara mereka sudah pun beranak pinak dengan isteri kedua atau hanya terbongkar selepas si suami meninggal dunia.

Kisah rahsia rumah tangga kedua ini pernah diceritakan seorang kawan Cekmek Molek yang dialami kakaknya sendiri. Dia yang merupakan isteri kedua bagaikan hidup di dalam gua, tidak boleh bergerak secara bebas semata-mata mahu menyembunyikan perkahwinannya itu.

Seperti kebanyakan pasangan bernikah secara sembunyi ini, mereka melangsungkan perkahwinan di negara jiran. Dan selepas bernikah, mereka hanya bertemu sesekali ketika suaminya yang telah pun mempunyai tiga anak itu be­kerja secara shift. Jika mahu menghubungi isterinya, si suami hanya menggunakan telefon pejabat.

Ditakdirkan pula mereka dikurniakan cahaya mata. Tidak seperti pasangan berkahwin lain, si isteri melalui proses mengandung dan melahirkan anak tanpa ditemani suami.Kini anak itu sudah menginjak usia tiga tahun. Dan mereka masih hidup secara sembunyi sehingga hari ini.

Cekmek Molek percaya, banyak lagi kes seperti ini turut berlaku dalam masyarakat kita. Memang benar, amat sukar untuk menjadi ‘madu’ dalam perkahwinan seseorang. Namun, sebagai wanita anda pastinya memahami perasaan wanita lain yang dimadukan secara senyap-senyap. Betapa remuknya hati isteri pertama jika ia diijabkabulkan tanpa izinnya.

Maka lebih baik anda sebagai isteri kedua berterus-teranglah. Pujuklah suami untuk berani berdepan kerana per­kara itu melibatkan hak anda sendiri sebagai isterinya yang ­sah.
Lagipun, perkahwinan poligami yang dibuat secara rahsia mengundang banyak masalah.

Perkara ini turut diakui Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal yang menyatakan bahawa perkahwinan poligami perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah. Jika ada permohonan dibuat, pihak mahkamah akan memanggil isteri sedia ada, bakal isteri dan bakal wali.

“Jika perkahwinan disembunyikan, tentunya pernikahan itu berlangsung di luar negara. Perkahwinan tersebut mungkin tidak sah jika tidak memenuhi hukum syarak. Jika sah, perkahwinan itu perlu didaftarkan di Malaysia. Tetapi jika tak sah, pasangan tersebut adalah seperti berzina,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jika perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia, katanya, ia bukanlah diterima sebagai suatu perkahwinan dari sudut perundangan negara ini dan boleh menghalang isteri kedua itu untuk ke mahkamah syariah menuntut haknya sebagai isteri.

Jika dia diceraikan pula, Noor Aziah menjelaskan, suami­nya perlu mendapat surat cerai di negara di mana dia berkahwin. Dan sekiranya suami meninggal dunia, dia mungkin tidak dapat menuntut pusaka.

Oleh itu, wahai isteri kedua, muncullah. Jangan hanya takut dengan isteri pertama. Status perkahwinan anda boleh diragui dan mungkin anak anda tidak sah taraf!